Wednesday, November 5, 2008

AYAH DAN IBU


Satu hari ketika saya berjalan-jalan sendirian mengambil angin di tepi sawah, saya tersenyum mengingati pengalaman seorang anak kampung. Satu ketika dulu saya sempat membantu ayah dan ibu bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong mengerjakan sawah masing-masing. Hampir semua aktiviti pernah saya lakukan bermula dari membersih sawah, menyemai benih, menanam anak benih, mengerat dan membanting padi. Walaupun hasil pendapatannya yang rendah, ramai penduduk kampung telah berjaya membesarkan anak-anak mereka sehingga mencapai kejayaan dan tidak lagi bergantung kepada sawah padi. Ada di kalangan mereka hanya berehat di rumah kerana sawah telah disewa kepada orang lain dan ada yang meneruskan aktiviti penanaman padi sebagai memenuhi masa lapang. Teknologi telah mengambil alih sebahagian besar dari tugas-tugas manusia dalam proses penanaman padi. Dari aktiviti pembersihan tapak dan penyerakan benih-benih padi sehinggalah proses tuaian menggunakan jentera-jentera moden.

Saya juga berasa bersyukur kerana telah dianugerahkan Allah (s.w.t) segala nikmat dan kejayaan. Walaupun bermula sebagai anak kampung saya telah berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama dan seterusnya menghabiskan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi dan akhirnya berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Semua kejayaan ini adalah berkat kerja keras dan doa kedua ibubapa saya. Mereka tidak pernah mengeluh dalam membesarkan anak-anak walaupun hidup dalam serba kekurangan. Saya masih teringat ketika berada dalam darjah 5. Guru kelas telah mengarahkan kami untuk membawa pulang borang biodata ibubapa. Ketika itu saya sendiri terkejut apabila ayah saya menyatakan pendapatannya sebulan hanya RM250 sebulan berbeza dengan kawan-kawan lain yang ibubapanya mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi dari ayah saya.

Tidak pernah saya mendengar keluhan mereka apabila diminta untuk membayar atau membeli buku-buku untuk pelajaran. Bagi mereka biarlah mereka berkorban apa saja demi masa depan anak-anak mereka. Pernah satu ketika saya telah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus bahasa Arab di Kelantan sempena cuti sekolah. Saya agak keberatan untuk pergi kerana ia akan membebankan keluarga dan saya berniat untuk mencari kerja sementara bagi memenuhi masa lapang saya dan membantu meringankan beban mereka. Ayah kemudiannya telah mengarahkan saya untuk terus belajar dan beliau berusaha memenuhi segala keperluan saya di sana. Kadang-kadang terasa hairan memikirkan bagaimana ayah dan ibu dapat membesarkan kami semua dengan pendapatan yang kecil. Walaupun hidup dengan serba kekurangan keperluan anak-anak tidak pernah diketepikan oleh mereka berdua. Apa yang penting bagi mereka adalah melengkapkan anak-anak dengan ilmu bagi menjadi insan berguna.

Kini masa telah berubah, saya telah menjadi insan yang bergelar ayah kepada anak-anak saya. Bezanya hidup saya lebih senang jika dibandingkan dengan kedua ibubapa saya. Apa sahaja keperluan anak-anak akan cuba saya penuhi, tidak sampai hati rasanya membiarkan mereka bersedih sekiranya ada hajat mereka yang tidak kecapaian. Barulah saya faham bagaimana rasanya menjadi ayah kepada anak-anak. Anak-anak menjadi keutamaan dalam hidup mereka lebih dari segalanya. Cuma saya terfikir berapa ramaikah anak-anak yang sanggup memenuhi keperluan ibubapa apabila mereka sudah besar dan berjaya. Berapa ramai di antara kita meletakkan ibubapa dalam senarai keutamaan kita. Ada di kalangan anak-anak yang membiarkan ibubapa di rumah orang-orang tua, ada yang lama hilang tanpa sebarang berita, ada yang tidak pernah mengirim wang walaupun mereka benar-benar memerlukannya. Tapi jauh disudut hati, mereka hanya memerlukan kasih sayang anak-anak yang semakin jauh meninggalkan mereka. Walau apapun alasan, kita mungkin satu hari nanti kita akan berada di tempat mereka. Wallahuaaklam.

No comments: