Saturday, September 27, 2008

SUARA YANG TAK DIDENDANG

Perdana Menteri telah mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat dan Menteri-Menteri Besar telah mengumumkan pembubaran Dewan Negeri. Bermakna akan bermulalah sekali lagi proses demokrasi di negara ini. Maka sibuklah calon-calon Yang Berhormat menawarkan diri. Penyokong-penyokong masing-masing sentiasa di sisi dengan harapan menggunung tinggi agar calon mereka dipilih sebagai Y.B. Kini watikah telah diberi parti bagi mempertahankan kerusi yang bakal mereka duduki. Janji setia dilafazkan sehidup semati. Ada yang tersenyum lebar hingga ke pipi, ada yang terkejut besar rasa tak pijak bumi, ada yang sudah berangan-angan jadi Y.B. dan bermacam-macam reaksi lagi.

Setelah selesai proses pencalonan, maka bermulalah kesibukkan bakal-bakal Y.B. Berkempen ke sana ke mari bersama penyokong-penyokong dan jentera-jentera parti. Gunung sama didaki dan lurah sama dituruni. Poster-poster dan manifesto-manifesto digantung di sana-sini. Sebut sahaja nama-nama jalan atau lorong, Jalan Baruh, Jalan Darat, Jalan Atas maupun Jalan Bawah pasti sudah dua tiga kali diterokai. Pak Long, Pak Ngah, Mak Su, Tok Cik dan Tok Andak hanya sebahagian kecil senarai nama dari beribu-ribu telah ditandangi berulang-ulang kali. Kesemuanya tersenyum kerana bakal Y.B. tak melupakan kami. Janji-janji manis dan gurau senda terus terbawa-bawa hingga ke mimpi.

Kini, doa Y.B. dan kami telah Tuhan kabuli. Kami julang dan lambung dengan sekuat hati. Kenduri kesyukuran kami anjurkan tak henti-henti. Namun mengapa hingga kini jalan-jalan kampung masih berlopak di sana-sini, balai-balai raya bocor tak siapa yang ambil peduli, anak-anak kampung terbiar semacam menumpang di bumi sendiri. Y.B. pula entahkan hidup entahkan mati. Di manakah Y.B., lupakan ia kepada suara-suara kami. Suara-suara yang kami zahirkan di atas kertas undi. Dengar cerita Y.B. sedang sibuk melobi. Sehingga Dewan bersidang pun tak nampak kelibat diri. Tak cukupkan dengan amanah yang diberi. Pak Long yang dulu tersenyum bangga menyebut nama Y.B. kini hanya sekadar mencebik bibir. Y.B. semakin jauh belayar meninggalkan kami. Belayar di lautan yang tak bertepi.

Tiba-tiba kami semua tersentak sekali lagi. Media cetak dan elektronik sibuk bercerita tentang lompat parti. Negara semakin goncang semacam nakhoda kehilangan kemudi. Ekonomi negara tenggelam timbul tak berkesudahan lagi. Tiba-tiba desas desusnya ia melibatkan Y.B. Kalaupun benar, mengapa tak pernah mohon restu dari kami semua di sini. Bukankah segala kuasa dan kedudukan kami yang beri. Pak Abu yang dulunya asyik memperlekahkan undang-undang kini telah bertukar menjadi pakar Perlembagaan dan hak asasi. Katanya kita semua mempunyai kebebasan berpersatuan dan bila-bila masa boleh melompat parti. Abang Bakar yang dulu tak jemu-jemu memaki hamun kini sudah berangan-angan menjadi anak kesayangan Y.B. Kak Timah yang dulunya lantang dengan soal prinsip kini tersenyum hingga nampak gusi.

Apakah yang sebenarnya telah terjadi? Mengapakah Y.B. masih menyepi diri? Sekiranya salah apakah dosa kami sehingga kami diperlakukan sebagai anak tiri. Masih ingatkah Y.B. kata-kata Sir Winston Churchil yang telah Y.B. tiupkan kepada kami. “Di dasar samudra penghormatan dan sanjungan kepada demokrasi ialah seorang yang remeh berjalan masuk ke pondok kecil dengan memegang satu pensil kecil dan kemudiannya membuat satu pangkah kecil di atas sekeping kertas kecil-tiada perbincangan berjilid-jilid atau beretorika terdaya memperkecilkan kepentingan peranan manusia remeh itu.” Apakah ini adil terhadap kami. Kalau benar Y.B. sudah berubah, apakata kita beradu sekali lagi……..

No comments: