Friday, October 17, 2008

MARUAH, KUASA DAN WANG

Maruah berkata, “akulah pembela agama, bangsa dan negara. Kerana akulah agama dijulang, bangsa bermaruah dan negara dihormati. Tanpa aku kamu semua tidak ada apa-apa nilai bagaikan sampah.” Kuasa kemudian menyampuk, “aku lebih penting dari kamu berdua, tanpa aku agama akan ditindas, bangsa dipandang hina dan negara akan kehilangan kedaulatannya. Ambil sahaja pengajaran tentang peristiwa di Palestin. Semuanya sebab mereka telah kehilangan aku.” Wang yang dari tadi hanya tersenyum terus mencelah, “lupakah kamu berdua kepada jasa-jasaku, tanpa aku siapakah kamu berdua, aku yang memartabatkan kamu, akulah yang telah meletakkan kamu di menara gading. Tanpaku kamu berdua hanya makhluk biasa tapi kamu telah menggadai dirimu padaku. Akulah tuhanmu, maka tundukkanlah kepalamu kepadaku”

Maruah adalah harga diri, maruah juga selalu dikaitkan dengan penghormatan. Bangsa yang bermaruah selalunya dikaitkan dengan satu bangsa mempunyai harga diri, dipandang tinggi dan dihormati. Islam sendiri telah mengangkat martabat manusia sebagai makhluk yang bermaruah. Sebelum kedatangan Islam masyarakat Arab Jahiliyah hidup dalam serba kegelapan. Mereka menyembah berhala yang telah diukir oleh mereka sendiri. Mereka menipu dalam urusan berjual beli. Mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri demi kuasa dan kedudukan. Anak-anak perempuan ditimbus hidup-hidup. Masalah sosial semakin menjadi-jadi tanpa mengira lapisan umur. Tidak dapat dinafikan lagi maruah amat penting dalam kehidupan manusia. Tidak hairanlah dalam budaya masyarakat Jepun mengambil nyawa sendiri dilakukan dengan penuh tradisi yang dikenali harakiri bertujuan untuk menebus maruah mereka tercalar.

Kuasa adalah pengaruh, kuasa juga dapat ditafsir sebagai kekuatan dalam mengawal sesuatu, kuasa juga selalu dikaitkan dengan pangkat dan kedudukan. Dengan kuasa seseorang dapat memerintah sesuatu kumpulan atau negara dan dengan kuasa juga sesuatu bangsa dapat merencana dan membina sesuatu tamadun. Tidak mustahil seseorang insan mempunyai kuasa tetapi rendah maruahnya. Kita sendiri dapat melihat negara-negara berkuasa besar tetapi tidak dihormati oleh masyarakat dunia. Mereka mengganggu kedaulatan negara-negara lain. Mereka menceroboh dan bertindak sebagai polis dunia bagi menunjukkan kuasa mereka kepada masyarakat seluruhnya. Mereka juga sentiasa menggunakan kuasa veto bagi menukar keputusan-keputusan yang dibuat oleh golongan majoriti. Tindakan mereka menyebabkan mereka dikecam dan dihina oleh masyarakat dunia dan pada masa yang sama negara mereka juga sentiasa dilanda berbagai bencana sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Wang adalah harta, wang adalah ekonomi dan wang juga boleh diterjemahkan sebagai senjata. Ada juga diterjemahkan sebagai segalanya. Jadi tak hairanlah kalau ada yang berkata “ada wang semua boleh jadi.” Tanpa wang bangsa akan ketinggalan dan negara akan mundur. Islam tidak pernah menafikan kepentingan wang dalam pembinaan sesuatu masyarakat dan negara. Rasullullah (s.a.w.) telah bersabda “kefakiran itu mendekatkan seseorang kepada kekufuran”. Islam telah memperkenalkan zakat bagi memberi manfaat kepada seluruh umat. Pada peringkat awal perkembangan Islam di Tanah Arab, Saidatina Khatijah (r.a) telah menginfakkan seluruh hartanya ke jalan Allah bagi membantu dakwah Rasullullah (s.a.w). Kemudian diikuti sahabat-sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar AsSidek (r.a) dan Abdul Rahman Bin Auf (r.a). Selepas Rasullullah (s.a.w) berhijrah ke Madinah baginda kemudiannya telah membina pasar bagi masyarakat Islam berjual beli bagi memperkembangkan ekonomi Islam walaupun telah wujud pasar-pasar lain yang dikuasai golongan Yahudi.

Maruah, kuasa dan wang biasa dikaitkan dengan pencalonan dan pemilihan kepimpinan pertubuhan-pertubuhan dan parti-parti politik. Berbagai isu akan diutarakan oleh calon-calon bagi menarik perhatian perwakilan sama ada berkaitan dengan isu politik, ekonomi dan sosial. Mereka juga akan memperkatakan tentang maruah rakyat yang patut dibela dan dimartabatkan. Calon-calon akan menunjukkan kewibawaan masing-masing dalam memimpin bagi mendapat kepercayaan perwakilan. Kita juga sedar bahawa calon-calon tersebut berada dalam satu perlumbaan menuju ke puncak menara kuasa. Kuasalah yang dapat memimpin dan dengan kuasa juga nasib sesuatu bangsa atau golongan dapat dibela. Malangnya, ada golongan yang terlalu gilakan kuasa sehingga akur kepada wang. Apa yang pasti mereka ini terdiri dari golongan yang tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak layak untuk memimpin sesuatu pertubuhan atau kumpulan. Bagi mereka matlamat adalah segalanya dan ia menghalalkan cara. Perwakilan yang sepatutnya membawa hasrat dan cita-cita akar umbi dibeli harga diri dengan rendah nilainya. Akhirnya pemimpin yang dipilih bukan dari kualiti yang sepatutnya. Mereka bukan sahaja tidak layak memimpin malahan menjadi liabiliti kepada pertubuhan dan seluruh ahlinya. Akhirnya pertubuhan tersebut akan menjadi lemah dan berkubur dengan sendirinya.

Kita semua hendaklah sedar bahawa maruah, kuasa dan wang adalah ramuan penting dalam pembinaan sesuatu bangsa. Maruah tanpa kuasa adalah sesuatu yang tidak sempurna. Kuasa tanpa wang adalah sia-sia. Hakikatnya kesemuanya merupakan ramuan bagi kejayaan sesuatu negara. Namun, meletakkan wang diatas segalanya adalah satu bencana kerana seolah-olah kita memahkotakan nafsu sebagai raja.

No comments: