Tuesday, October 20, 2009

SELAMAT BERANGKAT WAHAI TETAMU-TETAMU ALLAH




Hati sayu menonton DYMM Tuanku Sultan Mizan bin Zainal Abidin meraikan bakal-bakal haji di Kelana Jaya sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Lebih sayu lagi apabila mengingatkan kakak kesayangan saya yang akan berangkat esok bersama-sama pasukan petugas perubatan bagi membantu jemaah Malaysia sepanjang musim haji 1430H.

Betapa bertuahnya mereka kerana diberi kesempatan bagi menjadi Tetamu Allah di negeriNya. Tidak ada jemputan yang lebih istimewa daripada jemputan yang diberikanNya. Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Kuatkan semangat dan tingkatkan kesabaran dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran. Perbanyakkan doa kerana ia adalah senjata kepada orang-orang Mukmin. Selamat berangkat tetamu-tetamu Allah dan selamat menunaikan ibadah haji. Moga-moga kalian mendapat haji yang mabrur.

Monday, October 19, 2009

AKU BUKAN MALAIKAT



Minggu lepas saya menonton sebuah cerita telivisyen bertajuk “aku bukan malaikat” mengisahkan seorang pemuda yang terperangkap dalam satu kes pembunuhan melarikan diri dari polis dan menyamar sebagai ustaz dan mengadakan kelas agama untuk penduduk kampung. Dia kemudiannya mendapat manfaat daripada ilmu-ilmu yang diperolehi dan diajar kepada masyarakat desa dan akhirnya menyerahkan diri dengan rela kepada pihak berkuasa sehingga selesainya kes pembunuhan tersebut dan dia akhirnya dibebaskan.

Demikianlah makhluk yang dinamakan manusia. Tidak pernah lekang dari melakukan kesilapan samaada kita sedar atau sebaliknya. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita semua mempunyai kelemahan tersebut. Apa yang penting kita sentiasa bermuhasabah tentang diri kita dan sentiasa memperbaiki hidup demi meneruskan musafir yang berwarna-warna ini. Kita juga perlu sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Hanya mereka yang merenung dan mengambil ikhtibar akan memperolehi manfaat darinya.

Begitulah juga besar dan agong jiwa mereka yang penuh dengan sifat pengampun dan berkasih sayang. Mereka yang sentiasa memberi kemaafan dan kasih sayang untuk dikongsi bersama umat yang lain. Kerana mereka sedar bahawa mereka juga manusia dan mereka juga tidak lekang dari melakukan kesilapan. Walau bagaimana pun tidak terlewat untuk diucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir & Batin.”

Sunday, August 30, 2009

AKU INSAN KERDIL




Ramadhan sudah masuk hari ke sembilan. Syifa’ yang berusia sembilan tahun dengan gembira masih dapat menunaikan ibadat puasa dengan penuh dan Insya Allah dia akan beristiqamah dalam menunaikan ibadah tersebut seperti tahun sebelumnya. Dia terasa puas jika dapat menahan diri dari lapar dan dahaga seolah-olah puasa hanya untuk menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja. Mungkin dia sama seperti anak-anak kecil yang lain yang belum mengerti makna sebenar yang tersirat dan tersurat dalam ibadah yang telah difardhukan ke atas kita.

Mungkin puasa sudah sinonim dengan menahan diri dari makan dan minum sahaja dalam masyarakat kita sehingga ia telah diwarisi oleh anak-anak kita. Kita lupa yang kita juga perlu menjaga lidah yang boleh membawa kita ke lembah neraka. Kita juga lupa mengawal mata, tangan, kaki dan bahagian-bahagian badan yang lain yang perlu “dipuasakan” bersama-sama kita. Teringat saya kata seorang pakar motivasi; “senyap itu adalah emas dan bercakap itu adalah permata sekiranya ia adalah perkara yang perlu dan baik-baik sahaja.” Oleh yang demikian kita merasakan puasa kita sudah cukup lengkap sebagai bekalan bagi menghadap Allah (s.w.t) nanti. Oleh yang demikian juga, kita menjadi selesa dan menganggap soal syurga merupakan satu perkara mudah dan boleh dinikmati sesuka hati.

Demikianlah nilai sebuah ibadat ibadat samaada solat, zakat dan yang lain. Kita bukan sahaja perlu mendirikan solat malahan perlu cukup dengan rukun dan syarat-syaratnya bukan sekadar batuk di tangga. Kadang-kadang kita hanya tersedar yang kita sedang menunaikan solat apabila kita berada di tahiyat akhir kerana gagal menghadirkan hati dalam ibadat tersebut. Kadang-kadang kita terus dibawa arus sehingga berakhirnya salam. Jadi bagaimanakan ibadat kita dapat menjaga kita dari api neraka. Teringat saya kisah bagaimana ulama-ulama terdahulu selepas sahaja memberi salam terus menutup muka dengan tangan kerana takut solat mereka tidak diterima dan dilemparkan pada muka mereka sebagai kain buruk. Begitulah tingginya nilai solat bagi mereka bukan sekadar menunaikan satu tanggungjawab. Teringat saya kata-kata Saidina Umar AlKhattab; “sekiranya di akhirat nanti Allah (s.w.t) berkata semua orang masuk syurga melainkan seorang maka aku kira ia adalah Umar”. Maka di manakah kita dengan bekalan yang kita ada hari ini.

Thursday, August 13, 2009

BERKATA BENAR WALAUPUN IANYA PAHIT













Ketika memandu ke pejabat teringat saya pepatah Arab yang menyatakan “berkata benar walaupun ianya pahit”. Ungkapan yang ringkas tetapi penuh dengan makna yang tersurat dan tersirat. Betapa beratnya bagi manusia untuk kepada berpegang kepada prinsip ini pada setiap masa.

Manusia sanggup berkata apa sahaja demi untuk mempertahankan sesuatu. Adakalanya terpaksa berbuat demikian demi menjaga hati seseorang rakan atau takut kehilangan kedudukan atau kemewahan atau apa-apa kepentingan atau apa-apa sebab lain. Pepatah ini juga disambut dengan perkataan “walaupun ianya pahit”. Pahit selalu dikaitkan dengan sesuatu yang tidak disukai oleh masyarakat keseluruhannya sehingga ada yang menyatakan “madu itu manis bagi lelaki tetapi pahit bagi perempuan”. Pahit selalu dikaitkan oleh masyarakat dengan perkara-perkara yang tidak disukai seperti pengalaman pahit. Tetapi pahit juga kerap kali dikaitkan dengan ubat dan penawar ketika kita menderita kesakitan.

Perkataan yang bertentangan dengan pahit pula adalah manis. Manis kebiasaannya dikaitkan dengan sesuatu yang indah dan suka didengar. Oleh yang demikian wujudnya ungkapan seperti janji dan kenangan manis. Malangnya, disebalik kemanisan yang tidak terkawal terdapat banyak kemudaratan kepada masyarakat. Terlalu banyak gula boleh menyebabkan penyakit kencing manis. Terlalu asyik dibuai mimpi manis menyebabkan kita lupa dengan perjuangan asal kita dimuka bumi.

Walau apapun alasan kita, moga kita semua dapat bermuhasabah dalam menghadapi Ramadhan Al Mubarak yang bakal menguji keimanan kita. Selamat Menyambut Ramadhan AlMubarak 1430H.

Tuesday, August 4, 2009

KERANA AKU MENCINTAI MU



Mengenalimu membuatkan aku sentiasa ternanti kehadiranmu,
Menantimu membuatkan jantungku mula berdegup,
Bertemu denganmu adalah satu rahmat yang besar,
Bersamamu bak penawar dikala sunyi,
Mengingatimu bagai satu rahmat,
Berpisah denganmu satu penantian yang tidak berkesudahan,

Ramadhan,
Kau datang dengan seribu rahmat dan berkat,
Bersama-samamu tersimpul keampunan dan kejayaan,
Terangkum seribu hikmah dan teladan,
Tersurat dan tersirat,
Bagi mereka yang sentiasa mencari dan merinduimu

Ramadhan,
Jadikan pertemuan kali ini satu yang amat bermakna,
Pertemuan yang lebih baik dari tahun sebelumnya,
Kerana engkau adalah bulan yang teristimewa,
Buatku dan umat Muhammad (s.a.w) seluruhnya,

Ramadhan,
Janganlah aku lupa dengan rahmat yang mengiringimu,
Janganlah aku alpa dengan ikhtibar di dalammu,
Janganlah aku lalai dalam perjalanan bersamamu,
Janganlah aku tercicir dari manfaat fadzilatmu,

Ramadhan,
Kiranya aku tidak sempat menyapamu,
Kiranya aku tidak mampu berdiri dihadapanmu,
Kiranya aku pergi terlebih dahulu sebelummu,
Kerana taqdir melebihi segalanya,
Maka dengarkanlah bisikan hatiku yang amat merinduimu,
Selamat Datang Ramadhan,
Selamat Datang Keampunan,
Selamat Datang Kerahmatan,
Selamat Datang Keselamatan,
Kerana aku sentiasa mencintaimu….

Sunday, July 19, 2009

ISRAK DAN MIKRAJ



Hari ini jatuh pada 27 Rejab 1430, merupakan satu hari yang bersejarah kepada umat Islam seluruh dunia. Umat Islam merenung kembali peristiwa Israk dan Mikraj bagi mengambil ikhtibar dari perjalanan pengembaraan Junjungan Besar Rasullullah (s.a.w) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum diangkat ke langit dan menemui Allah (s.w.t). Peristiwa besar ini menyaksikan bagaimana sahabat Rasulullah (s.a.w), Abu Bakar telah diberi gelaran AsSidek ataupun yang membenarkan kata-kata Rasulullah (s.a.w), apabila puak-puak kafir musyrik cuba untuk mengelirukan beliau supaya meninggalkan ajaran Rasulullah. Bagi mereka yang tidak kental iman mereka, maka mereka akan mudah terpesong dek pujukan golongan musyrik dan menganggap Nabi Muhamad (s.a.w) sudah tidak waras.

Pengembaraan ini juga bermula dengan proses pembersihan hati Rasulullah oleh Malaikat Jibrail dan Mikail dengan pembedahan mengeluarkan ketulan hitam dan air zam-zam seterusnya dimasukkan hikmah, iman dan ilmu sebelum dijahit semula. Kemudian didatangnya Buraq sejenis tunggangan bagi membawa Rasulullah (s.a.w) bagi membawa baginda dan ditemani oleh malaikat Jibrail sendiri. Maka mereka kemudiannya telah menempuh berbagai-bagai pengalaman dan ikhtibar dalam ekspedisi mereka menuju Allah (s.w.t) sebelum menerima wahyu agar didirikan sembahyang.

Teringat saya ceramah yang diberikan bagaimana Rasulullah telah dijemput untuk bertemu Allah sedangkan Malaikat Jibrail dan Buraq tidak dibenarkan bersama-sama beliau. Maka Buraq pun berkata mengapa ia tidak dibenarkan masuk kerana ia mempunyai nafsu. Kemudian Jibrail menjawab beliau lebih layak kerana ia tidak mempunyai nafsu dan mempunyai iman. Begitulah kelebihan manusia kerana ia mempunyai keduanya sehingga manusia mempunyai darjat yang tinggi sekiranya dapat menguatkan iman dan mengawal nafsu tetapi akan menjadi sebaliknya sekiranya ketiadaan iman dan tidak dapat mengawal nafsu.

Sememangnya banyak yang perlu dikupas dalam pengembaraan Rasulullah (s.a.w) ini walaupun ianya telah berlaku lebih dari 1430 tahun tetapi mengapa masih ramai umat Islam melupakannya. Allah berfirman dalam Surah Al Isra ayat 1 bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambanya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Selamat Menghayati Israk dan Mikraj dan mengambil manfaat daripadanya.

Tuesday, June 2, 2009

HIKAYAT SANG BAKAWALI




“Siapa Tuhan kamu,” tengking Malaikat Munkar dan Nankir. Maka berdebar-debarlah sekujur tubuh yang terbaring lemah berlantaikan tanah yang keras di ruang yang gelap lagi sempit, tubuh yang tidak mampu mempertahankan dirinya dari apa-apa seksaan, tubuh yang berharap agar diberi sedikit simpati dan belas kasihan, moga-moga akan diringankan segala hukuman dan beban. Pada hari ini perkataan menyesal dan taubat tidak lagi mempunyai apa-apa makna dan kebaikan. Hanya Dia sahaja yang mampu menghulurkan bantuan. Pada hari itu, seluruh peninggalan dunia hanya tinggal sebagai bebanan. Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa beringat dan mendapat pengajaran.

Malangnya mulut yang sebelum ini pandai berkata-kata menjadi kelu dan tidak mampu mempertahankan sekujur tubuh di pembaringan. Hanya anggota seperti mata, hidung, tangan dan kaki yang mampu menjawab soalan-soalan yang diajukan. Hanya amalan-amalan ketika hayat dikandung badan yang akan menyelamatkan tubuh yang lemah ini dari dihimpit dan disiksa tanpa belas kasihan. Pada hari ini segala sandiwara kehidupan akan terdedah, segala pembohongan akan dibongkar dan yang tinggal hanyalah kebenaran.

Kita semua yakin bahawa tiada seorang pun antara kita yang terkecuali daripadanya. Kita juga yakin yang hari itu semakin hari semakin dekat mengejar kita walau sekuat mana kita berusaha meninggalkannya. Namun kita masih berlagak seolah-olah saat itu hanya dongengan semata-mata. Ada yang terus sibuk mengejar dunia dan ada yang masih leka berpoya-poya. Memang kita dilarang meninggalkan dunia tetapi kita perlu bijak mengawalnya agar ia tidak menguasai kita. Kadang-kadang kita lupa akan hukum dunia, kiranya padi yang ditanam maka hasilnya akan tumbuh pokok-pokok padi untuk dituai dikemudian hari tapi kalau lalang yang ditanam maka lalang jua hasilnya. Jadi manfaatkan hidup ini sebaiknya kerana kita juga bak sang bakawali yang hanya mampu mekar dan megah ditengah malam dan layu ketika subuhnya.

Monday, June 1, 2009

BAKAWALI OH BAKAWALI......


24 jam sebelum berkembang


4 jam sebelum berkembang




Detik 12 tengah malam


6 jam selepas berkembang


8 jam selepas berkembang

Sunday, May 24, 2009

PAK KADUK MENANGIS LAGI



Adakala saya merenung nasib anak-anak bangsa saya di tanah air yang tercinta. Adakah mereka benar-benar terbela atau semakin hari semakin jauh dilupakan bersama peredaran masa. Adakah mereka benar-benar bersedia atau hanya dikaburi dengan sifat kebencian atau keegoan semata-mata. Adakah hak-hak mereka dipertahankan atau semakin hari berkurangan dihakis arus politik semasa. Adakah nikmat-nikmat yang telah dikecapi adalah keistimewaan atau hanya gimik politik semata-mata.

Teringat saya kisah sebelum merdeka apabila pemimpin-pemimpin kita pergi ke London bersama-sama wakil-wakil Raja yang salah seorang Dato’ Panglima Bukit Gantang Wahab sendiri bagi membantah penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu. Akhirnya satu persetujuan telah dibuat bahawa bangsa lain diberi tahap kewarganegaraan yang sama di Tanah Melayu namun orang-orang Melayu diberi sedikit keistimewaan dan raja-raja Melayu diberikan kuasa dibawah Perlembagaan.

Anak-anak Melayu diberi peluang pendidikan yang lebih luas bagi menyambung pelajaran hingga ke menara gading, biasiswa dan pinjaman pendidikan disediakan bagi mengurangkan beban keluarga, peluang-peluang pekerjaan dalam sektor awam dipermudahkan agar mereka dapat menyumbang dalam memajukan dasar-dasar negara, peluang-peluang dan bantuan-bantuan perniagaan diberikan agar mereka dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain, berbagai kemudahan lain diberi kepada mereka agar mereka terus berusaha bagi mencapai kejayaan kerana hak yang ada bukanlah sesuatu yang kekal selama-lamanya jika tidak dipertahankan sesama kita.

Namun ada di antara kita yang merasakan bahawa ianya sesuatu yang tidak berguna, ada yang menyatakan bahawa dasar itu hanya sia-sia padahal satu ketika dahulu merekalah yang telah mengambil manfaat daripadanya. Ada yang mengatakan bahawa kita telah bersedia padahal mereka masih terkial-kial mencari rentak untuk berniaga. Ada juga yang menyatakan bahawa kita semua harus memperjuangkan kesamarataan sesama kita.

Saya percaya bahawa kebajikan setiap rakyat perlu dijaga. Peluang-peluang perlu diagih-agihkan sesama kita. Kemiskinan perlu dibasmi tanpa mengira warna kulit dan paras rupa. Namun kita juga perlu adil kepada anak bangsa kita. Mereka yang belum mampu bangun menghadapi gelombang ekonomi dan sosial negara dan dunia. Saya juga percaya bahawa kita semua terlibat dalam suatu perlumbaan di Malaysia. Masyarakat Melayu berusaha bagi mendapatkan ruang ekonomi yang dikuasai oleh golongan bukan Melayu. Manakala golongan bukan Melayu sedang cuba mendapatkan hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera. Malangnya kita bukan sahaja terlepas dari mendapatkan kek ekonomi malahan kita juga sedang kehilangan hak-hak yang kita tatang selama ini.

Adakah ini harga yang perlu kita bayar bagi mendapatkan sesuatu kuasa. Adakah kita semakin kuat atau sudah menjadi rakyat kelas ketiga di tempat tanah tumpah darah nenek moyang kita. Adakah agama semakin dipertahankan atau hanya retorik politik bagi memancing undi semata-mata. Hanya kita yang mampu menilai dengan hati yang bersih dan akal yang waras. Jangan sampai Pak Kaduk menangis lagi akibat menang sorak kampung tergadai.

Sunday, May 17, 2009

MUSAFIR DI BUMI GERSANG



Semalam saya singgah di Gerbang Malam, Ipoh, tempat di mana penjaja kecil jalanan menjual barang-barang kegunaan harian seperti aksesori telefon bimbit, pakaian, minyak wangi, barang mainan dan berbagai barang-barang yang mampu dibeli oleh kebanyakan penduduk setempat. Saya juga sempat memerhati pelbagai gelagat manusia di sepanjang jalan tersebut. Ada yang datang hanya memenuhi aktiviti malam minggu, ada yang sudah memasang niat mencari barangan tertentu, ada yang tidak mempunyai apa-apa tujuan atau mungkin atas alasan-alasan lagi.

Terfikir sejenak saya bahawa kita semua berada dalam suatu perjalanan hidup sama seperti kehadiran pengunjung-pengunjung di Gerbang Malam. Adakah kita sekadar menghabiskan masa dengan sesuatu yang sia-sia atau atau masih lagi tercari-cari matlamat hidup atau kita sudah berada di landasan yang sepatutnya.

Ada yang masih leka dengan kehebatan dan kebesaran dunia, ada yang masih bongkak dengan pengaruh dan ilmu di dada, ada yang gila mengejar pangkat dan harta malahan ada yang sanggup menggadaikan segalanya demi mencapai maksud yang sia-sia. Bagi mereka, moga Allah memberi petunjuk dan hidayatNya agar mereka tidak terus sesat dalam musafir mereka.

Ada yang masih tercari-cari arah cahaya. Golongan ini merasakan hidup serba tidak kena dan mereka sanggup habiskan hidup dengan mencuba segala pilihan yang ada. Kadangkala, mereka menjadi fanatik dan ikut-ikutan apabila berjumpa sesuatu yang mereka rasakan sesuai dengan hidup mereka walaupun ianya sesuatu yang fatamorgana. Mereka mudah dipengaruhi dengan rasa benci dan menafikan segala kebaikan yang ada. Mereka mungkin buta dengan tujuan asal hidup mereka. Moga Allah membuka mata mereka dan kembali berjuang atas matlamat yang sebenar.

Beruntunglah bagi mereka sedar dan faham akan matlamat hidup. Mereka bukan dari golongan yang ikut-ikutan, mereka juga bukan dari golongan yang mementingkan diri sendiri, malahan mereka sedar akan erti hidup dan kehidupan. Mereka ikhlas dalam perjuangan, mereka sentiasa bersyukur dengan segala keputusan dan mereka berserah dengan takdir dan ketentuan. Mereka akan terus diuji dari hari ke hari agar mereka menjadi semakin kuat dan berani. Demikianlah pejuang sebenar, mereka tidak meletakkan kepentingan peribadi dalam senarai keutamaan diri. Teruskanlah berjuang kerana Allah akan sentiasa bersama-sama orang yang sabar.

Saya meninggalkan Gerbang Malam dengan tafsiran yang tersirat disebalik suatu perjalanan setelah mendapat sebuat beg sandang yang telah lama dicari untuk kegunaan harian. Selamat tinggal Gerbang Malam…… selamat datang dunia……

Friday, May 15, 2009

BUBAR… BUBAR…



Satu petang sedang saya menonton gelagat mantan Menteri Besar Perak YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Ahli Dewan Negeri Pasir Panjang melalui media elektronik, yang merampas mikrofon dari Tuan Yang DiPertua Dewan Negeri Perak selepas Tuan Yang DiPertua Dewan mengumumkan Dewan telah ditangguhkan dan beliau melaungkan perkataan “bubar… bubar…”. YB Dato’ Seri Mohammad Nizar juga setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan keputusan Semakan Kehakiman bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah kerana tiada undi hilang kepercayaan dibuat terhadap beliau di dalam Dewan Negeri Perak telah memohon untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi mendapatkan perkenan kebawah Duli Tuanku untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN).

Saya terusik dengan kematangan pemimpin-pemimpin kita apabila menghadapi sesuatu krisis kepimpinan samaada dalam suatu organisasi pertubuhan maupun politik. Mereka lebih cenderung mempertahankan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat seluruhnya. Mereka lebih gemar menggunakan rakyat sebagai alasan bagi menghalalkan cita-cita mereka. Kita lihat bagaimana UMNO telah diharamkah apabila pihak yang tewas telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah terhadapnya. Kita juga lihat berbagai bagai sandiwara dan tindakan yang dibuat oleh mereka yang tersisih dari barisan kepimpinan seolah-olah mereka telah hilang segalanya, umpama kata peribahasa “marahkan nyamuk kelambu dibakar”.

Saya cenderung melihat krisis kepimpinan di Perak secara menyeluruh dan bukannya di “cut and paste” mengikut selera sesuatu golongan sahaja. Fakta yang jelas ialah pada 8 Mac 2009, Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi DUN, Democratic Action Party (DAP) 18, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 7 dan Parti Islam Semalaysia (PAS) 6, satu permohonan kemudiannya telah dibuat oleh BN bagi menubuhkan kerajaan minoriti di Negeri Perak tetapi telah ditolak oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi memberi laluan kepada DAP, PKR dan PAS untuk menubuhkan kerajaan campuran. BN sebagai satu parti yang memenangi majoriti kerusi DUN Perak sekali lagi memohon perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak agar baginda membubarkan DUN Perak tetapi telah ditolak dengan penuh kebijaksanaan baginda. Sekali lagi DYMM Paduka Seri Sultan Perak dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan telah melantik YB Dato’ Seri Mohammad Nizar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dari parti PAS walaupun parti yang beliau wakili hanya memenangi 6 kerusi dalam DUN Perak, sebagai Menteri Besar Perak yang Kesepuluh selepas beliau mendapatkan pengesahan dan kepercayaan dari ADUN-ADUN DAP, PKR dan PAS. Walaupun terdapat suara-suara sumbang di kalangan penyokong-penyokong BN, DAP maupun PKR tetapi semua harus redha dan menerima prinsip bahawa majoriti ADUN menguasai kerajaan walaupun mereka bertanding dibawah parti dan manifesto yang berbeza.

Kita juga melihat bagaimana sejarah berulang apabila 3 ADUN yang sebelum ini menyokong kepimpinan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan terhadap beliau dan menyatakan sokongan mereka kepada YAB Dato’ Seri Dr Zambry bin Abd Kadir bersama-sama 28 ADUN BN yang lain. DYMM Paduka Seri Sultan Perak sekali lagi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan memeriksa dan mengesahkan kepercayaan kesemua ADUN tersebut terhadap YAB Dato’ Seri Dr Zambry kemudiannya memperkenan perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang Kesebelas. Pada masa yang sama baginda mendapati YB Dato’ Seri Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan majoriti ADUN Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak selanjutnya memerintahkan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar meletak jawatan apabila permohonan beliau bagi membubarkan DUN tidak diperkenankan oleh baginda. Walaubagaimana pun setelah keputusan Mahkamah Tinggi menyebelahi YB Dato’ Seri Mohammad Nizar, beliau sekali lagi memohon menghadap bagi mendapatkan perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak.

Pilihan raya kecil negeri bukanlah satu-satunya jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak. Ia juga bukanlah alat bagi memuaskan nafsu atau cita-cita pemimpin-pemimpin tertentu. Pilihan raya kecil negeri adalah satu jalan akhir bagi mendapatkan mandat rakyat seluruhnya setelah rakyat menilai keseluruhan potensi kepimpinan dan demokrasi tanpa diracuni oleh pelbagai tanggapan negatif, ancaman, tohmahan, ugutan, hasutan dan simpati. Pilihan raya patut dilihat sebagai platform bagi rakyat menyuarakan pendapat mereka berkaitan kepimpinan, dasar, pembangunan dan ketelusan.

Kita perlu bijak dalam mengatur sesuatu keutamaan. Kepentingan rakyat keseluruhan perlu diberi keutamaan dalam mengambil sesuatu keputusan. Ketidakstabilan ekonomi dunia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rakyat Perak secara keseluruhan. Kerajaan perlu bekerja keras bagi menghadapi cabaran ekonomi yang semakin meruncing dan bukannya sibuk dengan politicking yang merugikan rakyat seluruhnya. Kita perlu bersaing dalam menjadikan bumi Perak sebagai satu destinasi pelaburan yang terbaik di Malaysia dan kita juga perlu memastikan rakyat dapat hidup selesa dengan limpahan ekonomi negeri. Bak kata pepatah “yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.”

Rakyat Perak sememangnya sedar sekiranya DUN dibubarkan maka akan wujud berbagai pembaziran dalam perbelanjaan negeri. Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan di tiap-tiap kerusi DUN terdapat puluh-puluh pusat mengundi. Maka berjuta-juta ringgit yang terpaksa dibelanjakan bagi memuaskan permintaan sesuatu golongan. Kita juga sedar beribu-ribu kakitangan awam yang terpaksa dikerahkan bagi membantu perjalanan proses pilihan raya. Maka akan lumpuhlah jentera kerajaan semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya padahal mereka sepatutnya mencurahkan tenaga memberi perhatian dan manfaat kepada rakyat seluruhnya.

Pembubaran DUN dan pilihan raya bukannya penyelesaian kepada masalah yang ada kerana sekiranya keputusan tidak menyebelahi sesuatu pihak maka kemungkinan keadaan akan menjadi bertambah kecoh dan tidak stabil dengan tuduhan-tuduhan seperti berat sebelah, rasuah, pengundi hantu dan lain-lain yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak yang kecewa. Kita juga sedar bahawa masa bergerak semakin hampir dengan pilihan raya umum yang ke 13 yang mungkin diadakan pada masa-masa. Tidak mustahil ianya diadakan dalam tempoh setahun dua ini. Adakah kita sanggup untuk menggadai apa yang kita ada hanya untuk melihat permintaan golongan minoriti dipenuhi atau kita semua terus bergerak kehadapan dan membuat pilihan apabila tiba masanya. Rakyat Perak sememang bijak dalam membuat penilaian dan tidak mempunyai masalah ingatan singkat yang boleh membuatkan mereka lupa apa-apa pencapaian ketika berada di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar. Mereka juga akan terus menilai kemampuan YAB Dato’ Seri Dr Zambry dalam memimpin kerajaannya. Jadi janganlah kita takut dengan bayang-bayang sendiri. Biarlah masa yang menentukan segalanya.

Rakyat Perak juga menjunjung kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam membuat keputusan melantik YAB Dato’ Seri Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak. Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini tidak menyebelahi YAB Dato’ Seri Dr Zambry, beliau berhak untuk merayu keputusan ini di Mahkamah Rayuan dan seterusnya pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut berhak untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Pembubaran DUN bukan sahaja menjadikan kes di mahkamah sebagai bahan akedemik malahan ianya menafikan hak YAB Dato’ Seri Dr Zambry sebagai seorang rakyat yang mempunyai kepercayaan majoriti ADUN-ADUN Perak.

Rakyat Perak akur dan menerima apa-apa perintah yang diputuskan oleh mahkamah. Kita perlu “gentlemen” dalam apa-apa jua keadaan walaupun tidak memihak kepada kita. Kita tidak boleh menuduh mahkamah tidak adil apabila tidak menyebelahi kita dan memuji-muji sekiranya keputusan sebaliknya.

Maka sekiranya ditakdirkan mahkamah tertinggi di Malaysia memutuskan dan menafsirkan bahawa usul kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri terhadap Menteri Besar hendaklah dibuat di dalam Dewan Negeri maka YB Dato’ Seri Mohammad Nizar hendaklah menghormati keputusan tersebut dengan memohon perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak supaya baginda memanggil sidang khas Dewan bagi menguji samaada beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri dan selepas itu barulah beliau berhak memohon pembubaran DUN Perak seperti kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang dipohonnya.

Sunday, April 26, 2009

ANTARA EMOSI DAN REALITI…..



“Tidak adil! Tidak demokratik! Ini semuanya kerja-kerja tak bermoral”, jerit Abang Leman yang telah diketahui ramai tentang sikapnya yang pro Pakatan Rakyat. Orang ramai yang sedang asyik menikmati minum pagi tersentak seketika apabila terdengar jeritan Abang Leman tapi masing-masing tersenyum dan meneruskan perbualan di meja masing-masing di gerai Kak Lijah.

Sememangnya itulah emosi segelintir masyarakat apabila tiga ahli Dewan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat telah menyokong Kerajaan Barisan Nasional di Perak seterusnya menamatkan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang bakal menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya. Barisan Nasional dituduh sebagai tidak bermoral, tidak demokratik malahan sebagai pengamal rasuah. Tetapi realitinya kita masih ingat bagaimana YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008 apabila seramai lebih kurang 30 ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional akan berhijrah ke Pakatan Rakyat seterusnya menubuhkan satu kerajaan yang baru. Kita juga pernah terdengar bagaimana adegan kejar mengejar ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sehingga ke Taiwan bagi memujuk mereka menyertai Pakatan Rakyat. Kita juga pernah terasa kesan ketidak stabilan politik dan ketidak tentuan ekonomi ketika itu akibat masalah ekonomi dunia dan para pelabur luar mengambil langkah berhati-hati untuk melabur di sini disebabkan ketidak tentuan politik. Kita juga masih ingat bagaimana peristiwa kemasukan YB Adun Bota telah diterima oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebagai wira dan demokrasi.

Begitulah juga emosi yang timbul apabila DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah dianggap tidak berlaku adil dan tidak mengikut perlembagaan apabila baginda menolak permohonan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin bagi membubarkan Dewan Negeri Perak. Artikel 16(6) Undang-Undang Tubuh Perak telah diterjemah oleh pihak tertentu mengikut tafsiran sendiri tanpa melihat keseluruhan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh tersebut.

Tetapi realitinya Artikel 16(6) memperuntukan “Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti dari mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah ia mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu dikecualikan dengan permohonannya Duli Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Negeri itu.” Artikel ini bermaksud Menteri Besar yang telah kehilangan kepercayaan hendaklah meletak jawatan melainkan dengan permohonan beliau DYMM Seri Paduka Sultan Perak berkenan bagi membubarkan Dewan Negeri.

Kuasa untuk membubar Dewan Negeri merupakan budi bicara DYMM Paduka Seri Sultan Perak seperti yang termaktub dalam Artikel 18(2)(b) yang berbunyi “Maka Duli Yang Maha Mulia boleh memutuskan mengikut timbangannya sendiri pada menjalankan kuasa-kuasa tersebut di bawah (sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa yang pada menyempurnakannya ia boleh memutuskan mengikut timbangan sendiri di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu:-
(a) Lantikan seorang Menteri Besar,
(b) Keengganan memberi persetujuan kepada satu permohonan bagi pembubaran Dewan Negeri,”

Maka jelaslah DYMM Paduka Seri Sultan Perak mempunyai kuasa bagi menolak kepada persetujuan bagi membubarkan Dewan Negeri Perak.

Sebenarnya undang-undang tubuh sesuatu negeri mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan negeri-negeri lain seperti di bawah Jadual 8 Perlembagaan Negara. Jadi tidak hairanlah sekiranya Undang-Undang Tubuh Negeri Perak mempunyai persamaan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu ataupun Perlis. Kita masih ingat bagaimana perlantikan seorang Menteri Besar merupakan budibicara Sultan ataupun Tuan Yang DiPertua Negeri masing-masing. Peristiwa bagaimana DYMM Sultan Terengganu dan DYMM Raja Perlis menolak calon yang dipersembahkan oleh Kerajaan Pusat dan memilih calon lain menunjukkan bagaimana DYMM Sultan Terengganu dan DYMM Raja Perlis mempunyai budi bicara dalam melantik Menteri Besar. Kuasa budi bicara ini terletak di bawah Artikel 18(2)(a) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Jadi bagaimana kita semua menerima 18(2)(a) merupakan budibicara DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan menolak 18(2)(b) sebagai bukan kuasa di bawah budi bicara baginda.

Undang-Undang Tubuh Negeri Perak juga tidak memperuntukkan bahawa undi kehilangan kepercayaan sebahagian besar ahli-ahli Dewan Negeri terhadap Menteri Besar perlu dibuat di dalam Dewan. Malahan mahkamah dalam suatu kes perlembagaan di Sabah pernah memutuskan bahawa “test of confidence” tidak perlu dibuat di dalam Dewan dan ianya boleh dibuat melalui sumber-sumber di luar Dewan. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah memanggil kesemua ahli-ahli Dewan Negeri bagi mendengar pengakuan mereka sebelum baginda menitahkan YB Dato’ Seri Nizar meletak jawatan ataupun jawatan tersebut dikosongkan.

Jelas sekali Undang-Undang Tubuh Negeri Perak menyatakan apabila Menteri Besar kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri maka hendaklah ia meletak jawatan. YB Dato’ Seri Nizar sepatutnya menerima titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak kerana ianya dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan. Malahan kita sendiri jelas bagaimana YB Dato’ Seri Nizar sendiri memaklumkan dalam sidang akbar sebelumnya berkenaan permohonan beliau bagi pembubaran Dewan Negeri. Apabila DYMM Paduka Seri Sultan Perak menggunakan budi bicara baginda bagi menolak pembubaran maka hendaklah YB Dato’ Seri Nizar meletak jawatan.

Sememangnya kita perlu mengingati kembali sejarah bagaimana DYTM Raja Muda Perak yang ketika itu memangku tugas DYMM Paduka Seri Sultan Perak, pernah memanggil tiap-tiap ahli Dewan Negeri Perak dari DAP, PAS dan PKR bagi membuktikan sokongan mereka kepada YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin sebagai Menteri Besar sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan.

Kita juga perlu menyingkap kembali pengalaman da kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak sebagai Ketua Hakim Negara dan seorang yang amat dihormati oleh masyarakat perundangan seluruhnya. Jadi jangan sampai emosi mengaburi penglihatan kita dan menutup segala realiti yang ada. Wallahuak’lam.

Monday, January 19, 2009

MIMPI-MIMPI INDAH…



Sebagai manusia kita semua bermimpi malahan manusia tanpa mimpi bagaikan mayat hidup yang bergerak tanpa tujuan. Kita bermimpi untuk berjaya dalam hidup, kita bermimpi untuk hidup dalam keadaan mewah dan senang lenang dan berbagai mimpi-mimpi indah lain. Bak kata seorang kawan, “hidup kena banyak bermimpi.” Maklumlah, mimpi itu percuma dan tiada siapa yang boleh mempersoalkannya selagi ia tidak membebankan dan menyusahkan orang lain.

Namun mimpi akan kekal sekadar mimpi sekiranya kita tidak berusaha mengejarnya. Adakala kita rasa ianya terlalu tinggi untuk digapai, terasa berat untuk digalas atau terlalu jauh untuk dikejar. Kita juga selalu dibayangi dengan sikap-sikap seperti tidak yakin pada kemampuan diri, rendah diri, takut menghadapi kegagalan dan malas. Akhirnya kita hanya membiarkan mimpi-mimpi indah itu berlalu di depan mata tanpa mengambil peluang atau inisiatif untuk merealisasikannya.

Sekali-sekala kita perlu lihat orang-orang yang berjaya di sekeliling kita dan kita perlu membuka mata kita seluas-luasnya. Kita juga perlu sentiasa belajar dan mengambil ikhtibar di atas kejayaan mereka. Majoriti mereka adalah sama seperti kita malahan ada di antara mereka yang kurang upaya tetapi mampu mencapai kecemerlangan dalam hidup mereka.

Malangnya berbagai teori tentang kejayaan mereka yang negatif telah disogok kepada kita. Ada yang berkata mereka hanya bergantung kepada bantuan dan subsidi semata-mata. Ada yang berkata mereka mempunyai hubungan dengan orang-orang yang berkuasa dan ternama. Malahan ada yang tanpa segan silu menuduh mereka dengan kata-kata kesat dan nista kerana cemburukan kejayaan mereka. Sekali lagi kita berjaya memberi alasan untuk menipu diri dan kekal di takuk yang lama.

Kadang-kadang kita gagal melihat usaha keras yang mereka curahkan untuk mengejar mimpi-mimpi mereka. Kadang-kadang kita lupa merenung bagaimana mereka berkorban harta, masa dan tenaga untuk mencapai mimpi-mimpi mereka. Kadang-kadang kita membutakan mata dari melihat sifat jujur, amanah dan tanggung jawab mereka sehingga mereka sentiasa dihormati oleh masyarakat dan dicurahkan rahmat di atas usaha-usaha mereka. Kita perlu sentiasa belajar dan mencontohi jejak-jejak mereka agar kita juga berjaya mengejar mimpi-mimpi kita. Apa yang penting kita semua perlu terus bermimpi, berkerja, berusaha, berdoa dan bertawakal bagi mencapainya. Pujangga Arab ada berkata “barang siapa yang berusaha pasti akan berjaya”. Wallahuaklam…..

Thursday, January 8, 2009

LEBAI MALANG MODEN


Hujung bulan lepas saya bersama keluarga mendapat dua jemputan walimatulurus. Jemputan pertama di rumah Cikgu Mat yang meraikan puteri sulung beliau melangkah ke jinjang pelamin di kawasan perumahan saya dan jemputan kedua meraikan Kak Pah kawan baik saya dan isteri menjadi raja sehari di Batu Gajah. Pada mulanya kami berhasrat untuk pergi ke majlis Kak Pah dahulu kemudian ke rumah Cikgu Mat yang berdekatan dengan rumah kami. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk pergi kenduri yang dekat kemudian barulah ke kenduri yang jauh. Takut-takut jadi seperti Lebai Malang, gurauan saya dengan keluarga. Kita tidak boleh menjangka kalau-kalau ada masalah di pertengahan jalan yang akan mengakibatkan kami terlepas di kedua-dua majlis tersebut.

Dalam hidup kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Keadaan hidup pada masa kini telah menjadi semakin komplek dan terdapat berbagai dugaan jika dibandingkan dengan Lebai Malang dahulu. Jangan sampai kita pula digelar sebagai Lebai Malang Moden. Kita bukan sahaja perlu memilih pasangan, kerja dan kawan-kawan malahan dalam hidup kita tidak boleh lari dari membuat pilihan. Bezanya ada yang memberikan kita kesan yang sedikit dan ada yang memberi impak yang besar sehingga ke anak cucu kita. Kita perlu sentiasa berfikiran rasional dan terbuka dalam membuat sebarang pilihan bagi menjamin kita tidak tertipu dan dipermain-mainkan oleh golongan yang berkepentingan. Kita juga perlu belajar menghormati dan menerima pilihan orang lain jika pilihan yang dibuat oleh mereka berlainan dengan pilihan kita. Kerana kita semua manusia dan pastinya kita mempunyai perbezaan pendapat dalam menilai sesuatu benda. Cuma jangan sampai kita diperlekehkan dengan kata-kata “menang sorak kampong tergadai”.

Walau apapun kita hanya manusia biasa, mampu merancang dalam membuat apa-apa tindakan namun Allah sahaja yang berkuasa penuh dalam menentukannya. Apa yang kita mampu hanyalah berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar Allah (s.w.t) sentiasa merahmati dan melindungi kita.

Saturday, January 3, 2009

KALA MALAM BULAN MENGAMBANG


Satu hari saya bertanya kepada puteri sulung saya Nurul Syifa’ apa yang terlintas di hatinya berkaitan waktu malam. Seperti yang diduga jawapannya ringkas sahaja. “Hantu”, katanya. Begitulah persepsi kanak-kanak bila disebut sahaja apa yang berkaitan dengan waktu tersebut malahan golongan dewasa juga turut terikut-ikut dengan pandangan kanak-kanak hasil daripada cerita-cerita seram yang telah disemai oleh media-media elektronik ketika ini. Tidak ramai di antara kita yang terfikir untuk bangun malam bagi mendirikan solat atau qiammullail apabila teringat sesuatu yang berkait rapat dengan malam. Malahan ramai umat Islam sudah lama mengabaikan dan melupakan aktiviti-aktiviti sebegini.

Sebenarnya begitulah nilai yang semakin menebal di kalangan masyarakat Islam ketika ini. Kita lebih dekat dengan perkara-perkara karut dan kurafat daripada mengenali dan mendekati Allah. Kita lupa bahawa malam telah dikurniakan oleh Allah (s.w.t) untuk kita berehat dan mendekatiNya tetapi berapa ramai dari kita yang telah memanfaatkan sepenuhnya anugerah nikmat malam ini. Ada yang masih sibuk bekerja dan ada yang sibuk berhibur sampai ke pagi sehingga lupa kepada anak dan isteri serta berbagai-bagai aktiviti lain yang tidak menguntungkan diri.

Para Ilmuan Islam suatu ketika dahulu telah membahagikan malam kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk merehatkan diri, sepertiga lagi untuk menambah ilmu di dada manakala sepertiga yang akhir untuk beribadat sehingga ke pagi. Umat Islam digalakkan untuk bangun malam bagi mengerjakan ibadat solat taubat, solat hajat dan solat tahajud di tengah-tengah kesunyian malam dan ketika orang ramai sedang nyenyak tidur diulit mimpi. Kita terasa berat dan rugi untuk mengorbankan sedikit masa tidur kita untuk mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta. Kita lebih rela bangun di tengah malam dan menghabiskan masa yang panjang di hadapan kaca televisyen bagi melihat siaran langsung kegemaran kita sehingga tertinggal solat subuh daripada mengambil masa yang singkat bagi menunaikan solat sunat dua rakaat bagi menunjukkan kesyukuran kita di atas nikmatNya.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Salehuddin AlAyubi berjalan pada waktu tengah malam bagi mencari dan mengenalpasti tentera-tentera Muslim yang bangun malam bagi mengabdikan dan mendekatkan diri dengan Allah ketika mereka berada di khemah-khemah tentera untuk diletakkan di barisan hadapan dalam Peperangan Salib dan meninggalkan tentera-tentera yang asyik tidur sepanjang malam dalam peperangan tersebut. Akhirnya tentera Muslim telah berjaya memenangi peperangan tersebut. Lihatlah betapa besarnya anugerah yang Allah beri kepada mereka yang sentiasa ingat dan mendekatiNya. Kadang-kadang kita sendiri lupa atau jahil bahawa terdapat banyak rahsia dan kelebihan bagi mereka yang mengorbankan seketika malam mereka untuk beribadat kepada Maha Pencipta. Kita akan menjadi semakin kuat dan berjaya sekiranya kita sentiasa mendekati Allah (s.w.t) melalui ibadat ini dan bukannya semakin lemah dan tidak produktif.

Allah (s.w.t) telah berfirman dalam Surah AsSajadah; “Mereka merenggangkan diri mereka dari tempat tidur,(sedikit tidur kerana mengerjakan solat tahjud dan lain-lain amalan soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.(16) Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan amal-amal soleh yang telah mereka kerjakan.(17)

Betapa beruntungnya bagi mereka yang mempunyai kekuatan untuk bangun di tengah malam, mengambil wudhu seterusnya menunaikan solat taubat, hajat dan tahajud di tengah-tengah malam. Marilah kita bersama-sama berazam dan membina kekuatan bagi mengimarahkan malam kita dengan ibadat ini walaupun hanya sebulan sekali. Insya Allah.

Friday, January 2, 2009

ISRAEL OH ISRAEL



Israel menganas lagi, Gaza bertukar menjadi medan perang sekali gus padang jarak padang tekukur dalam sekelip mata. Peluru-peluru berpandu menghujani Gaza lebih lebat dari hujan yang jarang-jarang turun di situ. Anak-anak kecil menjadi yatim piatu dan hilang anggota badan hanyalah cerita biasa yang kita dengar di dada-dada akhbar, media elektronik dan kedai-kedai kopi. Umat Islam serata dunia bangun mengecam tindakan Israel yang kejam dan tidak berhati perut bagi menghapuskan Palestin dari muka bumi. Berbagai demonstrasi jalanan telah dianjurkan oleh berbagai pihak di seluruh dunia dan adakalanya telah menyebabkan berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda. Namun Israel dan sekutu-sekutunya terus bangga membedil Gaza bagaikan pertunjukan mercun dan bunga api sempena menyambut tahun baru.

Namun sejauh manakah kita menginsafi keadaan yang dihadapi penduduk Palestin. Adakah peristiwa di sana tidak sedikit pun meninggalkan pengajaran kepada kita semua. Lazimnya majoriti masyarakat dunia akan lupa terhadap apa yang berlaku di sana apabila Israel berhenti rehat seketika membedil bumi Palestin. Umat Islam lebih dikenali dengan umat yang jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan tunggang langgang dari segi politik. Ada yang sanggup bermati-matian sesama sendiri hanya untuk berkuasa dan ada yang sanggup bermuka-muka bagi mencapai apa yang diidami. Tak perlu diperjelaskan lagi bagaimana rendahnya maruah dan harga diri.

Bagaimana kita ingin membantu saudara seagama kita jika kita sendiri gagal membantu diri sendiri. Kita hanya mampu melihat penderitaan mereka tetapi gagal untuk menghulurkan tangan bagi membantu saudara-saudara kita. Orang tua berkata kita sering nampak kuman di seberang tetapi tidak nampak gajah di depan mata. Tidakkah kita malu kepada diri kita sendiri. Umat Islam perlu bersama-sama menilai diri masing-masing. Kita perlu tahu apa yang menjadi matlamat hidup dan apa yang baik untuk ummah seluruhnya. Namun kita perlu ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Ar Rad yang berbunyi, “bagi tiap-tiap seorang ada malaikat yang penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah, sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada suatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada siapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”(11). Tak terfikirkan kita bahawa apa yang berlaku di Palastin adalah sebahagian amaran Allah (s.w.t) kepada kita semua. Sekiranya kita masih lagi alpa dan tidak menyelesaikan perbezaan antara kita, kita hanya mampu menjadi penonton bagi pertunjukan mercun dan bunga api yang sama di Palestine dan tempat-tempat lain atau tidak mustahil di halaman kita sendiri….