Sunday, November 9, 2008

ENJIT-ENJIT SEMUT


Satu petang saya melayan anak-anak saya bermain enjit-enjit semut di halaman rumah. Aktivitinya ringkas sahaja. Masing-masing mencubit belakang tapak tangan pemain lain dan tangan yang paling bawah akan naik ke atas sambil menyanyikan lagu “enjit-enjit semut siapa sakit naik atas” berulang-ulang kali. Terfikir saya bagaimana masyarakat dahulu yang begitu peka dalam mencipta permainan tersebut. Walaupun ia nampak ringkas tetapi disertakan dengan pengisian dan maksud tersirat. Bagaimana kita semua perlu berkerjasama bertolak ansur dan membantu antara satu dengan lain serta berkongsi beban dan tanggung jawab dalam sesuatu organisasi dan masyarakat.

Kloni semut adalah seperti manusia, hidup mengikut hiraki. Permaisuri semut dalam hiraki teratas, berfungsi menghasilkan telur-telur semut bagi meneruskan generasi-generasi seterusnya. Ia sentiasa dikelilingi para soldadunya bagi mempertahankan Sang Permaisuri dan telur-telur semut dari diserang oleh musuh-musuh semut. Permaisuri semut juga di kelilingi oleh sang pelayan yang bertugas menyediakan makan kepada Permaisuri semut. Terdapat juga semut-semut yang berkeliaran secara bersendirian bagi mencari makanan-makanan yang terdapat di kawasan persekitaran. Apabila ia berjumpa makanan maka ia akan menghantar isyarat kepada semut-semut yang lain supaya beramai-ramai datang dan mengangkat makanan tersebut secara bergotong-royong. Sekiranya berat semut-semut akan mengangkat secara beramai-ramai dan sekiranya kecil dan ringan semut-semut akan menangkat secara bersendirian. Semut-semut ini akan bergerak mengikut barisan menuju ke sarang mereka tanpa berlumba-lumba atau bertolak-tolakkan antara satu dengan lain. Semut-semut ini akan terus mengumpul makanan-makanan berkenaan tanpa rasa malas dan jemu walaupun bekalan makanan mereka telah banyak dalam simpanan. Begitulah misterinya kehidupan sang semut yang telah diabadikan oleh leluhur kita untuk diperturunkan kepada golongan selepasnya beberapa generasi melalui lagu enjit-enjit semut sebagai pengajaran kepada kita semua. Namun begitu tidak ramai di antara kita yang sedar malahan membutakan mata masing-masing demi sikap pentingkan diri dalam mencapai matlamat hidup masing-masing.

Kisah sang semut ini juga telah diabadikan dalam AlQuran di Surah AlNaml yang bermaksud Surat Semut dalam ayat 18 dan 19 yang berbunyi, “hingga apabila mereka telah sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai sekalian semut-semut! Masuklah kamu sekalian ke dalam sarang-sarangmu supaya kamu jangan dihancur leburkan oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedang mereka tidak merasakan (18) Maka ketawalah ia tergelak-gelak dari sebab perkataan semut itu, dan berkatalah ia: Ya Tuhanku! Berilah peluang untuk aku bersyukur atas nikmat Engkau dan yang telah Engkau nikmatkan kepadaku dan kepada kedua orang ayahbondaku, dan supaya aku mengamal dengan amalan soleh yang engkau redhai dan masukkanlah kiranya akan daku, dengan rahmat Engkau ke dalam golongan hamba-hamba Engkau yang soleh (19).

Begitulah betapa kuatnya perpaduan di dalam kumpulan semut. Mereka sentiasa ingat mengingati bahaya yang mungkin dihadapi oleh kumpulan mereka. Semut-semut juga akan menggigit atau menghemburkan bisa mereka apabila mempertahankan diri sendiri atau kumpulan mereka. Semut-semut biasanya tidak akan menyerang makhluk lain tanpa sebab yang sepatutnya.

Marilah kita sama-sama merenung kejadian Allah (s.w.t) ini dengan lebih teliti dan penuh keinsafan. Cerminlah diri kita sedalam-dalamnya bagi mencari penyelesaian terhadap segala masalah yang timbul pada setiap masa. Bukankah kita semua adalah sebaik-baik kejadian di atas muka bumi ini?

Wednesday, November 5, 2008

AYAH DAN IBU


Satu hari ketika saya berjalan-jalan sendirian mengambil angin di tepi sawah, saya tersenyum mengingati pengalaman seorang anak kampung. Satu ketika dulu saya sempat membantu ayah dan ibu bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong mengerjakan sawah masing-masing. Hampir semua aktiviti pernah saya lakukan bermula dari membersih sawah, menyemai benih, menanam anak benih, mengerat dan membanting padi. Walaupun hasil pendapatannya yang rendah, ramai penduduk kampung telah berjaya membesarkan anak-anak mereka sehingga mencapai kejayaan dan tidak lagi bergantung kepada sawah padi. Ada di kalangan mereka hanya berehat di rumah kerana sawah telah disewa kepada orang lain dan ada yang meneruskan aktiviti penanaman padi sebagai memenuhi masa lapang. Teknologi telah mengambil alih sebahagian besar dari tugas-tugas manusia dalam proses penanaman padi. Dari aktiviti pembersihan tapak dan penyerakan benih-benih padi sehinggalah proses tuaian menggunakan jentera-jentera moden.

Saya juga berasa bersyukur kerana telah dianugerahkan Allah (s.w.t) segala nikmat dan kejayaan. Walaupun bermula sebagai anak kampung saya telah berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama dan seterusnya menghabiskan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi dan akhirnya berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Semua kejayaan ini adalah berkat kerja keras dan doa kedua ibubapa saya. Mereka tidak pernah mengeluh dalam membesarkan anak-anak walaupun hidup dalam serba kekurangan. Saya masih teringat ketika berada dalam darjah 5. Guru kelas telah mengarahkan kami untuk membawa pulang borang biodata ibubapa. Ketika itu saya sendiri terkejut apabila ayah saya menyatakan pendapatannya sebulan hanya RM250 sebulan berbeza dengan kawan-kawan lain yang ibubapanya mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi dari ayah saya.

Tidak pernah saya mendengar keluhan mereka apabila diminta untuk membayar atau membeli buku-buku untuk pelajaran. Bagi mereka biarlah mereka berkorban apa saja demi masa depan anak-anak mereka. Pernah satu ketika saya telah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus bahasa Arab di Kelantan sempena cuti sekolah. Saya agak keberatan untuk pergi kerana ia akan membebankan keluarga dan saya berniat untuk mencari kerja sementara bagi memenuhi masa lapang saya dan membantu meringankan beban mereka. Ayah kemudiannya telah mengarahkan saya untuk terus belajar dan beliau berusaha memenuhi segala keperluan saya di sana. Kadang-kadang terasa hairan memikirkan bagaimana ayah dan ibu dapat membesarkan kami semua dengan pendapatan yang kecil. Walaupun hidup dengan serba kekurangan keperluan anak-anak tidak pernah diketepikan oleh mereka berdua. Apa yang penting bagi mereka adalah melengkapkan anak-anak dengan ilmu bagi menjadi insan berguna.

Kini masa telah berubah, saya telah menjadi insan yang bergelar ayah kepada anak-anak saya. Bezanya hidup saya lebih senang jika dibandingkan dengan kedua ibubapa saya. Apa sahaja keperluan anak-anak akan cuba saya penuhi, tidak sampai hati rasanya membiarkan mereka bersedih sekiranya ada hajat mereka yang tidak kecapaian. Barulah saya faham bagaimana rasanya menjadi ayah kepada anak-anak. Anak-anak menjadi keutamaan dalam hidup mereka lebih dari segalanya. Cuma saya terfikir berapa ramaikah anak-anak yang sanggup memenuhi keperluan ibubapa apabila mereka sudah besar dan berjaya. Berapa ramai di antara kita meletakkan ibubapa dalam senarai keutamaan kita. Ada di kalangan anak-anak yang membiarkan ibubapa di rumah orang-orang tua, ada yang lama hilang tanpa sebarang berita, ada yang tidak pernah mengirim wang walaupun mereka benar-benar memerlukannya. Tapi jauh disudut hati, mereka hanya memerlukan kasih sayang anak-anak yang semakin jauh meninggalkan mereka. Walau apapun alasan, kita mungkin satu hari nanti kita akan berada di tempat mereka. Wallahuaaklam.