Monday, December 1, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 3


Tanggal 8 ZulHijjah 1428, sepertimana tahun-tahun terdahulu para jemaah haji Malaysia dan sebahagian besar jemaah haji negara lain berangkat secara berperingkat menaiki bas meninggalkan Bumi Mekah ke Arafah. Kesemuanya memakai pakaian ihram serba putih seolah-oleh kiasan bergerak menuju ke Padang Mahsyar, tempat kita semua akan diadili oleh Rabbul Jalil di kemudian hari. Mereka yang belum berniat akan memasang niat di maktab-maktab kediaman. Saya masih ingat ketika itu kami tergolong antara kumpulan terakhir bergerak meninggalkan kediaman kerana kami mengikuti penerbangan akhir ke Mekah.

Perjalanan ke Arafah mengambil masa lebih kurang satu jam. Alhamdulilah kami tiba di Arafah pada waktunya iaitu kira-kira jam 12.30 malam walaupun ada di kalangan jemaah yang tersesat sehingga keesokan pagi. Keadaan di Arafah ketika itu agak suram dan khemah tempat kami berteduh agak lusuh serta berlapik dengan hamparan plastik. Kami amat bersyukurlah kerana tiap-tiap jemaah haji Malaysia dibekalkan dengan tikar kecil sebagai lapik untuk merehatkan diri. Para jemaah berbaring rapat dan berbantalkan beg-beg sandang masing-masing. Bukankah ini gambaran seolah-olah berada di Mahsyar yang serba mencabar, yang sepatutnya ada hanyalah kain kafan yang membaluti jasad. Kemudahan tandas dan bilik air disediakan sederhana bagi menampung beribu-ribu jemaah dalam setiap maktab. Jemaah perlu beratur dengan sabar menunggu giliran masing-masing. Kebanyakan jemaah akan tidur seawal mungkin kerana hari esok dan seterusnya memerlukan tenaga dan kudrat yang banyak untuk menyempurnakan rukun haji, yang merupakan kemuncak perlaksanaan ibadat haji.

9 DzulHijjah 1428, seawal selesai solat subuh berjemaah di khemah masing-masing, sementara menunggu waktu minum pagi, saya bersama teman dari Perak, Haji Nordin dan Haji Mahat mengambil peluang meninjau di sekitar Arafah untuk melihat kebesaran Ilahi. Arafah bak lautan manusia, saujana mata memandang dengan mereka yang serba putih, semuanya kelihatan sama pada hari itu tanpa dapat dibezakan pangkat, darjat dan kekayaan. Barangkali inilah keadaan kita apabila dibangunkan di Padang Mahsyar, ketika itu seluruh manusia berpusu-pusu berhimpun sementara menunggu buku amalan diterima. Beruntunglah mereka yang menerima buku amalan dengan tangan kanan dan rugilah bagi mereka yang menerima buku amalan dengan tangan kiri.

Sebaik gelincir matahari iaitu tanda masuknya waktu zuhur, bermulalah waktu wukuf bagi semua jemaah haji. Rasullullah (s.a.w.) ada bersabda “Haji itu adalah Arafah”. Para jemaah berhimpun mendengar dan menghayati khutbah Arafah. Dalam pada itu saya mengelamun jauh mengenang khutbah Arafah yang disampaikan oleh Junjungan Besar Rasullullah (s.a.w) ketika mengerjakan haji bersama para sahabat dan orang-orang Mukmin yang dikenali dengan Haji Wada’. Terasa sayu dan sebak membayangkan saat-saat Baginda menyampaikan kutbah Arafah yang merupakan satu ucapan selamat tinggal buat seluruh umat yang dicintai.

Selesai kutbah Arafah kami semua menunaikan solat zuhur secara berjemaah di bawah bahang dan terik mentari. Majlis diteruskan dengan zikir, tahmid, tahlil, taadzim dan doa ke hadrat Ilahi. Pada saat itulah terbuka pintu-pintu langit dan malaikat-malaikat akan segera turun ke bumi bagi mendoakan agar segala taubat dan doa para jemaah dikabuli. Maka suci bersihlah kesemua jemaah haji dari segala dosa ibarat bayi yang baru lahir ke dunia. Betapa istimewanya hari Arafah sehingga sesiapa yang tidak mengerjakan haji pun mendapat manfaatnya. Abu Qatadah (r.a) berkata, telah ditanya kepada Rasullullah (s.a.w) tentang puasa di hari Arafah, baginda bersabda, “Allah hapuskan dosanya tahun lalu dan tahun depan”

Wukuf di Arafah merupakan salah satu rukun haji. Meninggalkan wukuf bermakna tidaklah sah haji seseorang itu. Wukuf bermakna berhenti seketika di bumi Arafah bermula di antara waktu tergelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar keesokannya. Sesudah selesai mengerjakan solat jamak takdim maghrib dan isya’ secara berjamaah, para jemaah sekali lagi bergerak secara berperingkat meninggalkan bumi Arafah menuju ke Muzdhalifah.



Kami sekali lagi menjadi antara kumpulan yang terakhir meninggalkan bumi Arafah. Perjalanan ke Muzdhalifah mengambil masa kira-kira dua puluh minit dengan bas. Alhamdulillah kami sampai pada waktunya iaitu kira-kira jam 11.30 malam. Keadaan di Muzdalifah ketika itu amat terang sekali di bawah pancaran lampu-lampu sorot. Para jemaah berkumpul beramai-ramai mengikut nombor penerbangan di tengah padang pasir. Sementara menunggu waktu mabit, para jemaah sibuk mengutip anak-anak batu untuk dilontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari seterusnya. Di sekitar Muzdhalifah inilah terletak kawasan di mana burung-burung ababil melontarkan batu-batu dari neraka kepada pasukan tentera bergajah Abrahah yang ingin menyerang kota Mekah. Maka jadilah mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat seperti yang telah diabadikan dalam Surah AlFil.

Masuk sahaja waktu mabit di Muzdhalifah iaitu lebih kurang pukul 12.00 tengah malam, jemaah sepatutnya bergerak menuju ke Mina. Mabit di Muzdhalifah merupakan salah satu wajib haji. Seperti juga wukuf, para jemaah wajib berada seketika di Muzdhlifah di antara waktu selepas tengah malam hingga terbit fajar keesokkannya. Barang siapa yang gagal mabit, hajinya tidak terbatal tetapi wajib membayar dam di atas kegagalannya.

Saya masih teringat ketika kami semua menunggu kedatangan bas untuk ke Mina. Malangnya sehingga pukul 2.00 pagi hanya dua biji bas sahaja yang tiba mengambil jemaah haji. Berbagai khabar angin dan cerita tersebar mengutuk kelemahan pentadbiran Muasasah dan Tabung Haji. Suara jerit pekik, pertikaman lidah dan rungutan terdengar di sana sini. Ini mengingatkan saya akan kisah ketika Rasullullah (s.a.w) menghantar Saidina Uthman bin Affan (r.a) ke Mekah sebagai utusan untuk berunding dengan penduduk Mekah bagi membenarkan umat Islam masuk ke Kota Suci itu bagi menjalani ibadat Umrah. Apabila beliau lambat pulang maka tersebarlah khabar angin bahawa Uthman (r.a) telah dibunuh sehingga menyebabkan seluruh umat Islam berasa marah dan bersiap untuk memerangi kafir Quraisy. Akhirnya Uthman pulang dengan membawa berita bahawa Kafir Quraisy telah menawarkan gencatan senjata dengan umat Islam dan mereka dibenarkan masuk ke Kota Mekah pada tahun hadapan. Maka turunlah wahyu Allah (s.w.t) dalam Surah AlHujrat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

Penat menunggu bas saya dan beberapa sahabat meninjau kawasan berhampiran untuk melihat sendiri keadaan sekitar. Hati tersentuh sayu melihat warga emas dan golongan uzur berbaring bergelimpangan dan ada yang lena berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi menanti ketibaan bas yang tidak pasti. Tapi itu semua hanyalah sebahagian ujian yang harus kami tempuhi. Seolah-olah hilang adab dan sopan masyarakat kita apabila melihat segelintir jemaah kita, tak kira usia berebut-rebut dan bertolak-tolak menaiki bas, lupa bahawa mereka masih berihram haji. Keesokan paginya barulah kami dimaklumkan oleh petugas-petugas bahawa bas-bas tidak dapat mengambil penumpang-penumpang dengan lancar kerana jalan-jalan dipenuhi dengan jemaah-jemaah berjalan kaki.

Terpana mendengar keluh seorang mak cik tua menyatakan kita semua harus berebut-rebut dan bersaing sesama sendiri sekiranya ingin mengerjakan haji kerana kita semua perlu berjihad. Kalau benar bagai dikata dengan siapakah kita berebut-rebut dan bertolak-tolakkan, bukan dengan saudara seislam kita sendiri. Konsep ibadat telah bertukar wajah sama sekali. Akhirnya saya, isteri dan sahabat-sahabat tidur merehatkan diri bagi menyimpan tenaga untuk diguna keesokan hari.

Subuh 10 ZulHijjah 1428, ketika umat Islam seluruh dunia bertakbir dan bertahmid ke hadrat Allah (s.w.t), mengucap syukur menyambut kehadiran Hari Raya Aidil Adha, kami masih lagi tersadai di bumi Muzdhalifah menantikan kenderaan membawa kami ke Mina. Bilangan jemaah yang belum menaiki bas dari Maktab kami tampak belum susut hingga ke pagi. Keadaan semakin cerah dan kami khuatir cuaca akan semakin panas sekiranya kami terus menetap di sini. Tak sampai hati rasanya berebut-rebut dan bertolak-tolakan dengan jemaah lain yang lebih memerlukan. Akhirnya saya, isteri dan sahabat-sahabat mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kami dengan berjalan kaki. Mina terletak lebih kurang 3 kilometer dari Muzdhalifah.

No comments: