Saturday, September 27, 2008

SUARA YANG TAK DIDENDANG

Perdana Menteri telah mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat dan Menteri-Menteri Besar telah mengumumkan pembubaran Dewan Negeri. Bermakna akan bermulalah sekali lagi proses demokrasi di negara ini. Maka sibuklah calon-calon Yang Berhormat menawarkan diri. Penyokong-penyokong masing-masing sentiasa di sisi dengan harapan menggunung tinggi agar calon mereka dipilih sebagai Y.B. Kini watikah telah diberi parti bagi mempertahankan kerusi yang bakal mereka duduki. Janji setia dilafazkan sehidup semati. Ada yang tersenyum lebar hingga ke pipi, ada yang terkejut besar rasa tak pijak bumi, ada yang sudah berangan-angan jadi Y.B. dan bermacam-macam reaksi lagi.

Setelah selesai proses pencalonan, maka bermulalah kesibukkan bakal-bakal Y.B. Berkempen ke sana ke mari bersama penyokong-penyokong dan jentera-jentera parti. Gunung sama didaki dan lurah sama dituruni. Poster-poster dan manifesto-manifesto digantung di sana-sini. Sebut sahaja nama-nama jalan atau lorong, Jalan Baruh, Jalan Darat, Jalan Atas maupun Jalan Bawah pasti sudah dua tiga kali diterokai. Pak Long, Pak Ngah, Mak Su, Tok Cik dan Tok Andak hanya sebahagian kecil senarai nama dari beribu-ribu telah ditandangi berulang-ulang kali. Kesemuanya tersenyum kerana bakal Y.B. tak melupakan kami. Janji-janji manis dan gurau senda terus terbawa-bawa hingga ke mimpi.

Kini, doa Y.B. dan kami telah Tuhan kabuli. Kami julang dan lambung dengan sekuat hati. Kenduri kesyukuran kami anjurkan tak henti-henti. Namun mengapa hingga kini jalan-jalan kampung masih berlopak di sana-sini, balai-balai raya bocor tak siapa yang ambil peduli, anak-anak kampung terbiar semacam menumpang di bumi sendiri. Y.B. pula entahkan hidup entahkan mati. Di manakah Y.B., lupakan ia kepada suara-suara kami. Suara-suara yang kami zahirkan di atas kertas undi. Dengar cerita Y.B. sedang sibuk melobi. Sehingga Dewan bersidang pun tak nampak kelibat diri. Tak cukupkan dengan amanah yang diberi. Pak Long yang dulu tersenyum bangga menyebut nama Y.B. kini hanya sekadar mencebik bibir. Y.B. semakin jauh belayar meninggalkan kami. Belayar di lautan yang tak bertepi.

Tiba-tiba kami semua tersentak sekali lagi. Media cetak dan elektronik sibuk bercerita tentang lompat parti. Negara semakin goncang semacam nakhoda kehilangan kemudi. Ekonomi negara tenggelam timbul tak berkesudahan lagi. Tiba-tiba desas desusnya ia melibatkan Y.B. Kalaupun benar, mengapa tak pernah mohon restu dari kami semua di sini. Bukankah segala kuasa dan kedudukan kami yang beri. Pak Abu yang dulunya asyik memperlekahkan undang-undang kini telah bertukar menjadi pakar Perlembagaan dan hak asasi. Katanya kita semua mempunyai kebebasan berpersatuan dan bila-bila masa boleh melompat parti. Abang Bakar yang dulu tak jemu-jemu memaki hamun kini sudah berangan-angan menjadi anak kesayangan Y.B. Kak Timah yang dulunya lantang dengan soal prinsip kini tersenyum hingga nampak gusi.

Apakah yang sebenarnya telah terjadi? Mengapakah Y.B. masih menyepi diri? Sekiranya salah apakah dosa kami sehingga kami diperlakukan sebagai anak tiri. Masih ingatkah Y.B. kata-kata Sir Winston Churchil yang telah Y.B. tiupkan kepada kami. “Di dasar samudra penghormatan dan sanjungan kepada demokrasi ialah seorang yang remeh berjalan masuk ke pondok kecil dengan memegang satu pensil kecil dan kemudiannya membuat satu pangkah kecil di atas sekeping kertas kecil-tiada perbincangan berjilid-jilid atau beretorika terdaya memperkecilkan kepentingan peranan manusia remeh itu.” Apakah ini adil terhadap kami. Kalau benar Y.B. sudah berubah, apakata kita beradu sekali lagi……..

Wednesday, September 24, 2008

ALONG, ANGAH DAN ADIK

“Ayah, adik makan kek Along,” jerit Along dari dapur sambil berlari ke ruang tamu. “Tak apalah Along, Alongkan dah besar bagilah pada Angah, diakan kecil lagi, lagipun Alongkan dah makan tadi,” jawab Ayah. Along yang tak puas hati dengan jawapan Ayah terus menghempaskan dirinya di atas sofa sebagai tanda protes kepada Ayah. “Ayah, Adik tumpahkan air atas mainan Angah,” kini giliran Angah pula mengadu kepada Ayah sambil menunjukkan mainan kegemarannya yang basah akibat dikerjakan Adik. “Itulah tadi makan kek Along sekarang Adik dah basahkan mainan Angah,” bidas Along kepada Angah. Angah yang masih bersedih sebab mainannya basah terus memandang Along. “Yang Along tu Ayah kasi beg sekolah baru tapi Angah tak dapat apa-apa pun,” balas Angah yang masih kecil untuk faham maksud sekolah.

Senario sebegini biasa kita dengar dalam mana-mana rumah yang mempunyai anak-anak. Kadang kala ibubapa menjadi sasaran tempat melepaskan geram anak-anak apabila terasa tidak dibela. Kepada siapa lagi nak mengadu kalau bukan kepada mereka. Ibubapa yang bijak akan mendengar segala aduan dan memberi alasan kepada setiap tindakan agar sebarang pertikaian diselesaikan dengan harmoni dan tidak terbawa-bawa keluar rumah. Apa yang penting kesemua anak-anak memerlukan perhatian dan pembelaan dari ibubapa tanpa mengira usia.

Kita perlu adil dalam membesarkan anak-anak dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan mereka. Adil bukan bermakna semuanya harus diagihkan sama rata. Malahan menurut Islam, adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Along memerlukan beg untuk ke sekolah, Angah memerlukan mainan sebagai teman semasa sunyi sementara Adik hanya memerlukan botol susu untuk digonggong sepanjang masa. Keperluan anak-anak kita tidak sama antara satu dengan lain dan kitalah yang perlu mengimbanginya.

Kita juga harus peka dengan kelemahan anak-anak kita. Ada yang kuat merajuk, ada yang panas baran, ada yang suka memberontak dalam diam dan bermacam-macam gelagat lagi. Tapi kita tidak harus lupa kepada kekuatan yang ada dalam diri masing-masing. Ada yang tekun bekerja, ada yang bijak berfikir, ada yang keletah berbicara dan berbagai lagi yang seadanya. Bukankah Allah itu Maha Pencipta dan tiap-tiap kejadian itu ada hikmahnya. Kita perlu pandai mengadun segala kelemahan dan kekuatan mereka agar dapat menjadi benteng yang kuat bagi meninggi dan mempertahankan maruah keluarga.

Ibubapa yang bijak perlu sentiasa menanamkan sifat kasih sayang, tolong menolong, kerjasama dan prihatin di kalangan anak-anak mereka. Di samping perlu memotivasikan anak-anak agar terus berusaha dan sentiasa bersama mereka, sama ada di kala terik cahaya mentari maupun di kala ribut dan hujan melimpahi bumi. Yang baik sentiasa dijadikan teladan dan yang buruk sentiasa dijadikan sempadan. Sesekali kita perlu bertegas dan menghukum mereka asal niat kita untuk kebaikan bersama. Barulah ibubapa akan disegani, dihormati dan dipandang tinggi.

Begitulah kiasan betapa pentingnya kepimpinan dalam sesuatu negara. Kita mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan agama yang perlu dijaga dan dibela. Berbagai keperluan dan ragam yang terpaksa kita selesaikan. Mereka semua bagaikan anak-anak yang sentiasa memandang ke arah kita. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya pemimpin yang kuat dan mendapat keredhaanNya sahaja yang pasti berjaya…..

