Wednesday, October 29, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 2


Ketika ini ada bakal-bakal haji yang mula meninggalkan kampung halaman masing-masing bagi mengunjungi Baitullah Al Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Pemergian mereka ke Tanah Suci disusun secara berperingkat-peringkat oleh pihak yang bertanggung jawab bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan mengikut perancangan. Bulan-bulan haji bermula pada 1 Syawal dan berakhir pada 9 ZulHijjah tiap-tiap tahun hijrah.

Bagi mereka yang berangkat dengan penerbangan awal, mereka akan terus melakukan ibadat ziarah di Kota Madinah Al Munawarah, kota tempat bersemadinya jasad Junjungan Besar kita Nabi Muhammad (s.a.w) sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat Umrah dan Haji. Bagi yang memilih penerbangan pertengahan kebiasaannya ada yang berangkat ke Madinah bagi menjalankan ziarah dan ada yang terus ke Mekah untuk menunaikan ibadat Umrah sebelum menjalankan ibadat haji. Bagi mereka yang mengikuti penerbangan akhir, kebiasaannya mereka semua akan memakai pakaian ihram sebelum penerbangan dan terus ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau sekadar menjalankan ibadat umrah sebelum menunaikan ibadat haji.

Mana-mana waktu penerbangan yang kita ikuti, niat kita semua adalah sama iaitu suatu perjalanan menuju Allah. Saya masih ingat sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan penerbangan akhir bagi menunaikan haji pada musim 1428H. Perasaan ketika itu bercampur baur, gembira kerana dipilihNya bagi menunaikan Rukun Islam Kelima, takut kerana mengenang dosa-dosa silam dan sedih untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil, Syifa’ ketika itu berusia 7 tahun, Husna dan Saffa’ menghampiri umur 3 tahun. Namun kami jadikan perpisahan sementara ini sebagai satu pengorbanan sekeluarga bagi mendapat keredhaan Allah yang Maha Esa. Kata pepatah “berat mata memandang berat lagi bahu memikul.”

Bermulanya perjalanan kami dari bangunan Tabung Haji ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam pakaian ihram telah mengimbau kenangan saya kepada ceramah yang diberikan sebelumnya tentang persamaan antara haji dan mati. Bagi yang mengerjakan haji mereka akan memakai ihram serba putih, dihantar beramai-ramai dengan iringan azan memuji kebesaran Ilahi dan doa. Sementara mati akan dikapankan dengan kain putih seterusnya dihantar beramai-ramai ke kubur dengan diiringi Fatihah dan doa. Bagi jemaah haji, mereka akan bergerak masuk ke dalam kapal terbang sementara bagi jenazah, ia akan disemadikan ke liang lahad. Suasana sedih dan syahdu akan menyelubungi setiap ahli keluarga dan para hadirin. Hanya Allah sahaja tahu sama ada kami akan pulang atau terus bersemadi di sana.

Apabila penerbangan melalui kawasan miqat di Qarnul Manazil maka kami semua memasang niat bagi mengerjakan ibadat haji masing-masing kerana kebetulan hari wukuf hanya tinggal lebih kurang sepuluh hari. Suasana talbiah mula bergema dalam pesawat tanda insaf dan kesyukuran dijemput sebagai tetamuNya. “HambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu”.

Maka bermulalah musafir kami di bumi Anbia bagi mencari keberkatan dan keredhaanNya. Kami amat bersyukur kerana perjalanan kami bergerak lancar dengan perancanganNya walaupun pesawat kami terpaksa ditunda selama enam jam semasa di Malaysia. Akhirnya kami tiba di Bandar Mekah Al Mukaramah pada malamnya. Kota yang sentiasa terang benderang dan sibuk dengan jemaah haji berulang alik ke Masjid Haram. Kami ditempatkan di Hotel Mubarak yang dikenali sebagai Maktab 97. Jarak dari Maktab ke Masjid Haram lebih kurang 450 meter. Kami ditempatkan sebanyak tujuh orang sebilik. Bilangan keseluruhan jemaah bagi Maktab 97 lebih kurang 3000 orang.

Saya dan isteri bersama beberapa sahabat yang lain kemudiannya mengambil keputusan untuk terus menjalankan ibadat tawaf dan saie pada tengah malam itu tanpa menunggu rombongan Tabung Haji memandangkan suasana yang semakin sesak di Masjidil Haram disebabkan sebahagian besar bakal-bakal haji telah berkumpul di Mekah sementara menantikan hari Wukuf. Lagipun, rindu kami untuk memandang Kaabah tak dapat ditahan sehingga keesokan pagi. Rasullullah (s.a.w) pernah bersabda “seratus dua puluh rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan malam, enam puluh untuk mereka yang melakukan tawaf, empat puluh bagi mereka yang mendirikan solat dan dua puluh untuk mereka yang hanya melihat Kaabah”.


Permandangan dari Bukit Safa

Alhamdulillah kami semua berjaya menjalankan ibadat masing-masing di tengah-tengah kesibukan umat Islam lain menunaikan ibadat mereka. Walaubagaimanapun kami masih lagi berada di dalam keadaan ihram dan terikat dengan pantang larang ihram sehingga selesai kerja-kerja haji. Hari-hari yang ada kami penuhi dengan bersolat, beriktikaf, bertilawah AlQuran, bermuhasabah, beristiqfar dan berzikir di Masjid Haram sambil berkenal-kenalan dengan beberapa jemaah haji yang kami temui.

Suasana sesak dan kekurangan di Kota Mekah kami terima dengan redha. Jadual harian bermula seawal 3.30 pagi iaitu kira-kira hampir 2 jam sebelum masuk waktu subuh bagi memastikan mendapat tempat di dalam masjid. Sekiranya terlewat maka di kaki limalah tempat kami ruku’ dan sujud ke hadrat Ilahi. Perbanyakkanlah doa dan istiqfar agar dipermudahkan segala amal ibadat disana kerana Allah ada berfirman “berdoalah kepadaKu maka Aku akan memperkenankannya”. Janganlah jemu membuat amalan-amalan sunat kerana pahalanya 100,000 kali ganda dari tempat biasa, moga-moga amalan tersebut dapat diteruskan setelah kita pulang ke tanah air masing-masing.

Walauapapun amalan kita di sana ia merupakan cermin kepada tingkah laku kita di sini. Ada yang asyik memuji-muji diri, ada yang hanya bersolat di bilik dan melupakan fadzilat bersolat jemaah di Masjid Haram, ada yang asyik berborak, merungut, mengumpat dan bermacam-macam lagi. Pokoknya, perbaikilah diri sebelum berangkat ke Tanah Suci. Perbanyakkanlah istiqfar, solat sunat taubat, hajat dan tahajjud kerana ianya adalah pengubat hati.

Friday, October 17, 2008

MARUAH, KUASA DAN WANG

Maruah berkata, “akulah pembela agama, bangsa dan negara. Kerana akulah agama dijulang, bangsa bermaruah dan negara dihormati. Tanpa aku kamu semua tidak ada apa-apa nilai bagaikan sampah.” Kuasa kemudian menyampuk, “aku lebih penting dari kamu berdua, tanpa aku agama akan ditindas, bangsa dipandang hina dan negara akan kehilangan kedaulatannya. Ambil sahaja pengajaran tentang peristiwa di Palestin. Semuanya sebab mereka telah kehilangan aku.” Wang yang dari tadi hanya tersenyum terus mencelah, “lupakah kamu berdua kepada jasa-jasaku, tanpa aku siapakah kamu berdua, aku yang memartabatkan kamu, akulah yang telah meletakkan kamu di menara gading. Tanpaku kamu berdua hanya makhluk biasa tapi kamu telah menggadai dirimu padaku. Akulah tuhanmu, maka tundukkanlah kepalamu kepadaku”

Maruah adalah harga diri, maruah juga selalu dikaitkan dengan penghormatan. Bangsa yang bermaruah selalunya dikaitkan dengan satu bangsa mempunyai harga diri, dipandang tinggi dan dihormati. Islam sendiri telah mengangkat martabat manusia sebagai makhluk yang bermaruah. Sebelum kedatangan Islam masyarakat Arab Jahiliyah hidup dalam serba kegelapan. Mereka menyembah berhala yang telah diukir oleh mereka sendiri. Mereka menipu dalam urusan berjual beli. Mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri demi kuasa dan kedudukan. Anak-anak perempuan ditimbus hidup-hidup. Masalah sosial semakin menjadi-jadi tanpa mengira lapisan umur. Tidak dapat dinafikan lagi maruah amat penting dalam kehidupan manusia. Tidak hairanlah dalam budaya masyarakat Jepun mengambil nyawa sendiri dilakukan dengan penuh tradisi yang dikenali harakiri bertujuan untuk menebus maruah mereka tercalar.

Kuasa adalah pengaruh, kuasa juga dapat ditafsir sebagai kekuatan dalam mengawal sesuatu, kuasa juga selalu dikaitkan dengan pangkat dan kedudukan. Dengan kuasa seseorang dapat memerintah sesuatu kumpulan atau negara dan dengan kuasa juga sesuatu bangsa dapat merencana dan membina sesuatu tamadun. Tidak mustahil seseorang insan mempunyai kuasa tetapi rendah maruahnya. Kita sendiri dapat melihat negara-negara berkuasa besar tetapi tidak dihormati oleh masyarakat dunia. Mereka mengganggu kedaulatan negara-negara lain. Mereka menceroboh dan bertindak sebagai polis dunia bagi menunjukkan kuasa mereka kepada masyarakat seluruhnya. Mereka juga sentiasa menggunakan kuasa veto bagi menukar keputusan-keputusan yang dibuat oleh golongan majoriti. Tindakan mereka menyebabkan mereka dikecam dan dihina oleh masyarakat dunia dan pada masa yang sama negara mereka juga sentiasa dilanda berbagai bencana sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Wang adalah harta, wang adalah ekonomi dan wang juga boleh diterjemahkan sebagai senjata. Ada juga diterjemahkan sebagai segalanya. Jadi tak hairanlah kalau ada yang berkata “ada wang semua boleh jadi.” Tanpa wang bangsa akan ketinggalan dan negara akan mundur. Islam tidak pernah menafikan kepentingan wang dalam pembinaan sesuatu masyarakat dan negara. Rasullullah (s.a.w.) telah bersabda “kefakiran itu mendekatkan seseorang kepada kekufuran”. Islam telah memperkenalkan zakat bagi memberi manfaat kepada seluruh umat. Pada peringkat awal perkembangan Islam di Tanah Arab, Saidatina Khatijah (r.a) telah menginfakkan seluruh hartanya ke jalan Allah bagi membantu dakwah Rasullullah (s.a.w). Kemudian diikuti sahabat-sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar AsSidek (r.a) dan Abdul Rahman Bin Auf (r.a). Selepas Rasullullah (s.a.w) berhijrah ke Madinah baginda kemudiannya telah membina pasar bagi masyarakat Islam berjual beli bagi memperkembangkan ekonomi Islam walaupun telah wujud pasar-pasar lain yang dikuasai golongan Yahudi.

Maruah, kuasa dan wang biasa dikaitkan dengan pencalonan dan pemilihan kepimpinan pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik. Berbagai isu akan diutarakan oleh calon-calon bagi menarik perhatian perwakilan sama ada berkaitan dengan isu politik, ekonomi dan sosial. Mereka juga akan memperkatakan tentang maruah rakyat yang patut dibela dan dimartabatkan. Calon-calon akan menunjukkan kewibawaan masing-masing dalam memimpin bagi mendapat kepercayaan perwakilan. Kita juga sedar bahawa calon-calon tersebut berada dalam satu perlumbaan menuju ke puncak menara kuasa. Kuasalah yang dapat memimpin dan dengan kuasa juga nasib sesuatu bangsa atau golongan dapat dibela. Malangnya, ada golongan yang terlalu gilakan kuasa sehingga akur kepada wang. Apa yang pasti mereka ini terdiri dari golongan yang tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak layak untuk memimpin sesuatu pertubuhan atau kumpulan. Bagi mereka matlamat adalah segalanya dan ia menghalalkan cara. Perwakilan yang sepatutnya membawa hasrat dan cita-cita akar umbi dibeli harga diri dengan rendah nilainya. Akhirnya pemimpin yang dipilih bukan dari kualiti yang sepatutnya. Mereka bukan sahaja tidak layak memimpin malahan menjadi liabiliti kepada pertubuhan dan seluruh ahlinya. Akhirnya pertubuhan tersebut akan menjadi lemah dan berkubur dengan sendirinya.

Kita semua hendaklah sedar bahawa maruah, kuasa dan wang adalah ramuan penting dalam pembinaan sesuatu bangsa. Maruah tanpa kuasa adalah sesuatu yang tidak sempurna. Kuasa tanpa wang adalah sia-sia. Hakikatnya kesemuanya merupakan ramuan bagi kejayaan sesuatu negara. Namun, meletakkan wang diatas segalanya adalah satu bencana kerana seolah-olah kita memahkotakan nafsu sebagai raja.

Saturday, October 11, 2008

“ISLAM INC.”

Satu hari dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya sempat berbual dengan isteri saya tentang pengaruh agama dalam masyarakat. Tidak dapat dinafikan lagi agama adalah ramuan utama dalam membangunkan sahsiah, keluarga, masyarakat dan negara. Kita juga menyaksikan negara-negara yang satu ketika dulunya maju tumbang satu persatu akibat menyisihkan agama.

Individu-individu dan institusi-institusi berasaskan agama sentiasa diberikan keutamaan dalam masyarakat kita. Masyarakat telah meletakkan mereka pada satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Setinggi mana nilai dan norma yang diberikan kepada mereka, bayangkanlah pula amanah dan tanggung jawab yang perlu mereka jawab di kemudian hari.

Malangnya, kita juga lihat agama digunakan sebagai alat, modal atau perisai oleh sesuatu golongan bagi menguntungkan mereka. Ada golongan yang menunjuk-nunjuk kedalaman ilmu pengetahuan agama untuk mendapat tempat di hati masyarakat, ada yang menujuk-nunjuk bahawa merekalah paling kuat beramal di atas landasan agama tapi disebaliknya mereka menggunakan agama agar dapat mengaut laba yang lebih, ada yang sanggup bermuka-muka demi untuk menjadi juara kepada semua agama dan bermacam-macam lagi gelagat golongan-golongan akhir zaman. Walau apa pun bukankah semuanya bergantung kepada niat?

Saya teringat satu kisah dari seorang rakan yang mengeluh apabila tenaganya diperah oleh saudara sendiri. Kesana kemari saudara beliau mencanangkan bahawa dia adalah juara dalam mengamalkan dan memperjuangkan ekonomi agama. “Kita adalah syarikat yang berasaskan Syariah, ini adalah satu jihad,” katanya lagi. Senarai panjang nas-nas, sandaran-sandaran dan hujah-hujah dikeluarkan bagi menarik masyarakat mendekati perniagaan yang beliau ceburi. Tak cukup dengan itu tokoh-tokoh agama dipanggil bagi mempertahankan perniagaan yang disajikan. Maka berlumba-lumbalah sekalian masyarakat yang ingin mengejar keredhaan dunia dan ukhrawi bersama-sama beliau. Hatta setelah untung melimpah ruah maka zakat-zakat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.

Benarlah bahawa ujian semasa senang lebih getir dari ujian semasa susah. Tidak ramai yang berjaya melepasinya apabila berada selesa di mercu kejayaan. Setelah bertahun-tahun berniaga dan harta-harta telah menimbun-nimbun, saudara beliau menjadi semakin ketagih dengan nikmat diberi. Katanya keuntungan harus dilipat gandakan bagi menunjukkan kekuatan ekonomi. Tersenyum besar saudara itu apabila dipuji kerana tersenarai dalam golongan yang tertinggi penyumbang zakat. Mulalah berangan pingat apa pula yang bakal dianugerah nanti. Tiba-tiba terdengar keluhan di sana-sini. Pekerja-pekerja mengeluh tidak berpuas hati. Anak isteri menjadi korban akibat terlalu kejarkan duniawi, tenaga dikerah bagi meningkatkan produktiviti. Pembekal-pembekal mengeluh sebab walaupun upah yang terpaksa dipotong masih belum dijelaskan hingga ke hari ini. Tapi apakan daya mulut terpaksa dikunci takut disenarai hitamkan pula nanti. Bagaimana kami ingin menyara anak bini? Bukankah agama menggalakkan upah diberi sebelum keringat kering dipipi? Adakah ini yang dikatakan monyet dihutan disusukan anak di rumah dibiar mati kelaparan, agama apakah ini?

Bukankah Islam menganjurkan keadilan kepada semua tanpa sebarang diskriminasi, hanya manusia yang mengubah suai mengikut tuntutan peribadi. Renungilah firman Allah (s.w.t), “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata dengan apa yang kamu tidak kerjakan, besar kebencian disisi Allah kamu berkata tetapi tidak dikerjakan”.

Tuesday, October 7, 2008

KHUTBAH TERAKHIR RASULLULLAH (S.A.W)

(Khutbah ini disampaikan pada tanggal 9 DzulHijjah 10H di Lembah Uranah, Arafah ketika baginda Rasullullah (s.a.w) mengerjakan Haji Wada’)

Wahai saudara-saudaraku, perhatikan apa yang akan aku sampaikan, aku tidak tahu adakah pada tahun depan aku masih berada di antara kalian. Kerananya dengarkan baik-baik apa yang ku katakan ini dan sampaikanlah kepada mereka yang tidak dapat hadir saat ini.

Wahai saudara-saudaraku, seperti yang kita ketahui, bulan ini hari ini dan kota ini adalah suci, kerananya pandanglah kehidupan dan milik setiap orang Muslim sebagai kepercayaan yang suci. Kembalikan barang-barang yang dipercayakan kepadamu kepada pemilik yang sebenarnya. Jangan kau lukai orang lain sebagaimana orang lain tidak melukaimu. Ingatlah bahawa kamu akan bertemu dengan Allah (s.w.t) dan Dia akan menghitung amalanmu dengan sebenar-benarnya.

Allah telah melarangmu memungut riba, kerananya mulai saat itu dan untuk seterusnya kewajiban membayar riba dihapuskan. Waspadalah terhadap syaitan, demi keselamatan Agamamu. Dia (syaitan) telah kehilangan semua harapannya untuk membawa kalian kepada kesesatan yang nyata, tapi waspadalah agar tidak terjebak pada tipuan halusnya.

Wahai saudara-saudaraku, adalah benar kamu mempunyai hak tertentu terhadap isteri-isterimu, tapi mereka juga mempunyai hak atas dirimu. Apabila mereka mematuhi hakmu maka mereka memperolehi haknya untuk mendapat makanan dan pakaian secara layak. Perlakukanlah isteri-isterimu dengan baik dan bersikaplah manis terhadap mereka, kerana mereka adalah pendampingmu dan penolongmu yang setia. Dan adalah hakmu untuk melarang mereka berteman dengan orang-orang yang kamu tidak sukai, dan juga terlarang melakukan perzinaan.

Wahai saudara-saudaraku, dengarlah baik-baik, sembahlah Allah, kerjakanlah solat lima kali dalam sehari, laksanakan puasa selama bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat, laksanakan ibadah haji bila mampu. Ketahuilah sesama Muslim adalah bersaudara. Kamu semua adalah sama. Tidak ada perbezaan antara satu terhadap yang lain kecuali takwa dan amal soleh. Ingatlah satu hari nanti kamu akan menghadap Allah dan harus mempertanggung jawabkan semua amalanmu. Kerana itu berhati-hatilah jangan menyimpang dari jalan kebenaran setelah kepergianku nanti.

Wahai saudara-saudaraku, tidak akan ada Nabi atau Rasul sesudahku dan tidak akan ada agama lain yang lahir. Kerananya perhatikanlah baik-baik wahai saudaraku, dan fahamilah kata-kata yang ku sampaikan kepadamu, bahawa jika sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu AlQuran dan Sunnah ajaranku.

Sesiapa yang mendengarkan perkataanku ini wajib menyampaikannya kepada yang tidak hadir dan seterusnya, dan mungkin yang terakhir memahami kata-kataku ini adalah lebih baik dari yang mendengarnya secara langsung. Demi Allah aku bersaksi, bahawa aku telah menyampaikan ajaranMu kepada umatMu.

Monday, October 6, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 1


Ketika ini bakal-bakal haji 1429H dari seluruh dunia sibuk membuat persiapan untuk menunaikan rukun Islam ke 5 iaitu menunaikan haji di Baitullah. Beruntunglah bagi mereka yang dijemput sebagai Tetamu Allah dan bersabarlah bagi mereka yang masih lagi belum mendapat jemputanNya kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui hikmah di sebalik sesuatu peristiwa.

Menjadi Tetamu Allah adalah sesuatu yang istimewa bagi kita semua. Di antara berbilion umat Islam di seluruh dunia, bakal-bakal haji telah dijemput menjadi tetamuNya di negeriNya dengan segala kebesaran dan kemuliaan. Maka gunakanlah kesempatan ini untuk mendekatkan diri denganNya dengan sebaik-baiknya.

Saya dan isteri amat bersyukur kerana telah dijemput sebagai Tetamu Allah pada musim haji 1428H dan Alhamdulllah kami berjaya menunaikan Rukun Islam Kelima dengan sempurna, Insya Allah. Malahan kami juga pernah melalui pengalaman yang sedih dan sebak apabila rayuan kami untuk menunaikan haji pada tahun sebelumnya telah ditolak atas alasan kuota haji yang tidak mencukupi walaupun telah dua tahun berturut-turut mengikuti kursus haji dan beberapa rayuan dibuat.

Demikianlah beruntungnya bagi mereka yang telah dijemput untuk bertandang ke rumahNya. Sebagai Tetamu Allah, kita tidak dijemput disebabkan harta yang melimpah ruah, kerana Allah itu Maha Kaya atau kerana badan yang kuat kerana Allah itu Maha Perkasa tetapi kita sebenarnya telah dipilih oleh Allah dengan segala kemahuanNya dan kebijaksanaanNya. Jadi tidak hairanlah jika kita dapati ada individu yang mampu dari segala segi untuk mengerjakan ibadat haji tapi masih lagi belum sempat menunaikan ibadat tersebut. Namun yang penting kita perlu berazam, berusaha dan berikhtiar untuk menyempurnakan rukun tersebut.

Kita juga biasa mendengar suara-suara jemaah terdahulu menceritakan betapa susahnya untuk menunaikan ibadat tersebut. Terpaksa berulang alik sejauh beratus-ratus meter ke Masjid Haram dari tempat kediaman atau terpaksa bersesak-sesak melakukan tawaf mengelilingi Baitullah dan Saie dari Bukit Safa’ ke Bukit Marwah. Begitulah perbezaannya menjadi Tetamu Allah dan tetamu manusia, kita akan diuji dan dicabar dari segala segi sama ada fizikal dan mental. Bakal-bakal haji haruslah bersedia dengan segala bekalan yang perlu sama ada ilmu-ilmu, ubat-ubatan, makanan kesihatan dan segala keperluan yang mencukupi. Kita hendaklah sentiasa redha dengan segala dugaan yang diberikan kepada kita di sana.

Walaupun kita bakal menghadapi kekurangannya di sana, kita hendaklah sentiasa insaf dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakanNya dan mengambil ikhtibar dari saudara-saudara kita dari negara lain yang terpaksa berjalan berbatu-batu untuk ke masjid dan yang terpaksa tidur di kaki-kaki lima hanya untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Bagi mereka yang belum lagi mendaftarkan diri untuk menunaikan ibadat haji bersegeralah berbuat demikian kerana menurut laporan akhbar terdapat 300,000 bakal haji yang telah mendaftar di Tabung Haji masih menunggu giliran untuk menunaikan haji sedangkan kouta haji yang diberi kepada negara kita hanya 26,000 sahaja. Ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.

Sunday, October 5, 2008

KAUM-KAUM YANG PUPUS

“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhati bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkan lebih daripada kemakmuran yang telah dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan jelas (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan).Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”
(Surah Rum:9)

Saya ada membaca sebuah buku yang menceritakan tentang kaum-kaum yang pupus disebabkan kezaliman yang telah mereka lakukan di bumi Allah ini. Kezaliman yang dilakukan bukan sahaja terhadap Pencipta mereka malahan terhadap diri, keluarga, masyarakat, alam sekeliling. Mereka menyekutukan Allah, bersikap sombong, memakan harta dengan tidak sepatutnya, menindas bangsa sendiri, perlakuan seks tanpa batasan dan berbagai masalah-masalah lain lagi. Merekalah yang disebut dalam AlQuran sebagai kaum Nabi Nuh, Nabi Lut, kaum Ad, Thamud, Saba’ dan sebagainya untuk dijadikan ikhtibar dan pengajaran kepada umat Nabi Muhammad (s.a.w) seluruhnya.

Lantaran saya bagai terpanggil untuk membicarakan tentang nasib dan kesinambungan bangsa Melayu dan Islam itu sendiri di bumi yang kita cintai ini. Perlembagaan memperuntukkan bahawa Melayu ialah seorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Jadi jelaslah Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan dalam kontek perlembagaan Negara malahan Islam adalah teras kepada identiti bangsa itu sendiri.

Malangnya, perbincangan yang menyentuh tentang survival dan kesinambungan Melayu khasnya dianggap sebagai suatu yang bersikap politik kepartian dan mementingkan satu pihak sahaja sementara ada pihak lain bebas membuat kenyataan dan isu-isu berkenaan Melayu. Kalau ada pihak yang mempertahankan Melayu, mereka dianggap sebagai golongan yang mengambil kesempatan, pentingkan diri sendiri, asabiah, berfikiran sempit, Malay chauvinist, tidak sensatif dan dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Orang Melayu semakin berani mengkritik bangsa sendiri seolah-olah mereka tidak pernah merasa nikmat dan keistimewaan sebagai anak Melayu. Malahan ada anak Melayu yang dengan tanpa segan silu menggelar saudara mereka sendiri sebagai bangsa pendatang. Kita semakin tidak bersikap defensif antara satu dengan lain malahan semakin berani menyerang saudara kita sendiri. Kita lebih rela membuka pekung di dada dan meludah ke langit asal terbalas dendam di kalbu atau tercapai hajat di hati.

Kini, kita dilabel sebagai bangsa yang lemah, rasuah, kronisme, politik wang, budaya subsidi, ali baba, murtad, bohsia, dadah, mat rempit, hasad dengki, berdendam, malas dan senarai panjang yang tak perlu kita namakan di sini. Keris yang dahulunya terhunus megah sebagai lambang kuasa dan ketuanan kini hanya layak disimpan di galeri-galeri dan muzium-muzium atau hiasan kepada raja sehari.

Kita perlu mengimbas kembali sejarah bagaimana Kerajaan Melayu Melaka yang suatu ketika dahulunya dikenali sebagai empayar Melayu yang terkuat dan tersohor dari segi pemerintahan dan ekonomi. Penduduk hidup aman dan harmoni di bawah pemerintahan yang adil dan berpaksikan agama. Pelabuhannya sibuk dengan kapal-kapal saudagar keluar masuk berdagang dari seluruh pelusuk dunia. Kemudiannya disebabkan faktor kepimpinan yang lemah dan leka, mementingkan diri sendiri, lunturnya pegangan agama dan pedagang-pedagang asing yang bermuka-muka maka sebuah kerajaan yang dahulunya teguh dan kuat akhirnya tumbang menyembah bumi. Portugis akhirnya berjaya menjajah negeri. Tidak cukup dengan rampasan ekonomi, para mubaligh kristian dibawa bersama dalam misi memurtadkan anak-anak Melayu. Gereja-gereja dibina di seluruh negeri. Anak-anak negeri yang melawan disiksa hingga mati. Akhirnya, seluruh umat Melayu jua yang rugi kerana kealpaan diri sendiri.

Saya masih teringat suatu ketika dulu, ada di kalangan kita tanpa segan silu mencemuh bangsa Arab di Negara-negara Teluk. Mereka disebut sebagai mempunyai segala kekayaan yang dianugerah Allah (s.w.t). Malangnya mereka gagal bersatu bagi menyelamatkan saudara seagama kita di muka bumi yang menjadi kiblat pertama kita. Akibat mementingkan diri sendiri, sombong dan takutkan harta dan pangkat mereka dirampas mengakibatkan sehingga kini rejim Zionis masih bermaharaja lela di bumi Baitul Muqaddis. Sekarang ujian yang sama telah diturunkan Allah (s.w.t) kepada kita. Bukankah tidak sempurna keimanan seseorang itu melainkan beliau telah diuji. Seandainya kita berjaya maka akan diangkat martabat umat Melayu di sini di peringkat yang lebih tinggi. Sekiranya kita gagal maka hancur musnahlah segala yang kita pertahankan selama ini.

Lupakah kita dengan pepatah orang tua “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Bukankah Allah (s.w.t) berfirman “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. Allah juga telah berfirman “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Allah)dan janganlah bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya (AlImran:103)” Maka perbaikilah hubungan sesama kita demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Buang yang keruh ambil yang jernih kerana yang merah itu saga yang kurik itu kendi, yang cantik itu bahasa yang indah itu budi. Kadang-kadang saya terfikir sekiranya kita lalai dan alpa tdak mustahil kita akan tersenarai dalam senarai kaum-kaum yang pupus di kemudian hari, mungkin bukan dengan sesuatu yang besar melanda tetapi bagai arus deras yang menghakis tebing. Nauzubillah…..