Tuesday, November 8, 2011

HATI-HATI DENGAN HATI


Rasullulah saw telah bersabda; "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah,itulah hati."
Kata-kata yang ringkas tetapi amat mendalam maknanya. Betapa perlunya kita membersihkan dan menjinakkan hati-hati kita dari segala sifat-sifat mazmumah yakni sifat yang keji supaya dibajai dan disemai dengan sifat-sifat mahmudah yakni sifat yang terpuji.
Hati yang sihat lagi bersih akan membuahkan sifat syukur, maaf, berbaik sangka, memelihara silaturrahmi dan membawa kepada kebaikan manakala hati yang sakit dan kotor akan terbit perasaan marah, tamak, dendam, buruk sangka, hasad dengki, takabur dan cinta dunia. Sesuatu tindakan dan perkataan itu lahir daripada hati sesesorang insan.
Maka perbaikilah hati kita dalam segala keadaan agar tidak terjerumus dalam lembah kehinaan. Perbanyakkan zikrullah dan muhasabah supaya hati sentiasa mendapat suluhan iman. Ingat, hati-hati dengan hatimu….

Tuesday, October 20, 2009

SELAMAT BERANGKAT WAHAI TETAMU-TETAMU ALLAH




Hati sayu menonton DYMM Tuanku Sultan Mizan bin Zainal Abidin meraikan bakal-bakal haji di Kelana Jaya sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Lebih sayu lagi apabila mengingatkan kakak kesayangan saya yang akan berangkat esok bersama-sama pasukan petugas perubatan bagi membantu jemaah Malaysia sepanjang musim haji 1430H.

Betapa bertuahnya mereka kerana diberi kesempatan bagi menjadi Tetamu Allah di negeriNya. Tidak ada jemputan yang lebih istimewa daripada jemputan yang diberikanNya. Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Kuatkan semangat dan tingkatkan kesabaran dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran. Perbanyakkan doa kerana ia adalah senjata kepada orang-orang Mukmin. Selamat berangkat tetamu-tetamu Allah dan selamat menunaikan ibadah haji. Moga-moga kalian mendapat haji yang mabrur.

Monday, October 19, 2009

AKU BUKAN MALAIKAT



Minggu lepas saya menonton sebuah cerita telivisyen bertajuk “aku bukan malaikat” mengisahkan seorang pemuda yang terperangkap dalam satu kes pembunuhan melarikan diri dari polis dan menyamar sebagai ustaz dan mengadakan kelas agama untuk penduduk kampung. Dia kemudiannya mendapat manfaat daripada ilmu-ilmu yang diperolehi dan diajar kepada masyarakat desa dan akhirnya menyerahkan diri dengan rela kepada pihak berkuasa sehingga selesainya kes pembunuhan tersebut dan dia akhirnya dibebaskan.

Demikianlah makhluk yang dinamakan manusia. Tidak pernah lekang dari melakukan kesilapan samaada kita sedar atau sebaliknya. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita semua mempunyai kelemahan tersebut. Apa yang penting kita sentiasa bermuhasabah tentang diri kita dan sentiasa memperbaiki hidup demi meneruskan musafir yang berwarna-warna ini. Kita juga perlu sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Hanya mereka yang merenung dan mengambil ikhtibar akan memperolehi manfaat darinya.

Begitulah juga besar dan agong jiwa mereka yang penuh dengan sifat pengampun dan berkasih sayang. Mereka yang sentiasa memberi kemaafan dan kasih sayang untuk dikongsi bersama umat yang lain. Kerana mereka sedar bahawa mereka juga manusia dan mereka juga tidak lekang dari melakukan kesilapan. Walau bagaimana pun tidak terlewat untuk diucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Batin.”