HANG TUAH, BANGAU OH BANGAU DAN SEPULUH BUDAK HITAM

Teringat saya filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Saya tertarik dengan satu teka-teki yang diberikan oleh wakil Raja Masai yang bertanyakan di manakah terletak kekuatan Hang Tuah. Jawapan yang diberikan oleh Nujum Pak Belalang ialah pada huruf “ta” sekiranya ditukar ke huruf lain ia akan memberi maksud lain. Kemudian saya terfikir pula di mana letaknya kekuatan Melayu. Adakah terletak pada huruf “mim” jika dibuangnya akan memberi satu maksud yang lain.

Semakin hari semakin kuat serangan telah dibuat terhadap umat Melayu sama ada secara langsung atau pun tidak. Bermula dengan isu-isu ekonomi dan kontrak sosial, kita seterusnya ditampar dengan isu-isu agama seperti murtad, pengunaan kalimah Allah di rumah ibadat bukan Islam dan lain-lain lagi. Kita juga tidak boleh menafikan trauma yang dilalui oleh bangsa kita dengan masalah-masalah sosial masyarakat Melayu yang semakin menjadi-jadi dari masalah dadah, mat rempit, bohsia, buang anak dan lain-lain lagi. Kesemua penyakit ini bergerak aktif dari hari ke hari seperti penyakit kanser yang tidak dikawal. Kadang kala terfikir dibenak fikiran saya apakah ini semua merupakan satu isyarat dari Maha Pencipta supaya hambanya berfikir atau adakan ini merupakan bala bencana yang diturunNya seperti yang diturunkan kepada umat-umat terdahulu.

Sejak kecil lagi kita biasa mendengar lagu rakyat bangau oh bangau. Jika kita hayati lagu tersebut mengisahkan bangau yang menyalahkan rumput yang panjang sehingga menyebabkan bangau tidak boleh makan ikan. Rumput pula menyalahkan kerbau kerana tidak meragut rumput sehingga menjadi panjang. Budaya mencari kesalahan diteruskan oleh kerbau sehingga berlarutan kepada katak yang memanggil hujan. Katak seterusnya mempertahankan dirinya dan menyalahkan ular kerana ingin memakannya dan ular dengan bangganya mengaku bahawa katak adalah makanannya.

Hari ini kita semua dapat melihat semula watak-watak bangau, rumput, kerbau, seterusnya hingga ke ular. Cuma adakah kita sebahagian dari bangau, rumput, kerbau, ular atau yang lain-lain. Yang pasti saya percaya kita bukannya ular yang dengan bangganya mempertahankan tindakannya demi kepentingan peribadi. Kita semua adalah mangsa dan bukan pemangsa kepada segala masalah ini. Apakah salahnya kita semua duduk semeja dan selesaikan apa yang menjadi perbezaan antara kita. Biarlah ia bermula dari dalam rumah kita dan kita kembangkan ke masyarakat seterusnya dunia yang tanpa sempadan ini. Adakah kita perlu menunggu sehingga sudah terantuk baru tergadah. Adakah kita berpuas hati apabila kalah jadi abu dan menang jadi arang.

Kita semua perlu sedar dari mimpi masing-masing seterusnya bekerjasama membangunkan bangsa kita sebagai masyarakat yang bermaruah dan dihormati. Kekuatan dan kehormatan kita ini sebenarnya terletak kepada Islam itu sendiri sepertimana Allah (s.w.t) memberikan kehormatan kepada kaum Quraish pada awal pengembangan Islam.

Jangan sampai kata-kata keramat Hang Tuah “tak Melayu hilang di dunia” pergi bersama-sama Hang Tuan dalam lipatan sejarah. Jangan sampai kita semua menjadi budak-budak hitam dalam lagu sepuluh budak hitam yang pupus satu persatu di Tanah Air sendiri.

Jadi gunakanlah kesempatan Syawal ini untuk kita merenung masa yang lampau dan memperbaiki silaturrahmi sesama kita bagi menyediakan satu benteng yang kukuh dalam menghadapi ular-ular yang bersedia mematuk kita.

EID MUBARAK DAN MAAF ZAHIR BATIN