Wednesday, September 24, 2008

ALONG, ANGAH DAN ADIK

“Ayah, adik makan kek Along,” jerit Along dari dapur sambil berlari ke ruang tamu. “Tak apalah Along, Alongkan dah besar bagilah pada Angah, diakan kecil lagi, lagipun Alongkan dah makan tadi,” jawab Ayah. Along yang tak puas hati dengan jawapan Ayah terus menghempaskan dirinya di atas sofa sebagai tanda protes kepada Ayah. “Ayah, Adik tumpahkan air atas mainan Angah,” kini giliran Angah pula mengadu kepada Ayah sambil menunjukkan mainan kegemarannya yang basah akibat dikerjakan Adik. “Itulah tadi makan kek Along sekarang Adik dah basahkan mainan Angah,” bidas Along kepada Angah. Angah yang masih bersedih sebab mainannya basah terus memandang Along. “Yang Along tu Ayah kasi beg sekolah baru tapi Angah tak dapat apa-apa pun,” balas Angah yang masih kecil untuk faham maksud sekolah.

Senario sebegini biasa kita dengar dalam mana-mana rumah yang mempunyai anak-anak. Kadang kala ibubapa menjadi sasaran tempat melepaskan geram anak-anak apabila terasa tidak dibela. Kepada siapa lagi nak mengadu kalau bukan kepada mereka. Ibubapa yang bijak akan mendengar segala aduan dan memberi alasan kepada setiap tindakan agar sebarang pertikaian diselesaikan dengan harmoni dan tidak terbawa-bawa keluar rumah. Apa yang penting kesemua anak-anak memerlukan perhatian dan pembelaan dari ibubapa tanpa mengira usia.

Kita perlu adil dalam membesarkan anak-anak dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan mereka. Adil bukan bermakna semuanya harus diagihkan sama rata. Malahan menurut Islam, adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Along memerlukan beg untuk ke sekolah, Angah memerlukan mainan sebagai teman semasa sunyi sementara Adik hanya memerlukan botol susu untuk digonggong sepanjang masa. Keperluan anak-anak kita tidak sama antara satu dengan lain dan kitalah yang perlu mengimbanginya.

Kita juga harus peka dengan kelemahan anak-anak kita. Ada yang kuat merajuk, ada yang panas baran, ada yang suka memberontak dalam diam dan bermacam-macam gelagat lagi. Tapi kita tidak harus lupa kepada kekuatan yang ada dalam diri masing-masing. Ada yang tekun bekerja, ada yang bijak berfikir, ada yang keletah berbicara dan berbagai lagi yang seadanya. Bukankah Allah itu Maha Pencipta dan tiap-tiap kejadian itu ada hikmahnya. Kita perlu pandai mengadun segala kelemahan dan kekuatan mereka agar dapat menjadi benteng yang kuat bagi meninggi dan mempertahankan maruah keluarga.

Ibubapa yang bijak perlu sentiasa menanamkan sifat kasih sayang, tolong menolong, kerjasama dan prihatin di kalangan anak-anak mereka. Di samping perlu memotivasikan anak-anak agar terus berusaha dan sentiasa bersama mereka, sama ada di kala terik cahaya mentari maupun di kala ribut dan hujan melimpahi bumi. Yang baik sentiasa dijadikan teladan dan yang buruk sentiasa dijadikan sempadan. Sesekali kita perlu bertegas dan menghukum mereka asal niat kita untuk kebaikan bersama. Barulah ibubapa akan disegani, dihormati dan dipandang tinggi.

Begitulah kiasan betapa pentingnya kepimpinan dalam sesuatu negara. Kita mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan agama yang perlu dijaga dan dibela. Berbagai keperluan dan ragam yang terpaksa kita selesaikan. Mereka semua bagaikan anak-anak yang sentiasa memandang ke arah kita. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya pemimpin yang kuat dan mendapat keredhaanNya sahaja yang pasti berjaya…..

No comments: