Wednesday, October 29, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 2


Ketika ini ada bakal-bakal haji yang mula meninggalkan kampung halaman masing-masing bagi mengunjungi Baitullah Al Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Pemergian mereka ke Tanah Suci disusun secara berperingkat-peringkat oleh pihak yang bertanggung jawab bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan mengikut perancangan. Bulan-bulan haji bermula pada 1 Syawal dan berakhir pada 9 ZulHijjah tiap-tiap tahun hijrah.

Bagi mereka yang berangkat dengan penerbangan awal, mereka akan terus melakukan ibadat ziarah di Kota Madinah Al Munawarah, kota tempat bersemadinya jasad Junjungan Besar kita Nabi Muhammad (s.a.w) sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadat Umrah dan Haji. Bagi yang memilih penerbangan pertengahan kebiasaannya ada yang berangkat ke Madinah bagi menjalankan ziarah dan ada yang terus ke Mekah untuk menunaikan ibadat Umrah sebelum menjalankan ibadat haji. Bagi mereka yang mengikuti penerbangan akhir, kebiasaannya mereka semua akan memakai pakaian ihram sebelum penerbangan dan terus ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau sekadar menjalankan ibadat umrah sebelum menunaikan ibadat haji.

Mana-mana waktu penerbangan yang kita ikuti, niat kita semua adalah sama iaitu suatu perjalanan menuju Allah. Saya masih ingat sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan penerbangan akhir bagi menunaikan haji pada musim 1428H. Perasaan ketika itu bercampur baur, gembira kerana dipilihNya bagi menunaikan Rukun Islam Kelima, takut kerana mengenang dosa-dosa silam dan sedih untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil, Syifa’ ketika itu berusia 7 tahun, Husna dan Saffa’ menghampiri umur 3 tahun. Namun kami jadikan perpisahan sementara ini sebagai satu pengorbanan sekeluarga bagi mendapat keredhaan Allah yang Maha Esa. Kata pepatah “berat mata memandang berat lagi bahu memikul.”

Bermulanya perjalanan kami dari bangunan Tabung Haji ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam pakaian ihram telah mengimbau kenangan saya kepada ceramah yang diberikan sebelumnya tentang persamaan antara haji dan mati. Bagi yang mengerjakan haji mereka akan memakai ihram serba putih, dihantar beramai-ramai dengan iringan azan memuji kebesaran Ilahi dan doa. Sementara mati akan dikapankan dengan kain putih seterusnya dihantar beramai-ramai ke kubur dengan diiringi Fatihah dan doa. Bagi jemaah haji, mereka akan bergerak masuk ke dalam kapal terbang sementara bagi jenazah, ia akan disemadikan ke liang lahad. Suasana sedih dan syahdu akan menyelubungi setiap ahli keluarga dan para hadirin. Hanya Allah sahaja tahu sama ada kami akan pulang atau terus bersemadi di sana.

Apabila penerbangan melalui kawasan miqat di Qarnul Manazil maka kami semua memasang niat bagi mengerjakan ibadat haji masing-masing kerana kebetulan hari wukuf hanya tinggal lebih kurang sepuluh hari. Suasana talbiah mula bergema dalam pesawat tanda insaf dan kesyukuran dijemput sebagai tetamuNya. “HambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu”.

Maka bermulalah musafir kami di bumi Anbia bagi mencari keberkatan dan keredhaanNya. Kami amat bersyukur kerana perjalanan kami bergerak lancar dengan perancanganNya walaupun pesawat kami terpaksa ditunda selama enam jam semasa di Malaysia. Akhirnya kami tiba di Bandar Mekah Al Mukaramah pada malamnya. Kota yang sentiasa terang benderang dan sibuk dengan jemaah haji berulang alik ke Masjid Haram. Kami ditempatkan di Hotel Mubarak yang dikenali sebagai Maktab 97. Jarak dari Maktab ke Masjid Haram lebih kurang 450 meter. Kami ditempatkan sebanyak tujuh orang sebilik. Bilangan keseluruhan jemaah bagi Maktab 97 lebih kurang 3000 orang.

Saya dan isteri bersama beberapa sahabat yang lain kemudiannya mengambil keputusan untuk terus menjalankan ibadat tawaf dan saie pada tengah malam itu tanpa menunggu rombongan Tabung Haji memandangkan suasana yang semakin sesak di Masjidil Haram disebabkan sebahagian besar bakal-bakal haji telah berkumpul di Mekah sementara menantikan hari Wukuf. Lagipun, rindu kami untuk memandang Kaabah tak dapat ditahan sehingga keesokan pagi. Rasullullah (s.a.w) pernah bersabda “seratus dua puluh rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari dan malam, enam puluh untuk mereka yang melakukan tawaf, empat puluh bagi mereka yang mendirikan solat dan dua puluh untuk mereka yang hanya melihat Kaabah”.


Permandangan dari Bukit Safa

Alhamdulillah kami semua berjaya menjalankan ibadat masing-masing di tengah-tengah kesibukan umat Islam lain menunaikan ibadat mereka. Walaubagaimanapun kami masih lagi berada di dalam keadaan ihram dan terikat dengan pantang larang ihram sehingga selesai kerja-kerja haji. Hari-hari yang ada kami penuhi dengan bersolat, beriktikaf, bertilawah AlQuran, bermuhasabah, beristiqfar dan berzikir di Masjid Haram sambil berkenal-kenalan dengan beberapa jemaah haji yang kami temui.

Suasana sesak dan kekurangan di Kota Mekah kami terima dengan redha. Jadual harian bermula seawal 3.30 pagi iaitu kira-kira hampir 2 jam sebelum masuk waktu subuh bagi memastikan mendapat tempat di dalam masjid. Sekiranya terlewat maka di kaki limalah tempat kami ruku’ dan sujud ke hadrat Ilahi. Perbanyakkanlah doa dan istiqfar agar dipermudahkan segala amal ibadat disana kerana Allah ada berfirman “berdoalah kepadaKu maka Aku akan memperkenankannya”. Janganlah jemu membuat amalan-amalan sunat kerana pahalanya 100,000 kali ganda dari tempat biasa, moga-moga amalan tersebut dapat diteruskan setelah kita pulang ke tanah air masing-masing.

Walauapapun amalan kita di sana ia merupakan cermin kepada tingkah laku kita di sini. Ada yang asyik memuji-muji diri, ada yang hanya bersolat di bilik dan melupakan fadzilat bersolat jemaah di Masjid Haram, ada yang asyik berborak, merungut, mengumpat dan bermacam-macam lagi. Pokoknya, perbaikilah diri sebelum berangkat ke Tanah Suci. Perbanyakkanlah istiqfar, solat sunat taubat, hajat dan tahajjud kerana ianya adalah pengubat hati.

No comments: