Sunday, April 26, 2009

ANTARA EMOSI DAN REALITI…..



“Tidak adil! Tidak demokratik! Ini semuanya kerja-kerja tak bermoral”, jerit Abang Leman yang telah diketahui ramai tentang sikapnya yang pro Pakatan Rakyat. Orang ramai yang sedang asyik menikmati minum pagi tersentak seketika apabila terdengar jeritan Abang Leman tapi masing-masing tersenyum dan meneruskan perbualan di meja masing-masing di gerai Kak Lijah.

Sememangnya itulah emosi segelintir masyarakat apabila tiga ahli Dewan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat telah menyokong Kerajaan Barisan Nasional di Perak seterusnya menamatkan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang bakal menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya. Barisan Nasional dituduh sebagai tidak bermoral, tidak demokratik malahan sebagai pengamal rasuah. Tetapi realitinya kita masih ingat bagaimana YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008 apabila seramai lebih kurang 30 ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional akan berhijrah ke Pakatan Rakyat seterusnya menubuhkan satu kerajaan yang baru. Kita juga pernah terdengar bagaimana adegan kejar mengejar ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sehingga ke Taiwan bagi memujuk mereka menyertai Pakatan Rakyat. Kita juga pernah terasa kesan ketidak stabilan politik dan ketidak tentuan ekonomi ketika itu akibat masalah ekonomi dunia dan para pelabur luar mengambil langkah berhati-hati untuk melabur di sini disebabkan ketidak tentuan politik. Kita juga masih ingat bagaimana peristiwa kemasukan YB Adun Bota telah diterima oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebagai wira dan demokrasi.

Begitulah juga emosi yang timbul apabila DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah dianggap tidak berlaku adil dan tidak mengikut perlembagaan apabila baginda menolak permohonan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin bagi membubarkan Dewan Negeri Perak. Artikel 16(6) Undang-Undang Tubuh Perak telah diterjemah oleh pihak tertentu mengikut tafsiran sendiri tanpa melihat keseluruhan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh tersebut.

Tetapi realitinya Artikel 16(6) memperuntukan “Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti dari mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah ia mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu dikecualikan dengan permohonannya Duli Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Negeri itu.” Artikel ini bermaksud Menteri Besar yang telah kehilangan kepercayaan hendaklah meletak jawatan melainkan dengan permohonan beliau DYMM Seri Paduka Sultan Perak berkenan bagi membubarkan Dewan Negeri.

Kuasa untuk membubar Dewan Negeri merupakan budi bicara DYMM Paduka Seri Sultan Perak seperti yang termaktub dalam Artikel 18(2)(b) yang berbunyi “Maka Duli Yang Maha Mulia boleh memutuskan mengikut timbangannya sendiri pada menjalankan kuasa-kuasa tersebut di bawah (sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa yang pada menyempurnakannya ia boleh memutuskan mengikut timbangan sendiri di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu:-
(a) Lantikan seorang Menteri Besar,
(b) Keengganan memberi persetujuan kepada satu permohonan bagi pembubaran Dewan Negeri,”

Maka jelaslah DYMM Paduka Seri Sultan Perak mempunyai kuasa bagi menolak kepada persetujuan bagi membubarkan Dewan Negeri Perak.

Sebenarnya undang-undang tubuh sesuatu negeri mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan negeri-negeri lain seperti di bawah Jadual 8 Perlembagaan Negara. Jadi tidak hairanlah sekiranya Undang-Undang Tubuh Negeri Perak mempunyai persamaan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu ataupun Perlis. Kita masih ingat bagaimana perlantikan seorang Menteri Besar merupakan budibicara Sultan ataupun Tuan Yang DiPertua Negeri masing-masing. Peristiwa bagaimana DYMM Sultan Terengganu dan DYMM Raja Perlis menolak calon yang dipersembahkan oleh Kerajaan Pusat dan memilih calon lain menunjukkan bagaimana DYMM Sultan Terengganu dan DYMM Raja Perlis mempunyai budi bicara dalam melantik Menteri Besar. Kuasa budi bicara ini terletak di bawah Artikel 18(2)(a) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Jadi bagaimana kita semua menerima 18(2)(a) merupakan budibicara DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan menolak 18(2)(b) sebagai bukan kuasa di bawah budi bicara baginda.

Undang-Undang Tubuh Negeri Perak juga tidak memperuntukkan bahawa undi kehilangan kepercayaan sebahagian besar ahli-ahli Dewan Negeri terhadap Menteri Besar perlu dibuat di dalam Dewan. Malahan mahkamah dalam suatu kes perlembagaan di Sabah pernah memutuskan bahawa “test of confidence” tidak perlu dibuat di dalam Dewan dan ianya boleh dibuat melalui sumber-sumber di luar Dewan. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah memanggil kesemua ahli-ahli Dewan Negeri bagi mendengar pengakuan mereka sebelum baginda menitahkan YB Dato’ Seri Nizar meletak jawatan ataupun jawatan tersebut dikosongkan.

Jelas sekali Undang-Undang Tubuh Negeri Perak menyatakan apabila Menteri Besar kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri maka hendaklah ia meletak jawatan. YB Dato’ Seri Nizar sepatutnya menerima titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak kerana ianya dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan. Malahan kita sendiri jelas bagaimana YB Dato’ Seri Nizar sendiri memaklumkan dalam sidang akbar sebelumnya berkenaan permohonan beliau bagi pembubaran Dewan Negeri. Apabila DYMM Paduka Seri Sultan Perak menggunakan budi bicara baginda bagi menolak pembubaran maka hendaklah YB Dato’ Seri Nizar meletak jawatan.

Sememangnya kita perlu mengingati kembali sejarah bagaimana DYTM Raja Muda Perak yang ketika itu memangku tugas DYMM Paduka Seri Sultan Perak, pernah memanggil tiap-tiap ahli Dewan Negeri Perak dari DAP, PAS dan PKR bagi membuktikan sokongan mereka kepada YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin sebagai Menteri Besar sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan.

Kita juga perlu menyingkap kembali pengalaman da kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak sebagai Ketua Hakim Negara dan seorang yang amat dihormati oleh masyarakat perundangan seluruhnya. Jadi jangan sampai emosi mengaburi penglihatan kita dan menutup segala realiti yang ada. Wallahuak’lam.