Wednesday, December 31, 2008

MELAYU BERNIAGA…


Kita sering mendengar berita tentang berbagai insentif yang telah disediakan oleh kerajaan dalam membangunkan usahawan-usahawan Melayu. Orang-orang Melayu telah diberikan berbagai bantuan dan sokongan bagi mengembangkan perniagaan mereka. Akhir-akhir ini kerajaan telah memberikan galakan terhadap kakitangan kerajaan sendiri untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara sambilan. Kesemua usaha yang dijalankan ini dapat diterjemahkan sebagai usaha untuk menambahkan bilangan usahawan Melayu dalam penglibatan arus ekonomi negara.

Saya amat berbangga dengan pencapaian sebahagian rakan-rakan yang berjaya dalam perniagaan mereka masing-masing walaupun mereka masih berkhidmat dalam sektor swasta maupun awam. Mereka bukan sahaja berani malahan sanggup mengorbankan masa, wang ringgit dan tenaga bagi menzahirkan cita-cita mereka. Saya sendiri tidak mampu untuk membahagikan dan mengorbankan masa tersebut sekiranya berada di tempat mereka. Mereka telah berjaya dalam berbagai bidang samada dalam bidang peruncitan, perkhidmatan, pengilangan, pertanian dan lain-lain. Orang-orang Melayu semakin berani bangun dan menyahut cabaran walaupun mereka telah lama selesa di atas kerusi empuk di pejabat masing-masing. Perniagaan yang mereka ceburi bukan untuk memenuhi keperluan ekonomi harian mereka tetapi sebagai jihad mereka bagi meningkatkan ekonomi agama, bangsa dan negara.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana orang Melayu telah diketepikan oleh British dari sudut keusahawanan apabila mereka mula menduduki Tanah Melayu. Orang-orang Melayu telah diletakkan di kampung-kampung sebagai petani atau nelayan. Bagi mereka yang mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan telah diserapkan oleh British sebagai kakitangan awam dalam kerajaan ketika itu. Keselesaan dan jaminan pekerjaan terhadap orang Melayu telah menyebabkan mereka takut untuk menceburi sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Bidang perniagaan dan keusahawanan dianggap sebagai sesuatu yang berisiko tinggi dan tiada jaminan hidup. Berbeza dengan masyarakat Cina, mereka mampu melihat berbagai potensi besar dalam bidang ini dan telah diberi peluang seluasnya oleh British bagi melibatkan diri dalam sektor perniagaan ketika itu. Pengalaman hidup yang mereka tempuhi ketika berada di Tanah Besar dan modal yang mereka bawa telah memudahkan mereka melibatkan diri dalam perniagaan. Mereka juga berani mengambil risiko bagi menjamin kehidupan yang lebih sempuna di masa depan.

Walauapapun kita perlu berusaha dan bekerja keras bagi membina ekonomi ummah. Kita juga perlu sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki mutu perkhidmatan atau produk kita. Sikap sambil lewa atau rendah diri perlu dikikis dari diri kita. Kita perlu sentiasa belajar selok belok perniagaan yang kita ceburi bagi menjamin kita tidak ketinggalan jauh ke belakang. Apa yang paling penting adalah kita perlu bersikap amanah dan jujur dalam menghadapi masyarakat sekeliling. Sememangnya orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang keusahawanan tapi kita perlu merenung kata-kata Bapa Hamka, “nak hidup ini susah, susah itu usaha, tapi anak-anak pasti akan mencapai kejayaan”. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya.

Tuesday, December 30, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430


Semoga kita semua akan beroleh kemenangan dan keberkatan dari Allah (s.w.t) dalam mengharungi segala dugaan dan cabaran. InsyaAllah

Tuesday, December 9, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 10



Kami semua berada di Kota Mekah selama lebih kurang 36 hari dan 8 hari di Kota Madinah sepanjang perjalanan haji ini. Banyak yang kami belajar di sini selain dari berulang alik menunaikan solat ke Masjidil Haram atau Masjidil Nabawi. Perjalanan haji bukan sahaja suatu perjalanan yang berbentuk fizikal malahan ianya juga sesuatu yang spiritual. Tidak hairanlah apabila kita pulang dari Tanah Suci akan terbitlah rasa rindu dan cinta untuk mengunjunginya sekerap yang mampu. Seorang kawan pernah berkata kepada saya, “mana tak seronok ke Mekah, makan tidur sahaja tak payah fikir bekerja”. Kadang-kadang kita lupa jika kita kita ke Tanah Haram kita perlu bangun seawal mungkin dan berulang alik ke masjid dalam keadaan bersesak-sesak. Sekiranya kita hendak berehat atau berseronok adalah lebih baik kita pergi bercuti atau melancong ke tempat-tempat perlancungan mengikut kemampuan kita. Demikianlah betapa hebatnya Tanah-Tanah Haram ini. Di dalamnya penuh kerahmatan, ketenangan, kerinduan, keampunan dan kebesaran.

Ketika di Madinah saya sempat berjumpa dengan sahabat saya, Zakaria, seorang Patani anak kelahiran Mekah. Walaubagaimana pun pertemuan kami agak singkat kerana beliau amat sibuk kerana bertugas dengan anak syarikat Tabung Haji. Sebelum pulang beliau sempat menemani saya ke pasar kurma membeli buah-buah kurma untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Saat-saat perpisahan dengan Kota Madinah terasa semakin hampir apabila pihak Tabung Haji memberikan taklimat terakhir berkenaan penerbangan pulang rombongan haji kami. Kami kemudiannya telah diarahkan untuk menunaikah Ziarah Wada’ atau ziarah selamat tinggal di Makam Rasullulah (s.a.w) selepas solat Isya’ pada 19 Januari 2008 kerana kami dijangka akan dibawa ke Lapangan Terbang Madinah pada keesokannya sebelum waktu subuh. Ziarah Wada’ merupakan satu amalan sunat dan ia merupakan adab bagi tiap-tiap jemaah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasullullah (s.a.w) sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.

Saya masih ingat pada malam itu selepas solat Isya’ saya terus bergerak melakukan ziarah ke Makam Rasullullah (s.a.w) secara berseorangan sebelum pulang ke hotel untuk makan malam. Selepas sahaja makan malam, saya dan isteri berjalan-jalan mengelilingi Masjid Nabawi melihat permandangan masjid yang akan kami tinggalkan keesokan harinya. Terasa tenang dan nyaman keadaan di persekitaran Masjid Nabawi. Kami seterusnya bergerak kehadapan Masjid bagi melakukan Ziarah Wada’ berhampiran Kubah Hijau iaitu tempat bersemadinya jasad Rasulullah (s.a.w). Terasa begitu sedih dan pilu apabila saya dan isteri mula membacakan salam ke atas Rasullulah (s.a.w). “Salam sejahtera ke atas mu wahai Rasullullah (s.a.w), rahmat Allah dan berkatNya ke atasmu, salam sejahtera keatas mu wahai Nabi Allah, salam sejahtera ke atas mu wahai sesuci-suci makhluk Allah, salam sejahtera ke atas mu wahai kekasih Allah. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa engkaulah hambaNya dan Pesuruh Allah dan aku bersaksi bahawa engkaulah yang telah menyampaikan risalah dan engkau telah menunaikan amanah, engkau telah memberi nasihat kepada ummah dan engkau telah berjihad di jalan Allah. Maka Allah telah merahmatimu, rahmat yang berkekalan sehingga ke hari kiamat, Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami dari siksa neraka. Ya Allah, kurniakanlah kepada baginda kemuliaaan dan martabat yang tinggi serta bangkitkanlah baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan padanya, sesungguhnya Engkau tidak akan memungkiri janji.

Saya terkenang seketika kisah manusia agung bernama Muhammad bin Abdullah (s.a.w) ini ketika baginda dijemput Allah (s.w.t) bertemu denganNya dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ketika bertemu Allah (s.w.t) baginda mengucapkan, “Segala kehormatan, kelimpahan, kebahagiaan dan kebahagiaan kepada Allah”. Allah (s.w.t) kemudiannya menjawab “Kesejahteraan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepada mu wahai Nabi”. Rasullullah (s.a.w) seterusnya menjawab “Kesejahteraan juga semoga tetap kepada kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.” Lihatlah betapa tingginya peribadi baginda sehingga baginda tidak pernah lupa kepada umatnya walaupun diberikan penghormatan yang besar untuk mengadap Allah (s.w.t). Peristiwa bersejarah ini telah dirakamkan sebagai bacaan tahiyatul akhir tiap-tiap kali kita mendirikan solat.

Kami kemudiannya menyampaikan salam kepada kedua sahabat baginda, Abu Bakar AsSiddek (r.a) dan Umar AlKhattab (r.a). Saya kemudiannya membacakan doa kehadrat Allah dan diaminkan oleh isteri dalam keadaan sebak dan syahdu sebelum berpisah dengan Rasullullah (s.a.w). Moga-moga Allah memperkenankan doa kami dan menjemput kami ke negeriNya pada masa-masa yang terdekat ini. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Hotel Anwar Movenpeak untuk mengucapkan selamat jalan kepada sahabat saya, Zakaria kerana dia juga akan berangkat pulang ke Mekah pada keesokannya kerana tugas-tugas beliau di Madinah telah hampir selesai.

Kami kemudiannya berjalan pulang ke hotel kami dengan menyusuri di tepi pagar Masjidil Nabawi sambil mata kami tak jemu-jemu memandang ke arahnya. Tiba-tiba terasa titisan-titisan kecil air yang sejuk hinggap di tubuh kami. Pada mula-mula saya dan isteri terpinga-pinga mencari punca titisan-titisan tersebut kerana cuaca pada malam itu kelihatan cerah, akhirnya seorang pekerja yang bertugas mencuci kawasan persekitaran masjid memandang kami sambil tersenyum dan menunjukkan ke arah langit. Subhanallah. Kami hanya mampu bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan rahmatNya kami dapat berada di sini dan di atas rahmatNya juga kami berharap semua amalan-amalan kami diterimaNya.

Malam itu kami semua hanya sekadar melelapkan mata buat seketika kerana kami perlu bangun seawal mungkin untuk bersiap-siap meninggalkan bumi Madinah. Ketika azan subuh berkumandang saya dan isteri sudah berada dalam bas untuk membawa kami ke Lapangan Terbang Madinah. Ramai jemaah yang hanya berdiam diri dalam bas kerana mengenangkan saat-saat perpisahan dengan kota Madinah ini. Saya sempat mencuri pandang ke arah Masjidil Nabawi sebelum bas bergerak meninggalkan bumi Madinah dengan harapan akan dijemput lagi ke sini berkali-kali.

Kami tiba di Lapangan Terbang Madinah 20 minit kemudian dan kami terus ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat subuh di situ. Kami kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang bagi mendaftar masuk dan pemeriksaan imigresyen sebelum masuk ke dalam pesawat. Kami semua telah dihadiahkan dengan senaskah AlQuran oleh pihak berkuasa sebagai cenderamata bagi tiap-tiap jemaah. Ketika berada dalam pesawat saya mula terkenang wajah-wajah ceria anak-anak yang telah lama ditinggalkan. Terfikir pula berbagai reaksi mereka apabila melihat ayah dan ibu mereka muncul di depan mata. “Ya Allah, satukanlah kami dan peliharalah kami sekeluarga agar dapat kami menjadi hambaMu yang taat akan perintah Mu,” detik hati saya.

Saturday, December 6, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 9

Bukit Uhud

Ketika berada di Madinah kami telah dibawa oleh pihak Muasasah Asia Tenggara dengan bantuan pelajar-pelajar Malaysia di Madinah untuk aktiviti ziarah luar. Rombongan kami telah dibawa dengan bas-bas yang yang telah disediakan mengikut kumpulan. Pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah yang terlibat bertanggung jawab memberi taklimat kepada kami mengenai tempat-tempat yang dilawati oleh kami semua.

