Saturday, September 27, 2008

SUARA YANG TAK DIDENDANG

Perdana Menteri telah mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat dan Menteri-Menteri Besar telah mengumumkan pembubaran Dewan Negeri. Bermakna akan bermulalah sekali lagi proses demokrasi di negara ini. Maka sibuklah calon-calon Yang Berhormat menawarkan diri. Penyokong-penyokong masing-masing sentiasa di sisi dengan harapan menggunung tinggi agar calon mereka dipilih sebagai Y.B. Kini watikah telah diberi parti bagi mempertahankan kerusi yang bakal mereka duduki. Janji setia dilafazkan sehidup semati. Ada yang tersenyum lebar hingga ke pipi, ada yang terkejut besar rasa tak pijak bumi, ada yang sudah berangan-angan jadi Y.B. dan bermacam-macam reaksi lagi.

Setelah selesai proses pencalonan, maka bermulalah kesibukkan bakal-bakal Y.B. Berkempen ke sana ke mari bersama penyokong-penyokong dan jentera-jentera parti. Gunung sama didaki dan lurah sama dituruni. Poster-poster dan manifesto-manifesto digantung di sana-sini. Sebut sahaja nama-nama jalan atau lorong, Jalan Baruh, Jalan Darat, Jalan Atas maupun Jalan Bawah pasti sudah dua tiga kali diterokai. Pak Long, Pak Ngah, Mak Su, Tok Cik dan Tok Andak hanya sebahagian kecil senarai nama dari beribu-ribu telah ditandangi berulang-ulang kali. Kesemuanya tersenyum kerana bakal Y.B. tak melupakan kami. Janji-janji manis dan gurau senda terus terbawa-bawa hingga ke mimpi.

Kini, doa Y.B. dan kami telah Tuhan kabuli. Kami julang dan lambung dengan sekuat hati. Kenduri kesyukuran kami anjurkan tak henti-henti. Namun mengapa hingga kini jalan-jalan kampung masih berlopak di sana-sini, balai-balai raya bocor tak siapa yang ambil peduli, anak-anak kampung terbiar semacam menumpang di bumi sendiri. Y.B. pula entahkan hidup entahkan mati. Di manakah Y.B., lupakan ia kepada suara-suara kami. Suara-suara yang kami zahirkan di atas kertas undi. Dengar cerita Y.B. sedang sibuk melobi. Sehingga Dewan bersidang pun tak nampak kelibat diri. Tak cukupkan dengan amanah yang diberi. Pak Long yang dulu tersenyum bangga menyebut nama Y.B. kini hanya sekadar mencebik bibir. Y.B. semakin jauh belayar meninggalkan kami. Belayar di lautan yang tak bertepi.

Tiba-tiba kami semua tersentak sekali lagi. Media cetak dan elektronik sibuk bercerita tentang lompat parti. Negara semakin goncang semacam nakhoda kehilangan kemudi. Ekonomi negara tenggelam timbul tak berkesudahan lagi. Tiba-tiba desas desusnya ia melibatkan Y.B. Kalaupun benar, mengapa tak pernah mohon restu dari kami semua di sini. Bukankah segala kuasa dan kedudukan kami yang beri. Pak Abu yang dulunya asyik memperlekahkan undang-undang kini telah bertukar menjadi pakar Perlembagaan dan hak asasi. Katanya kita semua mempunyai kebebasan berpersatuan dan bila-bila masa boleh melompat parti. Abang Bakar yang dulu tak jemu-jemu memaki hamun kini sudah berangan-angan menjadi anak kesayangan Y.B. Kak Timah yang dulunya lantang dengan soal prinsip kini tersenyum hingga nampak gusi.

Apakah yang sebenarnya telah terjadi? Mengapakah Y.B. masih menyepi diri? Sekiranya salah apakah dosa kami sehingga kami diperlakukan sebagai anak tiri. Masih ingatkah Y.B. kata-kata Sir Winston Churchil yang telah Y.B. tiupkan kepada kami. “Di dasar samudra penghormatan dan sanjungan kepada demokrasi ialah seorang yang remeh berjalan masuk ke pondok kecil dengan memegang satu pensil kecil dan kemudiannya membuat satu pangkah kecil di atas sekeping kertas kecil-tiada perbincangan berjilid-jilid atau beretorika terdaya memperkecilkan kepentingan peranan manusia remeh itu.” Apakah ini adil terhadap kami. Kalau benar Y.B. sudah berubah, apakata kita beradu sekali lagi……..

Wednesday, September 24, 2008

ALONG, ANGAH DAN ADIK

“Ayah, adik makan kek Along,” jerit Along dari dapur sambil berlari ke ruang tamu. “Tak apalah Along, Alongkan dah besar bagilah pada Angah, diakan kecil lagi, lagipun Alongkan dah makan tadi,” jawab Ayah. Along yang tak puas hati dengan jawapan Ayah terus menghempaskan dirinya di atas sofa sebagai tanda protes kepada Ayah. “Ayah, Adik tumpahkan air atas mainan Angah,” kini giliran Angah pula mengadu kepada Ayah sambil menunjukkan mainan kegemarannya yang basah akibat dikerjakan Adik. “Itulah tadi makan kek Along sekarang Adik dah basahkan mainan Angah,” bidas Along kepada Angah. Angah yang masih bersedih sebab mainannya basah terus memandang Along. “Yang Along tu Ayah kasi beg sekolah baru tapi Angah tak dapat apa-apa pun,” balas Angah yang masih kecil untuk faham maksud sekolah.

Senario sebegini biasa kita dengar dalam mana-mana rumah yang mempunyai anak-anak. Kadang kala ibubapa menjadi sasaran tempat melepaskan geram anak-anak apabila terasa tidak dibela. Kepada siapa lagi nak mengadu kalau bukan kepada mereka. Ibubapa yang bijak akan mendengar segala aduan dan memberi alasan kepada setiap tindakan agar sebarang pertikaian diselesaikan dengan harmoni dan tidak terbawa-bawa keluar rumah. Apa yang penting kesemua anak-anak memerlukan perhatian dan pembelaan dari ibubapa tanpa mengira usia.

Kita perlu adil dalam membesarkan anak-anak dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan mereka. Adil bukan bermakna semuanya harus diagihkan sama rata. Malahan menurut Islam, adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Along memerlukan beg untuk ke sekolah, Angah memerlukan mainan sebagai teman semasa sunyi sementara Adik hanya memerlukan botol susu untuk digonggong sepanjang masa. Keperluan anak-anak kita tidak sama antara satu dengan lain dan kitalah yang perlu mengimbanginya.

Kita juga harus peka dengan kelemahan anak-anak kita. Ada yang kuat merajuk, ada yang panas baran, ada yang suka memberontak dalam diam dan bermacam-macam gelagat lagi. Tapi kita tidak harus lupa kepada kekuatan yang ada dalam diri masing-masing. Ada yang tekun bekerja, ada yang bijak berfikir, ada yang keletah berbicara dan berbagai lagi yang seadanya. Bukankah Allah itu Maha Pencipta dan tiap-tiap kejadian itu ada hikmahnya. Kita perlu pandai mengadun segala kelemahan dan kekuatan mereka agar dapat menjadi benteng yang kuat bagi meninggi dan mempertahankan maruah keluarga.

Ibubapa yang bijak perlu sentiasa menanamkan sifat kasih sayang, tolong menolong, kerjasama dan prihatin di kalangan anak-anak mereka. Di samping perlu memotivasikan anak-anak agar terus berusaha dan sentiasa bersama mereka, sama ada di kala terik cahaya mentari maupun di kala ribut dan hujan melimpahi bumi. Yang baik sentiasa dijadikan teladan dan yang buruk sentiasa dijadikan sempadan. Sesekali kita perlu bertegas dan menghukum mereka asal niat kita untuk kebaikan bersama. Barulah ibubapa akan disegani, dihormati dan dipandang tinggi.

Begitulah kiasan betapa pentingnya kepimpinan dalam sesuatu negara. Kita mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan agama yang perlu dijaga dan dibela. Berbagai keperluan dan ragam yang terpaksa kita selesaikan. Mereka semua bagaikan anak-anak yang sentiasa memandang ke arah kita. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya pemimpin yang kuat dan mendapat keredhaanNya sahaja yang pasti berjaya…..

HANG TUAH, BANGAU OH BANGAU DAN SEPULUH BUDAK HITAM

Teringat saya filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Nujum Pak Belalang. Saya tertarik dengan satu teka-teki yang diberikan oleh wakil Raja Masai yang bertanyakan di manakah terletak kekuatan Hang Tuah. Jawapan yang diberikan oleh Nujum Pak Belalang ialah pada huruf “ta” sekiranya ditukar ke huruf lain ia akan memberi maksud lain. Kemudian saya terfikir pula di mana letaknya kekuatan Melayu. Adakah terletak pada huruf “mim” jika dibuangnya akan memberi satu maksud yang lain.

Semakin hari semakin kuat serangan telah dibuat terhadap umat Melayu sama ada secara langsung atau pun tidak. Bermula dengan isu-isu ekonomi dan kontrak sosial, kita seterusnya ditampar dengan isu-isu agama seperti murtad, pengunaan kalimah Allah di rumah ibadat bukan Islam dan lain-lain lagi. Kita juga tidak boleh menafikan trauma yang dilalui oleh bangsa kita dengan masalah-masalah sosial masyarakat Melayu yang semakin menjadi-jadi dari masalah dadah, mat rempit, bohsia, buang anak dan lain-lain lagi. Kesemua penyakit ini bergerak aktif dari hari ke hari seperti penyakit kanser yang tidak dikawal. Kadang kala terfikir dibenak fikiran saya apakah ini semua merupakan satu isyarat dari Maha Pencipta supaya hambanya berfikir atau adakan ini merupakan bala bencana yang diturunNya seperti yang diturunkan kepada umat-umat terdahulu.

Sejak kecil lagi kita biasa mendengar lagu rakyat bangau oh bangau. Jika kita hayati lagu tersebut mengisahkan bangau yang menyalahkan rumput yang panjang sehingga menyebabkan bangau tidak boleh makan ikan. Rumput pula menyalahkan kerbau kerana tidak meragut rumput sehingga menjadi panjang. Budaya mencari kesalahan diteruskan oleh kerbau sehingga berlarutan kepada katak yang memanggil hujan. Katak seterusnya mempertahankan dirinya dan menyalahkan ular kerana ingin memakannya dan ular dengan bangganya mengaku bahawa katak adalah makanannya.

Hari ini kita semua dapat melihat semula watak-watak bangau, rumput, kerbau, seterusnya hingga ke ular. Cuma adakah kita sebahagian dari bangau, rumput, kerbau, ular atau yang lain-lain. Yang pasti saya percaya kita bukannya ular yang dengan bangganya mempertahankan tindakannya demi kepentingan peribadi. Kita semua adalah mangsa dan bukan pemangsa kepada segala masalah ini. Apakah salahnya kita semua duduk semeja dan selesaikan apa yang menjadi perbezaan antara kita. Biarlah ia bermula dari dalam rumah kita dan kita kembangkan ke masyarakat seterusnya dunia yang tanpa sempadan ini. Adakah kita perlu menunggu sehingga sudah terantuk baru tergadah. Adakah kita berpuas hati apabila kalah jadi abu dan menang jadi arang.

Kita semua perlu sedar dari mimpi masing-masing seterusnya bekerjasama membangunkan bangsa kita sebagai masyarakat yang bermaruah dan dihormati. Kekuatan dan kehormatan kita ini sebenarnya terletak kepada Islam itu sendiri sepertimana Allah (s.w.t) memberikan kehormatan kepada kaum Quraish pada awal pengembangan Islam.

Jangan sampai kata-kata keramat Hang Tuah “tak Melayu hilang di dunia” pergi bersama-sama Hang Tuan dalam lipatan sejarah. Jangan sampai kita semua menjadi budak-budak hitam dalam lagu sepuluh budak hitam yang pupus satu persatu di Tanah Air sendiri.

Jadi gunakanlah kesempatan Syawal ini untuk kita merenung masa yang lampau dan memperbaiki silaturrahmi sesama kita bagi menyediakan satu benteng yang kukuh dalam menghadapi ular-ular yang bersedia mematuk kita.

EID MUBARAK DAN MAAF ZAHIR BATIN

Tuesday, September 23, 2008

MAT JENIN DULU KINI DAN SELAMANYA

Sebagai manusia normal kita semua mempunyai berbagai keinginan. Ada yang ingin menjadi jutawan, ada juga yang berhasrat menjadi ahli politik terkenal, ada yang bercita-cita menjadi sarjana yang tersohor dan macam-macam keinginan lain. Pendek kata walaupun rambut sama hitam tapi hati lain-lain, malahan sekarang rambut sudah ada yang berwarna-warni.

Datuk nenek kita pernah melabelkan orang yang mempunyai keinginan yang tinggi ini sebagai angan-angan Mat Jenin. Mat Jenin, sebagai pemanjat kelapa di kampung berangan-angan semasa di atas pokok kelapa. Dia telah menjual semua hasil kelapa yang diperolehi dan hasil keuntungannya dibeli telur ayam. Apabila semua telur ayamnya telah menetas dan besar Mat Jenin terus menjual ayam-ayamnya di pasar dan membeli anak-anak kambing dan apabila kambing-kambingnya dewasa, Mat Jenin terus menjual kambing-kambingnya dan membeli anak-anak lembu. Seperti biasa apabila lembunya telah dewasa, Mat Jenin menjual lembu-lembunya. Akibat terlalu seronok dengan hasil yang berganda-ganda, Mat Jenin terlepas pegangannya pada batang kelapa dan jatuh ke bumi.

Selama berdekad cerita jenaka Masyarakat ini diperturunkan ke setiap lapisan umur. Berbagai terjemahan telah dibuat. Ada yang berpendapat cerita Mat Jenin ini mencerminkan mentaliti masyarakat Melayu yang memandang rendah dengan kemampuan anak bangsa sendiri, ada yang memandangnya sebagai sikap orang Melayu sendiri yang tidak suka melihat orang Melayu maju kehadapan disebabkan perasaan iri hati, cemburu atau lain-lain maksud tersirat. Namun apa yang jelas Cerita Mat Jenin ini adalah satu peninggalan nasihat orang-orang terdahulu kepada kita supaya jangan terlalu leka dan lupa diri apabila kita mencapai kejayaan.

Mat Jenin adalah seorang budak kampung yang pintar. Walaupun tinggal di kampung dan tidak berpelajaran beliau mampu untuk menyusun perancangan perniagaan sehingga ketahap kejayaan. Mat Jenin juga menunjukkan kemampuan orang Melayu dalam sudut keusahawanan. Cuma sebagai manusia biasa kita semua mempunyai kelemahan diri seperti Mat Jenin. Kita cepat lupa diri apabila kita merasakan kita sudah berjaya. Bezanya Mat Jenin lupa diri pada peringkat membuat perancangan dan jatuh ke bumi lalu menerima padahnya. Jadi di manakah kedudukan kita? Adakah kita di peringkat perancangan, perlaksanaan atau meraih hasil tuaian? Jadi marilah kita sama-sama bermuhasabah, saling mengingatkan antara satu dengan lain supaya sentiasa berhati-hati dan tidak lupa diri dengan nikmat yang dikurniakanNya. Tiap-tiap satu benda yang dikurniakan kepada kita ada haknya seperti sabda Rasullulah (S.A.W) 

“ Sesungguhnya bagi Tuhan kamu terhadapmu hakNya dan bagi dirimu terhadapmu haknya dan bagi keluarga kamu terhadapmu haknya. Maka berilah kepada tiap-tiap sesuatu itu akan haknya.” 

Selamat Menunaikan Zakat dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

SELAMAT TINGGAL RAMADHAN

Sekali lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita seperti masa-masa yang lalu. Adakah kita mampu bertemu kembali bulan yang penuh dengan dengan keampunan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan bulan yang penuh dengan kejayaan? Hanya Allah yang Maha Mengetahui kerana Dialah yang memiliki segalanya di alam yang segala kekurangan ini.

Berbahagialah kepada mereka yang telah berjaya dalam menempuh ujian Ramadhan ini, mereka yang telah berjaya menjaga mata mereka dari melihat perkara-perkara yang dimurkai, mereka yang menjaga mulut mereka dari menyebut perkara-perkara yang dibenci, mereka menjauhi telinga mereka dari perkara-perkara yang membinasakan dan mereka yang telah berjaya menjaga anggota badan mereka dari terjebak ke dalam kancah kemungkaran dan maksiat.

Malanglah bagi mereka yang gagal dalam ujian Ramadhan ini. Mereka yang bukan sahaja gagal menahan nafsu lapar dan dahaga. Malah mereka juga terpedaya dengan pujukan syaitan dan iblis dalam mengawal tingkah laku dan anggota badan yang telah diamanahkan oleh Maha Pencipta dalam menjauhi perkara-perkara yang dimurkai dan dibenci. Moga–moga mereka akan diberi taufiq dan hidayatNya dalam meneruskan cabaran hidup di muka bumi ini.

Begitulah misterinya Ramadhan, bukan sekadar misterinya mencari keberkatan pada malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Misteri yang menguji perhubungan kita sesama makhluk dan perhubungan kita dengan Pencipta. Kalaulah hidup ini digambarkan sebagai ujian kita ke alam akhirat memandaikah Ramadhan ini kita umpamakan sebagai ujian kita di sepanjang setahun dan Lailatul Qadar sebagai pengukur kita menghadapi kemuncak Ramadhan. Hanya mereka yang bersedia dengan bekalan yang cukup akan mampu menempuhi segala cabaran dan dugaan. Cabaran hidup, cabaran Ramadhan dan cabaran Lailatul Qadar. 

Adakah kita mampu bertahajjud pada sepertiga malam sekiranya kalimah tahajjud tidak pernah terdetik di hati kita pada malam-malam biasa? Adakah kita mampu bertadarus sepanjang Ramadhan sekiranya Al Quran hanya menjadi perhiasan di suatu sudut rumah kita? Adakah kita mampu menjauhi perkara-perkara maksiat dan yang dibenci pada bulan mulia ini sekiranya perkara-perkara tersebut telah menjadi sebahagian dari darah daging kita?

Hanya kita sahaja yang tahu tahap kejayaan kita dalam menghadapi ujian Ramadhan kali ini kerana kita adalah pelakonnya. Bagi mereka yang berjaya tahniah diucapkan semoga mereka dapat mengekalkan kecemerlangan Ramadhan pada bulan-bulan yang seterusnya serta dapat memperbaiki rekod pada Ramadhan yang akan datang, Insya Allah. Bagi mereka yang gagal jangan pula berputus asa tetapi hendaklah terus istiqamah dalam berusaha dan bersedia bagi mencari dan mengumpul segala bekalan yang ada supaya perjalanan lebih teratur dan bersedia dalam menghadapi ujian Ramadhan pada masa mendatang sekiranya diberi peluang kedua oleh Yang Maha Berkuasa. Namun sekiranya tidak diizinkanNya, Ya Allah aku telah berbuat segala yang terdaya maka mohon Engkau terimalah ia seadanya kerana aku insan biasa………..

Sunday, September 21, 2008

Tv Plasma atau Tv Biasa

TV.....itu satu keperluan sekarang ni, cuma TV biasa dengan TV Plasma, yang mana lebih sesuai ada dalam ruang tamu rumah kita?? Kalau disebabkan keperluan, memadailah setakat TV biasa sahajakan? Tapi, mana pulak seri di ruang tamu kita kalau kita letakkan TV biasa ditambah pula dengan tak ada jenama seperti yang senang kita dapatkan dimerata kedai elektrik atau kompleks membeli belah. Kalau nak lebih elegan, seharusnya kta kenalah adakan Plasma TV kat ruangtamu rumah agar kelihatan lebih anggun dan menawan. Apa pun, kena juga kita tengok pada belanjawan yang kita ada sekarang. Dan tak salah rasanya kita menyimpan duit semata mata nak membeli TV Plasma untuk ruang tamu rumah kita sendiri. Sekurang kurangnya, kita tidak membazirkan duit kita ke tempat yang salah. Lagi pun, pada masa kini, harga TV Plasma sudah tidak lagi membebankan. Orang kampung kata, udah murah dah pon. 


Hari hari pergi kerja,
Balik rumah, melayan astro saja,
Tepuk Dada dan Tanyalah Selera,
Takde duitnya, guna aje kad kredit yang ada....

Fikir fikirkan dan renung renungkan.....
Selamat Berpuasa ye....

HiHiHiHiHi