Aktiviti bermula selepas kami semua bersarapan pagi. Kami telah dibawa melawat masjid yang pertama didirikan oleh Rasullullah (s.a.w) ketika baginda tiba di Madinah iaitu Masjidil Quba. Masjid Quba terletak lebih kurang 3.2 km dari Masjid Nabi. Semua jemaah kemudiannya berpeluang menunaikat solat tahiyatul masjid di sini. Allah berfirman dalam Surah AlTaubah ayat 108; “Janganlah engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka mengambil berat (membersihkan) mensucikan dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” Rasullullah (s.a.w) juga telah bersabda; “Barangsiapa yang telah berwudhu di rumahnya, kemudian ia berkunjung ke Masjid Quba’, lalu ia mengerjakan solat, maka ia mendapat pahala seperti pahala mengerjakan umrah.”

Kami seterusnya dibawa melawat ke Masjid Qiblatain. Baitul Muqaddis merupakan kiblat umat Islam yang pertama. Ketika di Madinah, kaum Yahudi di sana mempermainkan umat Islam dengan menyatakan bahawa orang Islam menghadapkan diri mereka kearah kiblat yang sama dengan orang Yahudi. Rasullullah (s.a.w) kemudiannya berdoa supaya Allah menukarkan arah kiblat umat Islam. Ketika bersolat zohor bersama para sahabat di sini, Allah (s.w.t) telah mengarahkan Rasullullah (s.a.w) berpaling ke Kaabah sebagai kiblat baru umat Islam.

Kami seterusnya telah dibawa melawat tapak berlakunya peperangan Ahzab di antara kaum Musyrikin Mekah dan penduduk Islam Madinah. Peperangan ini dikenali sebagai peperangan Ahzab iaitu barisan bersekutu kerana tentera Musyrik terdiri dari berbagai kabilah dari Mekah dan penduduk yahudi Madinah yang mengkhianati Rasullullah (s.a.w). Jumlah tentera Musyrikin adalah lebih kurang 10,000 orang sementara tentera Islam hanya lebih kurang 3,000 orang. Salman Al Farisy telah mencadangkan kepada Rasullullah (s.a.w) agar digali parit yang besar mengelilingi kawasan tersebut bagi menghalang musuh masuk ke Madinah berdasarkan kepada taktik perperangan tentera Parsi. Maka tentera Islam mengali parit-parit tersebut. Peperangan ini juga disebut sebagai peperangan Khandak yang bermaksud parit yang dibina di sini. Tempat ini juga dikenali sebagai Masjidil Khamsah kerana terdapat lima buah masjid di sini sebelumnya iaitu Masjid Abu Bakar AsSidek, Masjid Umar AlKhatab, Masjid Ali Abi Talib, Masjid Salman AlFarisy dan Masjid AlFath. Dalam perperangan ini Allah (s.w.t) telah menurunkan bantuannya dengan menghantar ribut pasir bagi mengalahkan tentera-tentera Musyrik sehinggakan mereka mengundurkan diri ke Mekah.

Seterusnya kami semua melawat medan peperangan Uhud. Uhud bagaikan noktah hitam dalam sejarah peperangan Islam pada zaman Rasullullah (s.a.w). Ada sebahagian tentera Islam pada ketika itu mengambil mudah perintah Rasullullah kerana mengejar harta rampasan perang walaupun telah diingatkan oleh baginda supaya menjaga kedudukan masing-masing. Peperangan Uhud berlaku selepas umat Islam dapat mengalahkan golongan Musyrik Mekah dalam peperangan Badar. Pada peringkat awalnya tentera Islam berjaya menangkis serangan Musyrik, ini menyebabkan tentera Musyrik berundur dan meninggalkan harta mereka di medan peperangan. Tentera pemanah Islam yang berada di atas Bukit Pemanah telah meninggalkan kedudukan mereka bagi mengambil harta-harta rampasan perang tersebut. Tentera Musyrik kemudiannya berpatah balik dan menyerang tentera Islam sehinggakan Rasullullah (s.a.w) nyaris terkorban dalam peperangan ini. Dalam peperangan ini bapa saudara Rasullullah (s.a.w), Hamzah bin Abdul Mutalib (r.a) telah syahid bersama-sama sahabat yang lain dan telah dikebumikan di Uhud. Salah satu kisah sedih yang terdapat di sini iaitu syahidnya sahabat bernama Mus’ab bin Umair (r.a). Sebelum memeluk Islam ia merupakan seorang pemuda kaya yang segak dan tampan, manakala semasa kesyahidan beliau di Uhud kain yang menutup jenazah beliau hanya mampu menutup bahagian atas sahaja dan mendedahkan kaki beliau. Rasullulah (s.a.w) kemudian mengambil jerami-jerami di situ bagi menutupi kakinya. Bukit Uhud kelihatan kemerah-merahan sehingga ke hari ini seolah-olah diwarnai oleh darah-darah para syuhada’. Umat Islam perlu mengambil iktibar dari peristiwa Uhud agar tidak leka dengan harta benda ketika berjuang di jalan Allah.

Sebelum pulang ke hotel kami telah dibawa ke ladang kurma bagi jemaah yang berhasrat untuk membeli buah kurma dan coklat untuk dibawa pulang. Terdapat berbagai jenis kurma yang ditanam dan dijual di sini antaranya kurma Ajwa’ atau kurma Nabi. Ia merupakan kurma yang paling berkhasiat. Spesis kurma ini ditanam oleh Rasullullah (s.a.w) di Madinah apabila dicabar oleh golongan Yahudi. Walaupun harganya agak mahal ia sentiasa menjadi rebutan para jemaah untuk dibawa pulang kepada sanak saudara.

HAJI MENUJU ALLAH 8

Raudhah

Suasana malam di Kota Madinah agak tenang, cuacanya yang sejuk menyebabkan kami semua terasa nyaman walaupun ada di antara kami yang menghadapi masalah kesihatan. Berbeza dengan Masjidil Haram, jemaah lelaki dan perempuan memasuki Masjidil Nabawi melalui pintu yang berlainan. Keadaan di sekitar kawasan masjid memancar-mancar dengan lampu-lampu sorot seolah-olah mengalu-alukan kedatangan para jemaah. Dari Abu Hurairah (r.a), Rasullulah telah bersabda; “Solat satu kali di masjidku ini lebih baik daripada solat seribu kali di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram.”

Selepas sahaja solat Isya, saya dan beberapa sahabat sekali lagi bergerak ke bahagian hadapan masjid bagi berziarah ke makam Rasullullah (s.a.w). Sekali lagi kami terpaksa membatalkan niat untuk berhenti seketika di Raudhah kerana keadaan yang agak sesak di Raudhah dipenuhi dengan jemaah-jemaah yang bersolat sunat. Selepas berziarah kami semua pulang ke Hotel untuk mengambil makan malam yang telah disediakan.

Suasana penginapan di Madinah adalah lebih selesa jika dibandingkan dengan di Mekah. Berbagai perkhidmatan disediakan di sini bagi memudahkan jemaah-jemaah Malaysia. Terdapat kemudahan guru agama, pengeluran wang, klinik, khidmat pelanggan dan cafeteria telah disediakan. Rata-rata jemaah berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan walaupun terpaksa menanti lif-lif ketika waktu sesak.

Keesokannya paginya kami semua bangun awal untuk mengerjakan solat subuh secara berjemaah. Cuaca ketika itu sangat sejuk sehingga terasa ke tulang sum-sum. Saya mengenakan 3 helai pakaian, kain serban menutup kepala, 2 helai setokin dan bersarung tangan bagi mengekalkan suhu badan ketika pergi menunaikan solat subuh. Tiupan angin yang kuat dan sejuk menambahkan lagi cabaran kami semua untuk ke masjid. Hari-hari berikutnya kami penuhi dengan menunaikan solat di Masjidil Nabawi, berziarah makam Rasullullah (s.a.w), beribadat di Raudah, menziarahi perkuburan Baqi dan di tempat-tempat bersejarah lain di sekitar kota Madinah.

Jannatul Baqi'

Pada hari kedua berada di Madinah kami semua telah dibawa secara berkumpulan oleh petugas Tabung Haji bagi melakukan ziarah dalam. Ziarah dalam merangkumi aktiviti berziarah ke makam Nabi (s.a.w), Raudhah dan perkuburan Baqi. Kami telah berikan penerangan oleh petugas-petugas dari pihak Muasasah dan Tabung Haji berkenaan tempat-tempat berkenaan. Kami seterusnya memasuki perkuburan Baqi. Ketika berada di sana saya sempat menghantar jenazah ke perkuburan Baqi bersama jemaah-jemaah lain selepas menunaikan solat subuh. Jenazah-jenazah telah dihantar dengan bergegas dan berlari-lari anak. Ini mengambarkan bagaimana jenazah-jenazah tersebut di alu-alukan oleh Allah (s.w.t). Rasullullah (s.a.w) telah bersabda; “Akulah yang mula-mula keluar dari perut bumi. Kemudian Abu Bakar, kemudian Umar. Kemudian aku didatangi oleh orang-orang Baqi. Maka mereka dikumpulkan bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah, maka aku kumpulkan di antara dua Tanah Haram.”

Keadaan pengkebumian di Baqi lebih kurang sama dengan Malaysia. Jenazah dimasukkan kedalam ke dalam liang lahat yang sedia ada. Saya bersama-sama jemaah lain bergotong royong mengangkat bata-bata yang telah disediakan dan menghulurkan kepada waris jenazah yang berada dalam kubur bagi menutup lubang kubur sebagai ganti kepada papan lahat. Akhirnya para jemaah akan bergotong royong mencangkul tanah menutupi kubur tersebut. Saya teringat cerita yang telah disampaikan oleh Guru Agama tentang salah seorang jemaah Malaysia yang meninggal dunia ketika berada di Masjid Nabi (s.a.w). Jenazah beliau kemudiannya telah dikebumikan di Baqi’. Betapa beruntungnya Allahyarham kerana diberikan penghormatan yang besar oleh Allah (s.w.t)


Bilangan jemaah semakin berkurangan dari masa ke semasa, ramai jemaah telah bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing dan majoriti jemaah Malaysia mengikuti penerbangan awal ketika menunaikan haji. Saya mengambil kesempatan tersebut meluangkan masa di Raudhah. Keadaan di Raudhah tidak sesesak ketika kami datang. Luas Raudhah lebih kurang 22 meter panjang dan 15 meter luas. Tiang-tiang dalam Raudhah telah ditandakan dengan batu-batu putih bagi memudahkan jemaah mengenalpasti kawasan Raudhah. Tiang-tiang tersebut mempunyai sejarah masing-masing yang perlu dihayati oleh jemaah-jemaah. Saya berpeluang bersolat di sebelah Tiang Taubat ketika berada di dalam Raudhah.

Tiang Taubat juga dikenali sebagai Tiang Abu Lubabah. Sejarah Tiang Taubat bermula apabila Abu Lubabah yang telah dihantar Rasullullah (s.a.w) untuk berjumpa dengan golongan yahudi Bani Quraiza yang telah mengkhianati Rasullulah (s.a.w). Abu Lubabah dengan secara tidak sengaja memecahkan rahsia tindakan yang akan diambil oleh Rasullullah (s.a.w) terhadap mereka. Apabila menyedari kesilapannya, beliau telah mengikatkan dirinya pada tiang tersebut dan bertaubat kepada Allah. Dia hanya membukakan tali ikatan tersebut apabila tiba waktu solat. Apabila Rasullullah (s.a.w) menyedari tindakan Abu Lubabah beliau bersabda sekiranya Abu Lubabah datang kepadanya dia akan berdoa ke hadrat Allah untuk keampunanNya tetapi sekarang dia menyerahkan keseluruhannya kepada Allah maka dia patut menerima keampunan dari Allah (s.w.t) secara terus. Selepas tujuh hari tujuh malam datanglah wahyu yang memaklumkan taubat Abu Lubabah telah diterima dan Rasullullah (s.a.w) telah mengarahkan isterinya Ummul Mukminin Ummu Salma (r.a) memaklumkan kepada Abu Lubabah tentang berita gembira tersebut. Ramai sahabat bergegas untuk membuka ikatan Abu Lubabah apabila mendengar khabar gembira tersebut tetapi Abu Lubabah memohon agar Rasullulah (s.a.w) sendiri membukanya dan baginda pun membukakan ikatan tersebut.

Sebagai insan yang tidak pernah lekang dari melakukan dosa, saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mendirikan solat-solat sunat berhampiran tiang berkenaan. Moga-moga Allah menerima ibadat dan doa saya. Amin. Walaubagaimana pun kita tidak boleh mengambil masa yang lama dalam kawasan Raudhah kerana jemaah lain sudah menunggu dan kita hendaklah memberikan peluang kepada mereka yang lain untuk beribadat di situ. Bukankah itu yang dianjurkan oleh agama?

HAJI MENUJU ALLAH 7

Masjidil Nabawi Madinah AlMunawwarah

Kami semua tiba di Kota Madinah AlMunawarah ketika jemaah-jemaah lain pulang dari Masjid Nabawi selepas mengerjakan Solat Zuhor. Kami di tempatkan di Hotel Alharam yang terletak kira-kira 100m dari Masjidil Nabawi. Cuaca Kota Madinah ketika itu agak sejuk sehinggakan sebahagian besar jemaah sentiasa memakai baju sejuk ketika berada di sana. Jemaah haji dari Malaysia seterusnya dinasihatkan supaya tidak mandi terlalu kerap bagi mengelakkan demam dan batuk.

Keadaan di Madinah adalah lebih teratur dan bersih jika dibandingkan dengan Kota Mekah. Penduduk-penduduk dan jemaah-jemaah haji lebih berdisiplin dan sentiasa menjaga adab-adab berziarah ketika berada di Kota Madinah jika dibandingkan dengan Kota Mekah. Jarang kedengaran orang meninggi suara atau pertengkaran di Kota Madinah terutama di dalam kawasan Masjid Nabi. Para penduduk dan para jemaah menganggap Rasullulah sentiasa bersama-sama mereka di Kota Madinah dan mereka sentiasa menjaga adab mereka dengan Rasullulah (s.a.w). Selari dengan firman Allah (s.w.t) dalam Surah AlHujrat ayat 2-3 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu manyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana sebahagian kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedangkan kamu tidak menyedarinya. (2) Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasullulah (s.a.w), merekalah orang-orang yang dibersihkan Alllah (s.w.t) hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (3)

Sebelum masuk waktu Asar, saya, isteri dan kawan-kawan bergerak ke Masjid Nabi. Selesai sahaja menunaikan solat Asar saya terus bergerak ke bahagian hadapan masjid untuk melakukan ziarah ke makam Rasullulah (s.a.w). Teringat saya kepada satu hadis dari Ibnu Umar, diceritakan Rasullulah (s.a.w) telah bersabda: “Barangsiapa yang melakukan haji dan tidak datang menziarahiku, sesungguhnya ia telah berlaku tidak adil dan menyiksa aku”.

Sebelum sampai kawasan makam Rasullulah (s.a.w) saya melalui berhampiran dengan kawasan Raudhah atau taman dari taman syurga. Rasullulah (s.a.w) bersabda, “antara kuburku dan mimbarku, terbentang taman dari taman syurga.” Kawasan Raudhah agak sesak ketika itu kerana ramai jemaah yang membaca AlQuran dan beriktikaf di dalamnya.

Sampai sahaja di laluan berhampiran Babus Salam keadaan agak sesak kerana ramai jemaah berhimpit-himpit untuk bergerak perlahan-lahan menuju makam Rasullulah (s.a.w) bagi mengucapkan salam dan menziarahi baginda. Terdapat dua makam lain berhampiran dengan makam baginda iaitu makam sahabat baginda Abu Bakar AsSidek (r.a) dan Umar AlKhatab (r.a). Rasullulah (s.a.w) telah dikebumikan di dalam rumah baginda yang ketika itu berhampiran dengan Masjid Nabi. Apabila Abu Bakar (r.a) meninggal dunia, isteri Rasullulah (s.a.w), Ummul Mukminin Saidatina Aishah binti Abu Bakar telah mengarahkan ayahnya dikebumikan di sebelah Rasullulah (s.a.w). Umar (r.a) Khalifah Islam kedua kemudiannya telah menyatakan hasrat beliau kepada Aishah (r.a) untuk disemadikan berdekatan Rasullulah (s.a.w) dan Abu Bakar apabila beliau meninggal dunia. Aishah pada mulanya berhasrat untuk bersemadi bersama suami dan ayahnya telah mempersetujui permintaan sahabat Rasullulah (s.a.w) itu. Apabila Umar (r.a) nazak akibat ditikam ketika mengimamkan solat di Masjid Nabi, beliau sekali lagi mengarahkan anaknya berlari berjumpa Aishah (r.a) memohon kebenaran untuk dikebumikan berhampiran Rasullulah (s.a.w) dan Abu Bakar (r.a) kerana permintaan sebelumnya dibuat ketika beliau menjawat jawatan Khalifah AlMukminin. Aishah (r.a) dengan rela hati telah membenarkan Umar (r.a) dikebumikan bersama-sama suami dan ayahnya yang tercinta disebabkan Umar (r.a) merupakan sahabat karib kepada mereka berdua.

Apabila menghampiri kawasan makam, hati saya tiba-tiba terasa hiba mengenangkan Junjungan Besar Rasullulah (s.a.w). Baginda tidak pernah lupa kepada umatnya walaupun berada pada saat-saat kewafatan baginda. Teringat saya kisah saat-saat Izrail mencabut nyawa baginda, baginda berteriak menahan kesakitan. Baginda menjerit kepada Jibrail yang berada di sisi baginda; “Ya Jibrail, betapa sakitnya… Oh alangkah dahsyatnya derita sakaratul maut ini….”. Jibrail kemudiannya cepat-cepat memalingkan mukanya dari Rasullulah (s.a.w) kerana tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung oleh kekasih Allah ini. Ketika kesakitan kian memuncak dan tubuh baginda kian menggigil serta urat-urat saraf saraf baginda semakin menegang Rasullulah berteriak; “Tuhanku, alangkah sakitnya wahai Tuhanku. Timpakan kesakitan maut ini kepadaku dan jangan kepada umatku.” Pada saat-saat akhir nafas baginda yang lahir dari mulut baginda ialah “umatku… umatku….”.

Sampai sahaja di hadapan makam Rasullulah (s.a.w) saya terus memberi salam keatas Rasullulah (s.a.w) dengan rasa rendah diri, rindu, hiba dan sebak. Pertemuan ini dirasakan terlalu singkat kerana saya terpaksa bergerak mengikut arus bagi memberi peluang kepada jemaah lain yang beratur untuk menyampaikan salam kepada nabi akhir zaman ini. Saya seterusnya memberikan salam ke atas Abu Bakar (r.a) dan Umar dan berdoa kehadrat Allah sebelum bergerak keluar melalui Babul Baqi’. Sebelum pulang ke hotel, saya berazam akan menziarahi insan agung ini sekerap yang mungkin ketika berada di bumi Madinah.

Thursday, December 4, 2008

MEKAH 2010 INSYA ALLAH

Moga-moga Allah menjemput kita ke rumahNya




















HAJI MENUJU ALLAH 6



Bas-bas bergerak secara berkumpulan membawa rombongan haji kami meninggalkan bumi Mekah AlMukaramah menuju ke Kota Madinah AlMunawarah. Pergerakan kami ke Madinah agak terlewat di atas sebab-sebab teknikal di pihak Muasasah Haji Asia Tenggara. Madinah adalah kota suci Islam kedua selepas Mekah. Di sinilah tertegaknya Negara Islam pertama selepas Rasullullah (s.a.w) telah diperintahkan Allah (s.w.t) berhijrah ke sana apabila penduduk Mekah semakin berani menentang dan mendera Rasullulah (s.a.w) dan umat Islam di Mekah. Rasullulah sendiri pada ketika itu berada di dalam keadaan sedih kerana kematian isteri yang tercinta, Ummul Mukminin Saydatina Khatijah binti Khuwailid (r.a) dan bapa saudaranya Abu Talib bin Abdul Mutalib.

Bas kami kemudiannya melalui jalan berhampiran Masjidil Haram sebelum meninggalkan Kota Mekah. Pandangan kami tidak jemu-jemu memerhati ke arah Masjidil Haram seolah-olah terasa sedih dan berat untuk meninggalkan bumi Anbia ini. Terlintas di hati saya bagaimana perasaan berat dan pilunya Rasullulah (s.a.w) untuk meninggalkan tanah kelahiran baginda yang tersimpan berbagai kenangan dan berpisah sementara dengan Rumah Allah bagi menuju ke Madinah untuk mengembangkan ajaran Islam di sana.

Jarak dari Mekah ke Madinah adalah lebih kurang 338 km. Perjalanan kami ketika itu amat lancar dan cuaca tidak terlalu panas kerana Tanah Arab sedang mengalami musim sejuk. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk kami tiba di sana. Saya mengambil peluang dalam perjalanan ini untuk merehat badan sambil menikmati permandangan di sepanjang perjalanan. Kawasan di kiri kanan lebuh raya ini di penuhi dengan padang-padang pasir yang terbentuk dari batu-batu kelikir dan kawasan-kawasan yang berbukit bukau. Terbayang saya perjalanan Rasullulah (s.a.w) ketika bergerak menuju ke Madinah yang bukan sahaja sukar dan mencabar akibat keadaan geografi di sana malahan amat bahaya akibat dikejar oleh pemuda-pemuda kafir musyrik yang ingin membunuh baginda dan Saidina Abu Bakar (r.a) bagi memastikan Islam terkubur di muka bumi.

Ketika itu saya terkenang satu kisah Rasullulah (s.a.w) dan Saidina Abu Bakar (r.a) semasa berhijrah ke Madinah. Selepas berjaya melepasi halangan pertama mereka iaitu melarikan diri dari rumah baginda Rasullulah (s.a.w), baginda dan Abu Bakar (r.a) telah menyorokkan diri dalam Gua Tsur dari pemuda-pemuda kafir musyrik yang mengejar mereka. Gua Tsur terletak di puncak Bukit Tsur iaitu 4km di selatan Masjidil Haram dan tingginya adalah lebih kurang 458m.

Rasullulah (s.a.w) dan Abu Bakar (r.a) telah bersembunyi selama 3 hari di gua tersebut sehingga pemuda-pemuda kafir musyrik telah berputus asa mencari dan menjejaki mereka. Allah (s.w.t) telah memerintahkan labah-labah dan burung-burung merpati membuat sarang di pintu gua tersebut sebaik saja Rasullulah (s.a.w) dan Abu Bakar (r.a) memasukinya Pada mulanya pemuda-pemuda kafir musyrik berhasrat untuk memasuki dan memeriksa gua tersebut. Apabila mendapati pintu gua tersebut dipenuhi dengan sarang labah-labah dan burung merpati pemuda-pemuda tersebut kemudiannya telah membatalkan niat untuk masuk dan memeriksa gua tersebut. Diriwayatkan dari Anas (r.a) bahawa Abu Bakar (r.a) telah menceritakan: Aku bersama Rasullulah (s.a.w) di dalam gua dan aku dapat melihat kaki pihak Musyrikin. Aku berkata, “Wahai Rasullulah (s.a.w), jika salah seorang daripada mereka mengangkat kakinya nescaya mereka akan dapat melihat kita”. Baginda bersabda, “Wahai Abu Bakar, apakah yang kamu fikirkan tentang dua orang apabila Allah (s.w.t) merupakan pihak yang ketiga bersama mereka”. Allah Taala telah berfirman dalam Surah AlTaubah ayat ke 40 yang bermaksud “……. sedangkan dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua.”

Saya seterusnya terkenang satu lagi kisah yang diceritakan oleh mutawif kami ketika membuat lawatan di Gua Tsur. Ketika Rasullulah (s.a.w) ingin berbaring untuk merehatkan diri, Abu Bakar (r.a) telah menawarkan kepada baginda untuk tidur di atas pehanya. Bagi memastikan keselamatan Rasullulah daripada binatang-binatang berbisa, Abu Bakar (r.a) telah mengambil kain-kain yang ada bagi menutup lubang-lubang yang terdapat dalam gua tersebut. Oleh kerana kain tidak mencukupi Abu Bakar telah menutup salah satu lubang dengan pehanya. Ketika Rasullulah (s.a.w) sedang nyenyak tidur, seekor kala jengking telah keluar dari lubang tersebut dan menggigit peha Abu Bakar (r.a). Disebabkan rasa kasih dan sayangnya Abu Bakar (r.a) terhadap baginda, Abu Bakar (r.a) hanya mendiamkan diri dan menahan kesakitannya. Rasullulah (s.a.w) hanya menyedari keadaan tersebut apabila air mata kesakitan Abu Bakar jatuh ke pipi Rasullulah (s.a.w). Apabila menyedari keadaan tersebut Rasullulah (s.a.w) telah berdoa kepada Allah (s.w.t) dan meludah di tempat gigitan tersebut seterusnya kesakitan dipeha Abu Bakar pun sembuh. Ada juga diceritakan bahawa Rasullulah (s.a.w) seterusnya bertanya kala jengking tersebut sebab ia menggigit Abu Bakar (r.a) dan kala jengking menyatakan bahawa ia ingin menatap wajah Rasullulah (s.a.w) tetapi dihalang oleh peha Abu Bakar (r.a). Subhanallah, betapa tingginya mukjizat yang Allah kurniakan kepada Rasul pilihanNya.



Kami seterusnya berhenti di kawasan rehat di pertengahan jalan. Cuaca sejuk sudah mula terasa di kawasan perhentian tersebut. Para jemaah mengambil peluang ini melapik perut masing-masing sebelum bergerak menuju ke Kota Madinah. Dalam kesejukan tersebut saya teringat sabda Rasullulah (s.a.w) bermaksud sekiranya cuaca panas Madinah akan lebih panas dari Mekah dan sekiranya cuaca sejuk Madinah akan lebih sejuk dari Mekah bagi menguji kesabaran penduduk Madinah.

Sebelum memasuki kota Madinah, kami sekali lagi berhenti di satu perhentian bagi membolehkan pihak berkuasa Madinah mengesahkan paspot-paspot kami sebelum dibenarkan menjejaki kaki ke Kota Suci ini. Terasa rindu tidak tertahan di hati kami semua untuk menziarahi makam Rasullulah (s.a.w) yang terletak di Masjidil Nabawi. Betapa besarnya jasa baginda kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa sehinggakan seorang penulis barat, Michael H. Hart telah menobatkan baginda sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia dalam bukunya yang berjudul “The 100 A Ranking Of The Most Influential Persons In History”.

Wednesday, December 3, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 5


Perjalanan meninggalkan bumi Mina ke Kota Mekah bergerak agak lancar walaupun sekali sekala terhenti-henti akibat kesesakan jalan yang dipenuhi bas yang membawa para jemaah dari negara lain. Kami diturunkan berhampiran kawasan Masjid Haram pada waktu Asar kerana jalan menuju ke Maktab kami telah ditutup bagi memudahkan para pejalan kaki pulang dari masjid. Kami bergerak secara berkumpulan dengan menarik beg sandang masing-masing menuju ke Maktab kediaman kami. Keadaan di Maktab agak lenggang kerana majoriti jemaah Malaysia melakukan Nafar Thani dan hanya akan meninggalkan bumi Mina keesokkan harinya. Pihak Tabung Haji juga lebih menggalakkan jemaah Malaysia melakukan Nafar Thani jika dibandingkan dengan Nafar Awal.

Malam itu selepas menunaikan solat maghrib di Masjidil Haram, saya dan isteri ke Baitullah untuk menyempurnakan Tawaf Rukun. Memandangkan masa itu masih dikira kemuncak musim haji dataran di sekitar Baitullah dipenuhi dengan umat Muhammad. Kami bergerak mengikut pergerakan manusia lain, tidak perlu tergesa untuk menyudahkan ibadah mengelilingi Rumah Allah itu. Selesai tujuh pusingan maka sempurnalah segala rukun dan wajib haji serta bebaslah kami dari segala pantang larang ihram. Selesai mengerjakan solat isya kami pun pulang ke Maktab dengan dada yang lapang kerana kami telah berjaya menunaikan Rukun Islam Kelima.

Penghujung hari 13 Zulhijjah semua jemaah sudah kembali ke Kota Mekah. Jemaah-jemaah yang tiba dengan penerbangan awal mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing. Bas-bas yang membawa para jemaah ke Lapangan Terbang Jeddah sarat dengan muatan beg yang pasti bertambah dari hari pertama tiba. Kebiasaannya beg-beg jemaah bertambah dengan cenderahati untuk sanak saudara dan kawan-kawan yang sedang menanti. Di sebalik kegembiraan yang terpancar di wajah mereka kerana bakal bertemu keluarga yang agak lama berjauhan timbul juga kesedihan kerana bakal meninggalkan Baitullah. Di hati tertanya adakan akan dijemput lagi ke Kota Suci ini. Hanya doa, harapan dan kenangan yang mengiringi kepulangan setiap jemaah haji. Kami mengambil peluang jemaah yang semakin surut meninggalkan Kota Mekah untuk melakukan ibadat tawaf sunat dan umrah, Tidak lupa juga berziarah di kawasan-kawasan bersejarah di sekitar Kota Mekah.

Satu kenangan manis ketika di bumi Mekah yang tidak mungkin saya lupa ialah pada tanggal 11 Januari 2007 iaitu hari Jumaat, sehari sebelum kami bertolak ke Madinah. Ketika itu saya terjaga dari tidur kira-kira jam 3 pagi akibat terdengar angin berhembus kuat di luar Maktab. Saya terus menghubungi isteri supaya beliau dapat bersiap secepat mungkin untuk ke masjid kerana saya khuatir hujan akan turun. Kira-kira jam 3.30 pagi ketika kami turun ke lobi Maktab, hujan telah turun dengan lebat dan air telah memenuhi jalan-jalan sehingga ke paras betis. Kebetulan kedudukan Maktab kami terletak di kawasan yang rendah dan apabila hujan lebat air-air deras mengalir melalui jalan di hadapan Maktab kami. Kami kemudiannya kembali ke bilik masing-masing menantikan hujan berhenti. Hanya kira-kira jam 5 pagi iaitu 15 minit sebelum masuk waktu solat subuh hujan akhirnya reda. Di sebabkan hujan masih renyai-renyai dan jalan masih basah kami terus menaiki kereta sewa yang sedang menunggu di hadapan Maktab bagi membawa jemaah haji ke Masjidil Haram.

Suasana di masjid pada pagi itu tidak sesibuk hari-hari biasa, mungkin disebabkan sebahagian besar jemaah sudah pulang ke tanah air masing-masing dan sebahagian lagi telah bertolak ke Madinah. Apabila muazzin beriqamah kami terus bergerak ke kawasan lapang berhampiran dengan Kaabah bagi mendirikan solat subuh berjemaah. Terdapat banyak ruang-ruang kosong berhampiran dengan Kaabah walaupun pada hari biasa ia begitu sesak dipenuhi jemaah. Ramai yang teragak-agak untuk turun ke kawasan ini kerana lantainya masih basah akibat hujan lebat. Kami amat bersyukur kerana telah diberi peluang oleh Allah (s.w.t) untuk bersolat berhampiran dengan rumahNya pada pagi jumaat yang penuh keberkatan. Selesai bersolat kami terus melakukan tawaf sunat sebelum jemaah-jemaah lain memenuhi kawasan berhampiran dengan Kaabah. Kami mengambil masa kira-kira 25 minit untuk menghabiskan tawaf berkenaan sebelum kami mendirikan solat sunat tawaf. Rasullullah (s.a.w) menggalakkan umatnya mendirikan solat sunat tawaf setiap kali mereka menyempurnakan tawaf bagi menunjukkan bahawa umat Islam tidak menyembah Kaabah ketika melakukan tawaf tetapi mereka hanya menyembah Allah berbeza dengan kaum jahiliyah yang menyembah berhala di sekeliling Kaabah.

Pada sebelah petangnya saya, isteri dan kawan-kawan sibuk mengemaskan barang-barang ke dalam beg masing-masing untuk berangkat ke Madinah selepas berada kira-kira 30 hari di Mekah. Kami seterusnya telah diarahkan oleh pihak Tabung Haji untuk mengerjakan tawaf wada’ ataupun tawaf selamat tinggal pada pagi sabtu kira-kira jam 3.30 pagi. Hukum mengerjakan tawaf wada’ adalah wajib bagi tiap-tiap orang yang hendak meninggalkan Kota Mekah lebih daripada 2 marhalah ataupun 3 hari. Barang siapa yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran maka dia wajib membayar dam. Saya teringat kisah jemaah-jemaah ketika saya di Mekah. Ada di antara mereka yang mengikuti program ziarah ke Jeddah yang dianjurkan oleh pihak Muasasah dan tidak melakukan tawaf wada’. Mereka kemudiannya telah dinasihatkan oleh pihak Tabung Haji supaya membayar dam di atas kesalahan tersebut.

Keesokannya lebih kurang jam 3 pagi kami semua bergerak secara berkumpulan bagi menatap Baitullah AlHaram buat kali terakhir dalam perjalanan haji ini dan melakukan tawaf wada. Suasana sedih, sayu dan sebak memenuhi diri. Terasa berat untuk berpisah dengan Rumah Allah yang mempunyai segala kebesaran dan keberkatan. “Ya Allah terimalah ibadatku, taubatku amalanku dan doaku, peliharalah diriku, ibubapaku, isteriku, anak-anakku, kaum keluargaku, sahabat-sahabatku, muslimin dan muslimat, ya Allah janganlah Engkau jadikan pertemuan ini sebagai pertemuan terakhir hambaMu denganMu, jemputlah aku ke negeriMu berkali-kali kerana Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” begitulah lebih kurang doa saya selepas mengerjakan Tawaf Wada’. Tanpa saya sedari air mata terus berlinang membasahi pipi. “Ya Allah betapa beratnya kaki hambaMu ini untuk meninggalkan negeriMu,” bisik hati kecil saya.

HAJI MENUJU ALLAH 4



Sebaik sahaja cahaya matahari mula menyimbah bumi Muzdhalifah, saya, isteri dan beberapa sahabat mula bergerak menuju ke Mina dengan berjalan kaki. Walaubagaimanapun majoriti jemaah Malaysia masih lagi terkandas di sini tanpa makanan dan minuman. Mungkin hanya sebilangan kecil sahaja yang bersedia dengan bekalan secukupnya kerana apa yang berlaku pada hari ini adalah di luar jangkaan. Sebelumnya, kami hanya diingatkan oleh pengurusan Tabung Haji untuk bersedia dengan kain ihram tambahan bagi menahan cuaca sejuk yang dijangka melanda Muzdhalifah seperti tahun sebelumnya. Masalah pengangkutan tidak sepatutnya menjadi isu kerana Kerajaan Arab Saudi telah menyediakan lorong-lorong bas khas bagi membawa jemaah-jemaah mengikut negara masing-masing. Tapi perancangan Allah mengatasi perancangan manusia kerana Allah bebas menduga umatnya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya.

Ketika meninggalkan bumi Muzdhalifah jalan-jalannya agak lenggang, cuma sekali sekala kami bertembung dengan bas-bas yang membawa jemaah-jemaah haji. Berpandukan kepada petua-petua yang diberi oleh kawan-kawan beserta doa dan tawakal, kami mengatur langkah dengan penuh harapan. Akhirnya selepas lebih kurang satu jam perjalanan kami tiba di bumi Mina. Mina dipenuhi dengan khemah-khemah yang terbentang luas. Kami cuba mendapatkan bantuan dari petugas-petugas keselamatan Arab Saudi tentang arah untuk menuju ke khemah kami yang dikenali sebagai Mina Muassim. Kami dimaklumkan sebelumnya bahawa khemah penginapan kami berada berhampiran dengan terowong Muassim iaitu berhampiran dengan kawasan Jamrah atau tempat melontar. Malangnya kesemua petugas tidak dapat memberikan maklumat yang tepat kepada kami kerana kebanyakan mereka berasal dari luar Mekah dan hanya berkhidmat bagi musim haji sahaja.

Setelah puas mencari tempat penginapan, kami kemudian cuba mendapatkan khidmat van sewa. Malangnya pemandu van juga tidak tahu tempat yang perlu kami tuju. Setelah berjaya menghubungi pihak Tabung Haji, Tabung Haji telah memberikan panduan kepada pemandu van arah ke khemah kami. Keadaan trafik yang semakin sesak telah menyebabkan perjalanan kami terhenti-henti. Akhirnya pada kira-kira jam 1 tengah hari kami telah diturunkan berhampiran tempat kami menaiki van tersebut. Demikianlah dugaan Allah yang kami telah tempuhi. Pemandu teksi seterusnya menurunkan kami di tepi jalan kerana beliau tidak dapat meneruskan perjalanan ke laluan yang seterusnya. Kami terpaksa mengambil van lain untuk meneruskan perjalanan. Dalam keadaan panas terik dan penat ditambah dengan perut yang kosong dari pagi kami terus bergerak mencari van lain yang dapat menghantar kami ke tempat penginapan yang sepatutnya. Kami seterusnya dihantar ke khemah Tabung Haji Travel yang berdekatan dengan Jamrah. Sampai sahaja kami ke khemah tersebut, petugas Tabung Haji di situ dengan rela hati mengiringi kami ke khemah Mina Muaasim. Moga-moga Allah (s.w.t) memberikan kepada beliau ganjaran yang tinggi dan mempermudahkan kerja haji beliau di atas segala pertolongan yang telah diberikan. Perjalanan dari Jamrah ke Mina Muaasim adalah lebih kurang 1.5 kilometer. Sampai sahaja ke Mina Muaasim kami amat bersyukur kerana telah berjaya menjejakkan kaki di sini walaupun berbagai dugaan telah kami tempuhi. Kami juga dimaklumkan oleh kawan-kawan masih ada lagi jemaah yang tersadai di bumi Muzdhalifah menunggu bas untuk ke sini. Wallahuaklam.

Khemah Mina Muassim lebih teratur dari khemah-khemah di Arafah. Khemah-khemah dipasang secara tetap dan diperbuat dari bahan yang kalis kebakaran. Ia juga dilengkapi dengan sistem penghawa dingin berpusat. Walau bagaimanapun kami terpaksa tidur dalam keadaan berhimpit-himpit kerana jumlah jemaah agak ramai ditempatkan dalam satu-satu khemah. Kami juga bersyukur kerana khemah yang kami duduki berhampiran dengan tempat melontar. Kami dimaklumkan ada jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di Wadi Muhassar yang jauhnya lebih kurang 7 kilometer dari tempat melontar. Apa-apa pun ia bergantung kepada rezeki masing-masing ketika di Tanah Suci.

Malam itu selepas menunaikan solat maghrib dan isya secara jama taqdim dan tamam kami pun bergerak beramai-ramai menuju ke Jamrah Kubra yang dahulunya dikenali sebagai Jamrah Aqabah bagi melakukan ibadat melontar. Keadaan pada malam itu agak lenggang disebabkan kebanyakan jemaah di seluruh dunia telah melontar pada siangnya. Apabila kami tiba di Jamrah Aqabah, kami pun mulalah melontar dengan lafaz “Bismillahi rajmi syaitan wa hizbihi” yang bermaksud dengan nama Allah aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya”. Ibadat melontar merupakan satu simbolik dan ingatan sejarah bagaimana syaitan cuba menghalang Nabi Ibrahim (a.s) dari menunaikan perintah Allah bagi mengorbankan Nabi Ismail (a.s). Ibadat ini juga merupakan simbolik bagi para jemaah melontar segala sifat-sifat mazmumah atau buruk yang telah lama bersarang dalam jasad para jemaah haji.

Selepas sahaja melontar kami pun pulang ke khemah masing-masing bagi melakukan ibadat tahalul awal. Tahalul awal bererti membebaskan diri dari sebahagian pantang larang haji. Selepas bertahalul awal iaitu dengan bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau bercukur kami telah terlepas dari kebanyakan pantang larang ihram dan kami boleh membuka pakaian ihram yang telah dipakai selama lebih kurang sepuluh hari. Sahabat sekhemah juga telah menghulur tangan bagi mencukur kepala kerana ia adalah yang sebaiknya.

Keadaan khemah di Mina yang agak sesak dan ketibaan kami yang agak lewat di sini menyebabkan kami terpaksa berhimpit-himpit bagi mendapatkan ruang untuk tidur. Akibat terlalu penat saya terus lena walaupun terpaksa tidur dalam serba tidak selesa.

Keesokan harinya selepas minum pagi, saya dan isteri bergerak menuju ke Jamrah Sughra, Wusto dan Kubra bagi melontar pada pagi 11 ZulHijjah 1428. Jumlah jemaah-jemaah yang pergi melontar ketika itu tidak terlalu ramai. Khabarnya Kerajaan Arab Saudi bercadang membina komplek jamrah setinggi tiga tingkat bagi memudahkan jemaah haji. Walaubagaimanapun pada tahun tersebut hanya tingkat bawah dan tingkat satu telah siap dibina bagi kemudahan jemaah haji. Kawasan melontar juga telah dilebarkan bagi memenuhi keperluan jemaah haji yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Terasa bangga juga bila dimaklumkan bahawa kerja pembinaan komplek jamrah tersebut dilakukan oleh syarikat dari negara kita.


Melontar di ketiga-tiga jamrah merupakan wajib haji. Ia perlu dilakukan pada hari 11, 12 dan 13 dan barang siapa yang berniat untuk melakukan Nafar Awal beliau hanya perlu melakukan pada hari ke 11 dan 12 sahaja. Barang siapa yang meninggalkan ibadat melontar ini maka wajiblah ia membayar dam. Teringat saya kepada peristiwa yang berlaku ketika Allah mengarahkan Nabinya Ibrahim (a.s) supaya mengorbankan putera tunggalnya Nabi Ismail (a.s). Ketika membawa putera beliau untuk dikorbankan, syaitan telah menyerupai manusia dan cuba memperdayakan Ibrahim (a.s) supaya engkar dengan perintah Allah maka Nabi Ibrahim (a.s) pun mengambil batu-batu dan melontar syaitan. Selepas gagal memperdayakan Ibrahim (a.s) syaitan kemudiannya cuba memperdayakan Siti Hajar (a.s) ibu kepada Ismail (a.s) supaya menahan suaminya Ibrahim (a.s) dari melaksanakan perintah Allah. Walaupun mempunyai sifat keibuan yang tinggi, Siti Hajar (a.s) tetap akur dengan perintah Allah dan melontar kearah syaitan maka gagallah syaitan untuk memperdayakan Siti Hajar (a.s). Setelah gagal pada kedua-dua percubaan syaitan laknatullah akhir sekali cuba memperdayakan Nabi Ismail (a.s) sendiri untuk menentang ayahnya bagi melaksanakan perintah Allah. Iman Nabi Ismail (a.s) yang kental telah mengatasi segala-galanya dan beliau pun melontar ke arah syaitan maka gagallah syaitan dalam percubaan-percubaan menghasut Nabi Ibrahim (a.s), Siti Hajar (a.s) dan Nabi Ismail (a.s) dalam mengingkari perintah Allah.

Di atas kejayaan Nabi Ibrahim (a.s.) dan keluarganya menghadapi ujian tersebut, Allah (s.w.t) seterusnya berfirman dalam Surah AlShafaat ayat 105-108 yang bermaksud “Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang membuat baik (105) Sesungguhnya itu benar-benar satu ujian yang nyata (106) Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (107) Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) dikalangan orang-orang yang datang kemudian (108). Maka sembelihan tersebut telah ditukarkan dengan sembelihan seekor kibas dan upacara korban tersebut dijalankan di Mina sehinggakan ia telah dijadikan sebahagian manasik haji hingga ke hari ini.

Saya kadang kala terfikir mampukah saya mencontohi Nabi Ibrahim yang berjaya menanam dan membina asas iman yang kuat bagi dirinya dan keluarganya. Walaupun sebelumnya telah diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anak yang tercinta di kawasan kering kontang bagi menyeru umatnya supaya kembali ke jalan Allah baginda pasrah dengan perintah Allah (s.w.t), begitu juga Siti Hajar (a.s) ketika dimaklumkan oleh Ibrahim (a.s) bahawa baginda diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan Siti Hajar (a.s) dan anakandanya Ismail (a.s) di kawasan yang kering kontang dan tiada penghuni supaya kembali ke Baitul Muqaddis untuk memimpin umatnya, beliau telah redha dengan perintahNya dan bertawakal kepada Allah (s.w.t). Akhirnya muncullah perigi zam-zam yang menjadi tempat orang ramai menghilangkan dahaga dari seluruh dunia sehingga kini dan kawasan yang dahulunya kering kontang dan tiada penghuni telah menjadi tarikan umat Islam seluruh dunia bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah di Kota Suci Mekah sehingga akhir zaman.

Begitulah besarnya kisah-kisah pengorbanan yang berlaku dalam sejarah awal ibadat haji. Kisah pengorbanan hamba kepada Penciptanya. Kisah pengorbanan seorang suami, isteri dan puteranya. Kisah-kisah inilah yang perlu kita semua hayati dan ambil ikhtibar walau di mana kita berada terutama ketika menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Saya dan isteri juga amat bersyukur ke hadrat Allah kerana diberikan rezeki dan peluang untuk melakukan ibadat korban ketika berada di Tanah Suci. Ia bukanlah sesuatu amalan yang wajib dilakukan oleh jemaah haji tetapi ia merupakan sesuatu yang disunatkan kerana Rasullulah (s.a.w) sendiri melakukan ibadat tersebut setelah baginda mengerjakan ibadat haji.

Malaikat Jibrail kemudiannya telah mengajarkan Nabi Ibrahim (a.s) berkenaan perbuatan-perbuatan dan amalan-amalan ketika menunaikan haji. Ibadat yang penuh dengan pengorbanan, keinsafan dan kesyukuran kehadrat Ilahi.

Pada keesokkan harinya saya, isteri dan rakan-rakan telah mengambil keputusan untuk membuat nafar awal setelah mengambil kira faktor kesihatan dan faktor lain yang tidak dapat dielakkan. Selepas melakukan ibadat melontar di ketiga-tiga jamrah pada 12 ZulHijjah, kami akhirnya meninggalkan bumi Mina ke Maktab penginapan kami di Mekah untuk melakukan ibadat tawaf di Baitullah AlHaram.

Monday, December 1, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 3


Tanggal 8 ZulHijjah 1428, sepertimana tahun-tahun terdahulu para jemaah haji Malaysia dan sebahagian besar jemaah haji negara lain berangkat secara berperingkat menaiki bas meninggalkan Bumi Mekah ke Arafah. Kesemuanya memakai pakaian ihram serba putih seolah-oleh kiasan bergerak menuju ke Padang Mahsyar, tempat kita semua akan diadili oleh Rabbul Jalil di kemudian hari. Mereka yang belum berniat akan memasang niat di maktab-maktab kediaman. Saya masih ingat ketika itu kami tergolong antara kumpulan terakhir bergerak meninggalkan kediaman kerana kami mengikuti penerbangan akhir ke Mekah.

Perjalanan ke Arafah mengambil masa lebih kurang satu jam. Alhamdulilah kami tiba di Arafah pada waktunya iaitu kira-kira jam 12.30 malam walaupun ada di kalangan jemaah yang tersesat sehingga keesokan pagi. Keadaan di Arafah ketika itu agak suram dan khemah tempat kami berteduh agak lusuh serta berlapik dengan hamparan plastik. Kami amat bersyukurlah kerana tiap-tiap jemaah haji Malaysia dibekalkan dengan tikar kecil sebagai lapik untuk merehatkan diri. Para jemaah berbaring rapat dan berbantalkan beg-beg sandang masing-masing. Bukankah ini gambaran seolah-olah berada di Mahsyar yang serba mencabar, yang sepatutnya ada hanyalah kain kafan yang membaluti jasad. Kemudahan tandas dan bilik air disediakan sederhana bagi menampung beribu-ribu jemaah dalam setiap maktab. Jemaah perlu beratur dengan sabar menunggu giliran masing-masing. Kebanyakan jemaah akan tidur seawal mungkin kerana hari esok dan seterusnya memerlukan tenaga dan kudrat yang banyak untuk menyempurnakan rukun haji, yang merupakan kemuncak perlaksanaan ibadat haji.

9 DzulHijjah 1428, seawal selesai solat subuh berjemaah di khemah masing-masing, sementara menunggu waktu minum pagi, saya bersama teman dari Perak, Haji Nordin dan Haji Mahat mengambil peluang meninjau di sekitar Arafah untuk melihat kebesaran Ilahi. Arafah bak lautan manusia, saujana mata memandang dengan mereka yang serba putih, semuanya kelihatan sama pada hari itu tanpa dapat dibezakan pangkat, darjat dan kekayaan. Barangkali inilah keadaan kita apabila dibangunkan di Padang Mahsyar, ketika itu seluruh manusia berpusu-pusu berhimpun sementara menunggu buku amalan diterima. Beruntunglah mereka yang menerima buku amalan dengan tangan kanan dan rugilah bagi mereka yang menerima buku amalan dengan tangan kiri.

Sebaik gelincir matahari iaitu tanda masuknya waktu zuhur, bermulalah waktu wukuf bagi semua jemaah haji. Rasullullah (s.a.w.) ada bersabda “Haji itu adalah Arafah”. Para jemaah berhimpun mendengar dan menghayati khutbah Arafah. Dalam pada itu saya mengelamun jauh mengenang khutbah Arafah yang disampaikan oleh Junjungan Besar Rasullullah (s.a.w) ketika mengerjakan haji bersama para sahabat dan orang-orang Mukmin yang dikenali dengan Haji Wada’. Terasa sayu dan sebak membayangkan saat-saat Baginda menyampaikan kutbah Arafah yang merupakan satu ucapan selamat tinggal buat seluruh umat yang dicintai.

Selesai kutbah Arafah kami semua menunaikan solat zuhur secara berjemaah di bawah bahang dan terik mentari. Majlis diteruskan dengan zikir, tahmid, tahlil, taadzim dan doa ke hadrat Ilahi. Pada saat itulah terbuka pintu-pintu langit dan malaikat-malaikat akan segera turun ke bumi bagi mendoakan agar segala taubat dan doa para jemaah dikabuli. Maka suci bersihlah kesemua jemaah haji dari segala dosa ibarat bayi yang baru lahir ke dunia. Betapa istimewanya hari Arafah sehingga sesiapa yang tidak mengerjakan haji pun mendapat manfaatnya. Abu Qatadah (r.a) berkata, telah ditanya kepada Rasullullah (s.a.w) tentang puasa di hari Arafah, baginda bersabda, “Allah hapuskan dosanya tahun lalu dan tahun depan”

Wukuf di Arafah merupakan salah satu rukun haji. Meninggalkan wukuf bermakna tidaklah sah haji seseorang itu. Wukuf bermakna berhenti seketika di bumi Arafah bermula di antara waktu tergelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar keesokannya. Sesudah selesai mengerjakan solat jamak takdim maghrib dan isya’ secara berjamaah, para jemaah sekali lagi bergerak secara berperingkat meninggalkan bumi Arafah menuju ke Muzdhalifah.



Kami sekali lagi menjadi antara kumpulan yang terakhir meninggalkan bumi Arafah. Perjalanan ke Muzdhalifah mengambil masa kira-kira dua puluh minit dengan bas. Alhamdulillah kami sampai pada waktunya iaitu kira-kira jam 11.30 malam. Keadaan di Muzdalifah ketika itu amat terang sekali di bawah pancaran lampu-lampu sorot. Para jemaah berkumpul beramai-ramai mengikut nombor penerbangan di tengah padang pasir. Sementara menunggu waktu mabit, para jemaah sibuk mengutip anak-anak batu untuk dilontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari seterusnya. Di sekitar Muzdhalifah inilah terletak kawasan di mana burung-burung ababil melontarkan batu-batu dari neraka kepada pasukan tentera bergajah Abrahah yang ingin menyerang kota Mekah. Maka jadilah mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat seperti yang telah diabadikan dalam Surah AlFil.

Masuk sahaja waktu mabit di Muzdhalifah iaitu lebih kurang pukul 12.00 tengah malam, jemaah sepatutnya bergerak menuju ke Mina. Mabit di Muzdhalifah merupakan salah satu wajib haji. Seperti juga wukuf, para jemaah wajib berada seketika di Muzdhlifah di antara waktu selepas tengah malam hingga terbit fajar keesokkannya. Barang siapa yang gagal mabit, hajinya tidak terbatal tetapi wajib membayar dam di atas kegagalannya.

Saya masih teringat ketika kami semua menunggu kedatangan bas untuk ke Mina. Malangnya sehingga pukul 2.00 pagi hanya dua biji bas sahaja yang tiba mengambil jemaah haji. Berbagai khabar angin dan cerita tersebar mengutuk kelemahan pentadbiran Muasasah dan Tabung Haji. Suara jerit pekik, pertikaman lidah dan rungutan terdengar di sana sini. Ini mengingatkan saya akan kisah ketika Rasullullah (s.a.w) menghantar Saidina Uthman bin Affan (r.a) ke Mekah sebagai utusan untuk berunding dengan penduduk Mekah bagi membenarkan umat Islam masuk ke Kota Suci itu bagi menjalani ibadat Umrah. Apabila beliau lambat pulang maka tersebarlah khabar angin bahawa Uthman (r.a) telah dibunuh sehingga menyebabkan seluruh umat Islam berasa marah dan bersiap untuk memerangi kafir Quraisy. Akhirnya Uthman pulang dengan membawa berita bahawa Kafir Quraisy telah menawarkan gencatan senjata dengan umat Islam dan mereka dibenarkan masuk ke Kota Mekah pada tahun hadapan. Maka turunlah wahyu Allah (s.w.t) dalam Surah AlHujrat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

Penat menunggu bas saya dan beberapa sahabat meninjau kawasan berhampiran untuk melihat sendiri keadaan sekitar. Hati tersentuh sayu melihat warga emas dan golongan uzur berbaring bergelimpangan dan ada yang lena berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi menanti ketibaan bas yang tidak pasti. Tapi itu semua hanyalah sebahagian ujian yang harus kami tempuhi. Seolah-olah hilang adab dan sopan masyarakat kita apabila melihat segelintir jemaah kita, tak kira usia berebut-rebut dan bertolak-tolak menaiki bas, lupa bahawa mereka masih berihram haji. Keesokan paginya barulah kami dimaklumkan oleh petugas-petugas bahawa bas-bas tidak dapat mengambil penumpang-penumpang dengan lancar kerana jalan-jalan dipenuhi dengan jemaah-jemaah berjalan kaki.

Terpana mendengar keluh seorang mak cik tua menyatakan kita semua harus berebut-rebut dan bersaing sesama sendiri sekiranya ingin mengerjakan haji kerana kita semua perlu berjihad. Kalau benar bagai dikata dengan siapakah kita berebut-rebut dan bertolak-tolakkan, bukan dengan saudara seislam kita sendiri. Konsep ibadat telah bertukar wajah sama sekali. Akhirnya saya, isteri dan sahabat-sahabat tidur merehatkan diri bagi menyimpan tenaga untuk diguna keesokan hari.

Subuh 10 ZulHijjah 1428, ketika umat Islam seluruh dunia bertakbir dan bertahmid ke hadrat Allah (s.w.t), mengucap syukur menyambut kehadiran Hari Raya Aidil Adha, kami masih lagi tersadai di bumi Muzdhalifah menantikan kenderaan membawa kami ke Mina. Bilangan jemaah yang belum menaiki bas dari Maktab kami tampak belum susut hingga ke pagi. Keadaan semakin cerah dan kami khuatir cuaca akan semakin panas sekiranya kami terus menetap di sini. Tak sampai hati rasanya berebut-rebut dan bertolak-tolakan dengan jemaah lain yang lebih memerlukan. Akhirnya saya, isteri dan sahabat-sahabat mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kami dengan berjalan kaki. Mina terletak lebih kurang 3 kilometer dari Muzdhalifah.

Sunday, November 9, 2008

ENJIT-ENJIT SEMUT


Satu petang saya melayan anak-anak saya bermain enjit-enjit semut di halaman rumah. Aktivitinya ringkas sahaja. Masing-masing mencubit belakang tapak tangan pemain lain dan tangan yang paling bawah akan naik ke atas sambil menyanyikan lagu “enjit-enjit semut siapa sakit naik atas” berulang-ulang kali. Terfikir saya bagaimana masyarakat dahulu yang begitu peka dalam mencipta permainan tersebut. Walaupun ia nampak ringkas tetapi disertakan dengan pengisian dan maksud tersirat. Bagaimana kita semua perlu berkerjasama bertolak ansur dan membantu antara satu dengan lain serta berkongsi beban dan tanggung jawab dalam sesuatu organisasi dan masyarakat.

Kloni semut adalah seperti manusia, hidup mengikut hiraki. Permaisuri semut dalam hiraki teratas, berfungsi menghasilkan telur-telur semut bagi meneruskan generasi-generasi seterusnya. Ia sentiasa dikelilingi para soldadunya bagi mempertahankan Sang Permaisuri dan telur-telur semut dari diserang oleh musuh-musuh semut. Permaisuri semut juga di kelilingi oleh sang pelayan yang bertugas menyediakan makan kepada Permaisuri semut. Terdapat juga semut-semut yang berkeliaran secara bersendirian bagi mencari makanan-makanan yang terdapat di kawasan persekitaran. Apabila ia berjumpa makanan maka ia akan menghantar isyarat kepada semut-semut yang lain supaya beramai-ramai datang dan mengangkat makanan tersebut secara bergotong-royong. Sekiranya berat semut-semut akan mengangkat secara beramai-ramai dan sekiranya kecil dan ringan semut-semut akan menangkat secara bersendirian. Semut-semut ini akan bergerak mengikut barisan menuju ke sarang mereka tanpa berlumba-lumba atau bertolak-tolakkan antara satu dengan lain. Semut-semut ini akan terus mengumpul makanan-makanan berkenaan tanpa rasa malas dan jemu walaupun bekalan makanan mereka telah banyak dalam simpanan. Begitulah misterinya kehidupan sang semut yang telah diabadikan oleh leluhur kita untuk diperturunkan kepada golongan selepasnya beberapa generasi melalui lagu enjit-enjit semut sebagai pengajaran kepada kita semua. Namun begitu tidak ramai di antara kita yang sedar malahan membutakan mata masing-masing demi sikap pentingkan diri dalam mencapai matlamat hidup masing-masing.

Kisah sang semut ini juga telah diabadikan dalam AlQuran di Surah AlNaml yang bermaksud Surat Semut dalam ayat 18 dan 19 yang berbunyi, “hingga apabila mereka telah sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai sekalian semut-semut! Masuklah kamu sekalian ke dalam sarang-sarangmu supaya kamu jangan dihancur leburkan oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedang mereka tidak merasakan (18) Maka ketawalah ia tergelak-gelak dari sebab perkataan semut itu, dan berkatalah ia: Ya Tuhanku! Berilah peluang untuk aku bersyukur atas nikmat Engkau dan yang telah Engkau nikmatkan kepadaku dan kepada kedua orang ayahbondaku, dan supaya aku mengamal dengan amalan soleh yang engkau redhai dan masukkanlah kiranya akan daku, dengan rahmat Engkau ke dalam golongan hamba-hamba Engkau yang soleh (19).

Begitulah betapa kuatnya perpaduan di dalam kumpulan semut. Mereka sentiasa ingat mengingati bahaya yang mungkin dihadapi oleh kumpulan mereka. Semut-semut juga akan menggigit atau menghemburkan bisa mereka apabila mempertahankan diri sendiri atau kumpulan mereka. Semut-semut biasanya tidak akan menyerang makhluk lain tanpa sebab yang sepatutnya.

Marilah kita sama-sama merenung kejadian Allah (s.w.t) ini dengan lebih teliti dan penuh keinsafan. Cerminlah diri kita sedalam-dalamnya bagi mencari penyelesaian terhadap segala masalah yang timbul pada setiap masa. Bukankah kita semua adalah sebaik-baik kejadian di atas muka bumi ini?

Wednesday, November 5, 2008

AYAH DAN IBU


Satu hari ketika saya berjalan-jalan sendirian mengambil angin di tepi sawah, saya tersenyum mengingati pengalaman seorang anak kampung. Satu ketika dulu saya sempat membantu ayah dan ibu bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong mengerjakan sawah masing-masing. Hampir semua aktiviti pernah saya lakukan bermula dari membersih sawah, menyemai benih, menanam anak benih, mengerat dan membanting padi. Walaupun hasil pendapatannya yang rendah, ramai penduduk kampung telah berjaya membesarkan anak-anak mereka sehingga mencapai kejayaan dan tidak lagi bergantung kepada sawah padi. Ada di kalangan mereka hanya berehat di rumah kerana sawah telah disewa kepada orang lain dan ada yang meneruskan aktiviti penanaman padi sebagai memenuhi masa lapang. Teknologi telah mengambil alih sebahagian besar dari tugas-tugas manusia dalam proses penanaman padi. Dari aktiviti pembersihan tapak dan penyerakan benih-benih padi sehinggalah proses tuaian menggunakan jentera-jentera moden.

Saya juga berasa bersyukur kerana telah dianugerahkan Allah (s.w.t) segala nikmat dan kejayaan. Walaupun bermula sebagai anak kampung saya telah berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama dan seterusnya menghabiskan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi dan akhirnya berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Semua kejayaan ini adalah berkat kerja keras dan doa kedua ibubapa saya. Mereka tidak pernah mengeluh dalam membesarkan anak-anak walaupun hidup dalam serba kekurangan. Saya masih teringat ketika berada dalam darjah 5. Guru kelas telah mengarahkan kami untuk membawa pulang borang biodata ibubapa. Ketika itu saya sendiri terkejut apabila ayah saya menyatakan pendapatannya sebulan hanya RM250 sebulan berbeza dengan kawan-kawan lain yang ibubapanya mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi dari ayah saya.

Tidak pernah saya mendengar keluhan mereka apabila diminta untuk membayar atau membeli buku-buku untuk pelajaran. Bagi mereka biarlah mereka berkorban apa saja demi masa depan anak-anak mereka. Pernah satu ketika saya telah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus bahasa Arab di Kelantan sempena cuti sekolah. Saya agak keberatan untuk pergi kerana ia akan membebankan keluarga dan saya berniat untuk mencari kerja sementara bagi memenuhi masa lapang saya dan membantu meringankan beban mereka. Ayah kemudiannya telah mengarahkan saya untuk terus belajar dan beliau berusaha memenuhi segala keperluan saya di sana. Kadang-kadang terasa hairan memikirkan bagaimana ayah dan ibu dapat membesarkan kami semua dengan pendapatan yang kecil. Walaupun hidup dengan serba kekurangan keperluan anak-anak tidak pernah diketepikan oleh mereka berdua. Apa yang penting bagi mereka adalah melengkapkan anak-anak dengan ilmu bagi menjadi insan berguna.

Kini masa telah berubah, saya telah menjadi insan yang bergelar ayah kepada anak-anak saya. Bezanya hidup saya lebih senang jika dibandingkan dengan kedua ibubapa saya. Apa sahaja keperluan anak-anak akan cuba saya penuhi, tidak sampai hati rasanya membiarkan mereka bersedih sekiranya ada hajat mereka yang tidak kecapaian. Barulah saya faham bagaimana rasanya menjadi ayah kepada anak-anak. Anak-anak menjadi keutamaan dalam hidup mereka lebih dari segalanya. Cuma saya terfikir berapa ramaikah anak-anak yang sanggup memenuhi keperluan ibubapa apabila mereka sudah besar dan berjaya. Berapa ramai di antara kita meletakkan ibubapa dalam senarai keutamaan kita. Ada di kalangan anak-anak yang membiarkan ibubapa di rumah orang-orang tua, ada yang lama hilang tanpa sebarang berita, ada yang tidak pernah mengirim wang walaupun mereka benar-benar memerlukannya. Tapi jauh disudut hati, mereka hanya memerlukan kasih sayang anak-anak yang semakin jauh meninggalkan mereka. Walau apapun alasan, kita mungkin satu hari nanti kita akan berada di tempat mereka. Wallahuaaklam.

Wednesday, October 29, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 2


Ketika ini ada bakal-bakal haji yang mula meninggalkan kampung halaman masing-masing bagi mengunjungi Baitullah Al Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Pemergian mereka ke Tanah Suci disusun secara berperingkat-peringkat oleh pihak yang bertanggung jawab bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan mengikut perancangan. Bulan-bulan haji bermula pada 1 Syawal dan berakhir pada 9 ZulHijjah tiap-tiap tahun hijrah.

Bagi mereka yang berangkat dengan penerbangan awal, mereka akan terus melakukan ibadat ziarah di Kota Madinah Al Munawarah, kota tempat bersemadinya jasad Junjungan Besar kita Nabi Muhammad (s.a.w) sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat Umrah dan Haji. Bagi yang memilih penerbangan pertengahan kebiasaannya ada yang berangkat ke Madinah bagi menjalankan ziarah dan ada yang terus ke Mekah untuk menunaikan ibadat Umrah sebelum menjalankan ibadat haji. Bagi mereka yang mengikuti penerbangan akhir, kebiasaannya mereka semua akan memakai pakaian ihram sebelum penerbangan dan terus ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau sekadar menjalankan ibadat umrah sebelum menunaikan ibadat haji.

Mana-mana waktu penerbangan yang kita ikuti, niat kita semua adalah sama iaitu suatu perjalanan menuju Allah. Saya masih ingat sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan penerbangan akhir bagi menunaikan haji pada musim 1428H. Perasaan ketika itu bercampur baur, gembira kerana dipilihNya bagi menunaikan Rukun Islam Kelima, takut kerana mengenang dosa-dosa silam dan sedih untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil, Syifa’ ketika itu berusia 7 tahun, Husna dan Saffa’ menghampiri umur 3 tahun. Namun kami jadikan perpisahan sementara ini sebagai satu pengorbanan sekeluarga bagi mendapat keredhaan Allah yang Maha Esa. Kata pepatah “berat mata memandang berat lagi bahu memikul.”

Bermulanya perjalanan kami dari bangunan Tabung Haji ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam pakaian ihram telah mengimbau kenangan saya kepada ceramah yang diberikan sebelumnya tentang persamaan antara haji dan mati. Bagi yang mengerjakan haji mereka akan memakai ihram serba putih, dihantar beramai-ramai dengan iringan azan memuji kebesaran Ilahi dan doa. Sementara mati akan dikapankan dengan kain putih seterusnya dihantar beramai-ramai ke kubur dengan diiringi Fatihah dan doa. Bagi jemaah haji, mereka akan bergerak masuk ke dalam kapal terbang sementara bagi jenazah, ia akan disemadikan ke liang lahad. Suasana sedih dan syahdu akan menyelubungi setiap ahli keluarga dan para hadirin. Hanya Allah sahaja tahu sama ada kami akan pulang atau terus bersemadi di sana.

Apabila penerbangan melalui kawasan miqat di Qarnul Manazil maka kami semua memasang niat bagi mengerjakan ibadat haji masing-masing kerana kebetulan hari wukuf hanya tinggal lebih kurang sepuluh hari. Suasana talbiah mula bergema dalam pesawat tanda insaf dan kesyukuran dijemput sebagai tetamuNya. “HambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu”.

Maka bermulalah musafir kami di bumi Anbia bagi mencari keberkatan dan keredhaanNya. Kami amat bersyukur kerana perjalanan kami bergerak lancar dengan perancanganNya walaupun pesawat kami terpaksa ditunda selama enam jam semasa di Malaysia. Akhirnya kami tiba di Bandar Mekah Al Mukaramah pada malamnya. Kota yang sentiasa terang benderang dan sibuk dengan jemaah haji berulang alik ke Masjid Haram. Kami ditempatkan di Hotel Mubarak yang dikenali sebagai Maktab 97. Jarak dari Maktab ke Masjid Haram lebih kurang 450 meter. Kami ditempatkan sebanyak tujuh orang sebilik. Bilangan keseluruhan jemaah bagi Maktab 97 lebih kurang 3000 orang.

Saya dan isteri bersama beberapa sahabat yang lain kemudiannya mengambil keputusan untuk terus menjalankan ibadat tawaf dan saie pada tengah malam itu tanpa menunggu rombongan Tabung Haji memandangkan suasana yang semakin sesak di Masjidil Haram disebabkan sebahagian besar bakal-bakal haji telah berkumpul di Mekah sementara menantikan hari Wukuf. Lagipun, rindu kami untuk memandang Kaabah tak dapat ditahan sehingga keesokan pagi. Rasullullah (s.a.w) pernah bersabda “seratus dua puluh rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan malam, enam puluh untuk mereka yang melakukan tawaf, empat puluh bagi mereka yang mendirikan solat dan dua puluh untuk mereka yang hanya melihat Kaabah”.


Permandangan dari Bukit Safa

Alhamdulillah kami semua berjaya menjalankan ibadat masing-masing di tengah-tengah kesibukan umat Islam lain menunaikan ibadat mereka. Walaubagaimanapun kami masih lagi berada di dalam keadaan ihram dan terikat dengan pantang larang ihram sehingga selesai kerja-kerja haji. Hari-hari yang ada kami penuhi dengan bersolat, beriktikaf, bertilawah AlQuran, bermuhasabah, beristiqfar dan berzikir di Masjid Haram sambil berkenal-kenalan dengan beberapa jemaah haji yang kami temui.

Suasana sesak dan kekurangan di Kota Mekah kami terima dengan redha. Jadual harian bermula seawal 3.30 pagi iaitu kira-kira hampir 2 jam sebelum masuk waktu subuh bagi memastikan mendapat tempat di dalam masjid. Sekiranya terlewat maka di kaki limalah tempat kami ruku’ dan sujud ke hadrat Ilahi. Perbanyakkanlah doa dan istiqfar agar dipermudahkan segala amal ibadat disana kerana Allah ada berfirman “berdoalah kepadaKu maka Aku akan memperkenankannya”. Janganlah jemu membuat amalan-amalan sunat kerana pahalanya 100,000 kali ganda dari tempat biasa, moga-moga amalan tersebut dapat diteruskan setelah kita pulang ke tanah air masing-masing.

Walauapapun amalan kita di sana ia merupakan cermin kepada tingkah laku kita di sini. Ada yang asyik memuji-muji diri, ada yang hanya bersolat di bilik dan melupakan fadzilat bersolat jemaah di Masjid Haram, ada yang asyik berborak, merungut, mengumpat dan bermacam-macam lagi. Pokoknya, perbaikilah diri sebelum berangkat ke Tanah Suci. Perbanyakkanlah istiqfar, solat sunat taubat, hajat dan tahajjud kerana ianya adalah pengubat hati.

Friday, October 17, 2008

MARUAH, KUASA DAN WANG

Maruah berkata, “akulah pembela agama, bangsa dan negara. Kerana akulah agama dijulang, bangsa bermaruah dan negara dihormati. Tanpa aku kamu semua tidak ada apa-apa nilai bagaikan sampah.” Kuasa kemudian menyampuk, “aku lebih penting dari kamu berdua, tanpa aku agama akan ditindas, bangsa dipandang hina dan negara akan kehilangan kedaulatannya. Ambil sahaja pengajaran tentang peristiwa di Palestin. Semuanya sebab mereka telah kehilangan aku.” Wang yang dari tadi hanya tersenyum terus mencelah, “lupakah kamu berdua kepada jasa-jasaku, tanpa aku siapakah kamu berdua, aku yang memartabatkan kamu, akulah yang telah meletakkan kamu di menara gading. Tanpaku kamu berdua hanya makhluk biasa tapi kamu telah menggadai dirimu padaku. Akulah tuhanmu, maka tundukkanlah kepalamu kepadaku”

Maruah adalah harga diri, maruah juga selalu dikaitkan dengan penghormatan. Bangsa yang bermaruah selalunya dikaitkan dengan satu bangsa mempunyai harga diri, dipandang tinggi dan dihormati. Islam sendiri telah mengangkat martabat manusia sebagai makhluk yang bermaruah. Sebelum kedatangan Islam masyarakat Arab Jahiliyah hidup dalam serba kegelapan. Mereka menyembah berhala yang telah diukir oleh mereka sendiri. Mereka menipu dalam urusan berjual beli. Mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri demi kuasa dan kedudukan. Anak-anak perempuan ditimbus hidup-hidup. Masalah sosial semakin menjadi-jadi tanpa mengira lapisan umur. Tidak dapat dinafikan lagi maruah amat penting dalam kehidupan manusia. Tidak hairanlah dalam budaya masyarakat Jepun mengambil nyawa sendiri dilakukan dengan penuh tradisi yang dikenali harakiri bertujuan untuk menebus maruah mereka tercalar.

Kuasa adalah pengaruh, kuasa juga dapat ditafsir sebagai kekuatan dalam mengawal sesuatu, kuasa juga selalu dikaitkan dengan pangkat dan kedudukan. Dengan kuasa seseorang dapat memerintah sesuatu kumpulan atau negara dan dengan kuasa juga sesuatu bangsa dapat merencana dan membina sesuatu tamadun. Tidak mustahil seseorang insan mempunyai kuasa tetapi rendah maruahnya. Kita sendiri dapat melihat negara-negara berkuasa besar tetapi tidak dihormati oleh masyarakat dunia. Mereka mengganggu kedaulatan negara-negara lain. Mereka menceroboh dan bertindak sebagai polis dunia bagi menunjukkan kuasa mereka kepada masyarakat seluruhnya. Mereka juga sentiasa menggunakan kuasa veto bagi menukar keputusan-keputusan yang dibuat oleh golongan majoriti. Tindakan mereka menyebabkan mereka dikecam dan dihina oleh masyarakat dunia dan pada masa yang sama negara mereka juga sentiasa dilanda berbagai bencana sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Wang adalah harta, wang adalah ekonomi dan wang juga boleh diterjemahkan sebagai senjata. Ada juga diterjemahkan sebagai segalanya. Jadi tak hairanlah kalau ada yang berkata “ada wang semua boleh jadi.” Tanpa wang bangsa akan ketinggalan dan negara akan mundur. Islam tidak pernah menafikan kepentingan wang dalam pembinaan sesuatu masyarakat dan negara. Rasullullah (s.a.w.) telah bersabda “kefakiran itu mendekatkan seseorang kepada kekufuran”. Islam telah memperkenalkan zakat bagi memberi manfaat kepada seluruh umat. Pada peringkat awal perkembangan Islam di Tanah Arab, Saidatina Khatijah (r.a) telah menginfakkan seluruh hartanya ke jalan Allah bagi membantu dakwah Rasullullah (s.a.w). Kemudian diikuti sahabat-sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar AsSidek (r.a) dan Abdul Rahman Bin Auf (r.a). Selepas Rasullullah (s.a.w) berhijrah ke Madinah baginda kemudiannya telah membina pasar bagi masyarakat Islam berjual beli bagi memperkembangkan ekonomi Islam walaupun telah wujud pasar-pasar lain yang dikuasai golongan Yahudi.

Maruah, kuasa dan wang biasa dikaitkan dengan pencalonan dan pemilihan kepimpinan pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik. Berbagai isu akan diutarakan oleh calon-calon bagi menarik perhatian perwakilan sama ada berkaitan dengan isu politik, ekonomi dan sosial. Mereka juga akan memperkatakan tentang maruah rakyat yang patut dibela dan dimartabatkan. Calon-calon akan menunjukkan kewibawaan masing-masing dalam memimpin bagi mendapat kepercayaan perwakilan. Kita juga sedar bahawa calon-calon tersebut berada dalam satu perlumbaan menuju ke puncak menara kuasa. Kuasalah yang dapat memimpin dan dengan kuasa juga nasib sesuatu bangsa atau golongan dapat dibela. Malangnya, ada golongan yang terlalu gilakan kuasa sehingga akur kepada wang. Apa yang pasti mereka ini terdiri dari golongan yang tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak layak untuk memimpin sesuatu pertubuhan atau kumpulan. Bagi mereka matlamat adalah segalanya dan ia menghalalkan cara. Perwakilan yang sepatutnya membawa hasrat dan cita-cita akar umbi dibeli harga diri dengan rendah nilainya. Akhirnya pemimpin yang dipilih bukan dari kualiti yang sepatutnya. Mereka bukan sahaja tidak layak memimpin malahan menjadi liabiliti kepada pertubuhan dan seluruh ahlinya. Akhirnya pertubuhan tersebut akan menjadi lemah dan berkubur dengan sendirinya.

Kita semua hendaklah sedar bahawa maruah, kuasa dan wang adalah ramuan penting dalam pembinaan sesuatu bangsa. Maruah tanpa kuasa adalah sesuatu yang tidak sempurna. Kuasa tanpa wang adalah sia-sia. Hakikatnya kesemuanya merupakan ramuan bagi kejayaan sesuatu negara. Namun, meletakkan wang diatas segalanya adalah satu bencana kerana seolah-olah kita memahkotakan nafsu sebagai raja.

Saturday, October 11, 2008

“ISLAM INC.”

Satu hari dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, saya sempat berbual dengan isteri saya tentang pengaruh agama dalam masyarakat. Tidak dapat dinafikan lagi agama adalah ramuan utama dalam membangunkan sahsiah, keluarga, masyarakat dan negara. Kita juga menyaksikan negara-negara yang satu ketika dulunya maju tumbang satu persatu akibat menyisihkan agama.

Individu-individu dan institusi-institusi berasaskan agama sentiasa diberikan keutamaan dalam masyarakat kita. Masyarakat telah meletakkan mereka pada satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Setinggi mana nilai dan norma yang diberikan kepada mereka, bayangkanlah pula amanah dan tanggung jawab yang perlu mereka jawab di kemudian hari.

Malangnya, kita juga lihat agama digunakan sebagai alat, modal atau perisai oleh sesuatu golongan bagi menguntungkan mereka. Ada golongan yang menunjuk-nunjuk kedalaman ilmu pengetahuan agama untuk mendapat tempat di hati masyarakat, ada yang menujuk-nunjuk bahawa merekalah paling kuat beramal di atas landasan agama tapi disebaliknya mereka menggunakan agama agar dapat mengaut laba yang lebih, ada yang sanggup bermuka-muka demi untuk menjadi juara kepada semua agama dan bermacam-macam lagi gelagat golongan-golongan akhir zaman. Walau apa pun bukankah semuanya bergantung kepada niat?

Saya teringat satu kisah dari seorang rakan yang mengeluh apabila tenaganya diperah oleh saudara sendiri. Kesana kemari saudara beliau mencanangkan bahawa dia adalah juara dalam mengamalkan dan memperjuangkan ekonomi agama. “Kita adalah syarikat yang berasaskan Syariah, ini adalah satu jihad,” katanya lagi. Senarai panjang nas-nas, sandaran-sandaran dan hujah-hujah dikeluarkan bagi menarik masyarakat mendekati perniagaan yang beliau ceburi. Tak cukup dengan itu tokoh-tokoh agama dipanggil bagi mempertahankan perniagaan yang disajikan. Maka berlumba-lumbalah sekalian masyarakat yang ingin mengejar keredhaan dunia dan ukhrawi bersama-sama beliau. Hatta setelah untung melimpah ruah maka zakat-zakat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.

Benarlah bahawa ujian semasa senang lebih getir dari ujian semasa susah. Tidak ramai yang berjaya melepasinya apabila berada selesa di mercu kejayaan. Setelah bertahun-tahun berniaga dan harta-harta telah menimbun-nimbun, saudara beliau menjadi semakin ketagih dengan nikmat diberi. Katanya keuntungan harus dilipat gandakan bagi menunjukkan kekuatan ekonomi. Tersenyum besar saudara itu apabila dipuji kerana tersenarai dalam golongan yang tertinggi penyumbang zakat. Mulalah berangan pingat apa pula yang bakal dianugerah nanti. Tiba-tiba terdengar keluhan di sana-sini. Pekerja-pekerja mengeluh tidak berpuas hati. Anak isteri menjadi korban akibat terlalu kejarkan duniawi, tenaga dikerah bagi meningkatkan produktiviti. Pembekal-pembekal mengeluh sebab walaupun upah yang terpaksa dipotong masih belum dijelaskan hingga ke hari ini. Tapi apakan daya mulut terpaksa dikunci takut disenarai hitamkan pula nanti. Bagaimana kami ingin menyara anak bini? Bukankah agama menggalakkan upah diberi sebelum keringat kering dipipi? Adakah ini yang dikatakan monyet dihutan disusukan anak di rumah dibiar mati kelaparan, agama apakah ini?

Bukankah Islam menganjurkan keadilan kepada semua tanpa sebarang diskriminasi, hanya manusia yang mengubah suai mengikut tuntutan peribadi. Renungilah firman Allah (s.w.t), “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata dengan apa yang kamu tidak kerjakan, besar kebencian disisi Allah kamu berkata tetapi tidak dikerjakan”.