Monday, January 19, 2009

MIMPI-MIMPI INDAH…



Sebagai manusia kita semua bermimpi malahan manusia tanpa mimpi bagaikan mayat hidup yang bergerak tanpa tujuan. Kita bermimpi untuk berjaya dalam hidup, kita bermimpi untuk hidup dalam keadaan mewah dan senang lenang dan berbagai mimpi-mimpi indah lain. Bak kata seorang kawan, “hidup kena banyak bermimpi.” Maklumlah, mimpi itu percuma dan tiada siapa yang boleh mempersoalkannya selagi ia tidak membebankan dan menyusahkan orang lain.

Namun mimpi akan kekal sekadar mimpi sekiranya kita tidak berusaha mengejarnya. Adakala kita rasa ianya terlalu tinggi untuk digapai, terasa berat untuk digalas atau terlalu jauh untuk dikejar. Kita juga selalu dibayangi dengan sikap-sikap seperti tidak yakin pada kemampuan diri, rendah diri, takut menghadapi kegagalan dan malas. Akhirnya kita hanya membiarkan mimpi-mimpi indah itu berlalu di depan mata tanpa mengambil peluang atau inisiatif untuk merealisasikannya.

Sekali-sekala kita perlu lihat orang-orang yang berjaya di sekeliling kita dan kita perlu membuka mata kita seluas-luasnya. Kita juga perlu sentiasa belajar dan mengambil ikhtibar di atas kejayaan mereka. Majoriti mereka adalah sama seperti kita malahan ada di antara mereka yang kurang upaya tetapi mampu mencapai kecemerlangan dalam hidup mereka.

Malangnya berbagai teori tentang kejayaan mereka yang negatif telah disogok kepada kita. Ada yang berkata mereka hanya bergantung kepada bantuan dan subsidi semata-mata. Ada yang berkata mereka mempunyai hubungan dengan orang-orang yang berkuasa dan ternama. Malahan ada yang tanpa segan silu menuduh mereka dengan kata-kata kesat dan nista kerana cemburukan kejayaan mereka. Sekali lagi kita berjaya memberi alasan untuk menipu diri dan kekal di takuk yang lama.

Kadang-kadang kita gagal melihat usaha keras yang mereka curahkan untuk mengejar mimpi-mimpi mereka. Kadang-kadang kita lupa merenung bagaimana mereka berkorban harta, masa dan tenaga untuk mencapai mimpi-mimpi mereka. Kadang-kadang kita membutakan mata dari melihat sifat jujur, amanah dan tanggung jawab mereka sehingga mereka sentiasa dihormati oleh masyarakat dan dicurahkan rahmat di atas usaha-usaha mereka. Kita perlu sentiasa belajar dan mencontohi jejak-jejak mereka agar kita juga berjaya mengejar mimpi-mimpi kita. Apa yang penting kita semua perlu terus bermimpi, berkerja, berusaha, berdoa dan bertawakal bagi mencapainya. Pujangga Arab ada berkata “barang siapa yang berusaha pasti akan berjaya”. Wallahuaklam…..

Thursday, January 8, 2009

LEBAI MALANG MODEN


Hujung bulan lepas saya bersama keluarga mendapat dua jemputan walimatulurus. Jemputan pertama di rumah Cikgu Mat yang meraikan puteri sulung beliau melangkah ke jinjang pelamin di kawasan perumahan saya dan jemputan kedua meraikan Kak Pah kawan baik saya dan isteri menjadi raja sehari di Batu Gajah. Pada mulanya kami berhasrat untuk pergi ke majlis Kak Pah dahulu kemudian ke rumah Cikgu Mat yang berdekatan dengan rumah kami. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk pergi kenduri yang dekat kemudian barulah ke kenduri yang jauh. Takut-takut jadi seperti Lebai Malang, gurauan saya dengan keluarga. Kita tidak boleh menjangka kalau-kalau ada masalah di pertengahan jalan yang akan mengakibatkan kami terlepas di kedua-dua majlis tersebut.

Dalam hidup kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Keadaan hidup pada masa kini telah menjadi semakin komplek dan terdapat berbagai dugaan jika dibandingkan dengan Lebai Malang dahulu. Jangan sampai kita pula digelar sebagai Lebai Malang Moden. Kita bukan sahaja perlu memilih pasangan, kerja dan kawan-kawan malahan dalam hidup kita tidak boleh lari dari membuat pilihan. Bezanya ada yang memberikan kita kesan yang sedikit dan ada yang memberi impak yang besar sehingga ke anak cucu kita. Kita perlu sentiasa berfikiran rasional dan terbuka dalam membuat sebarang pilihan bagi menjamin kita tidak tertipu dan dipermain-mainkan oleh golongan yang berkepentingan. Kita juga perlu belajar menghormati dan menerima pilihan orang lain jika pilihan yang dibuat oleh mereka berlainan dengan pilihan kita. Kerana kita semua manusia dan pastinya kita mempunyai perbezaan pendapat dalam menilai sesuatu benda. Cuma jangan sampai kita diperlekehkan dengan kata-kata “menang sorak kampong tergadai”.

Walau apapun kita hanya manusia biasa, mampu merancang dalam membuat apa-apa tindakan namun Allah sahaja yang berkuasa penuh dalam menentukannya. Apa yang kita mampu hanyalah berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar Allah (s.w.t) sentiasa merahmati dan melindungi kita.

Saturday, January 3, 2009

KALA MALAM BULAN MENGAMBANG


Satu hari saya bertanya kepada puteri sulung saya Nurul Syifa’ apa yang terlintas di hatinya berkaitan waktu malam. Seperti yang diduga jawapannya ringkas sahaja. “Hantu”, katanya. Begitulah persepsi kanak-kanak bila disebut sahaja apa yang berkaitan dengan waktu tersebut malahan golongan dewasa juga turut terikut-ikut dengan pandangan kanak-kanak hasil daripada cerita-cerita seram yang telah disemai oleh media-media elektronik ketika ini. Tidak ramai di antara kita yang terfikir untuk bangun malam bagi mendirikan solat atau qiammullail apabila teringat sesuatu yang berkait rapat dengan malam. Malahan ramai umat Islam sudah lama mengabaikan dan melupakan aktiviti-aktiviti sebegini.

Sebenarnya begitulah nilai yang semakin menebal di kalangan masyarakat Islam ketika ini. Kita lebih dekat dengan perkara-perkara karut dan kurafat daripada mengenali dan mendekati Allah. Kita lupa bahawa malam telah dikurniakan oleh Allah (s.w.t) untuk kita berehat dan mendekatiNya tetapi berapa ramai dari kita yang telah memanfaatkan sepenuhnya anugerah nikmat malam ini. Ada yang masih sibuk bekerja dan ada yang sibuk berhibur sampai ke pagi sehingga lupa kepada anak dan isteri serta berbagai-bagai aktiviti lain yang tidak menguntungkan diri.

Para Ilmuan Islam suatu ketika dahulu telah membahagikan malam kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk merehatkan diri, sepertiga lagi untuk menambah ilmu di dada manakala sepertiga yang akhir untuk beribadat sehingga ke pagi. Umat Islam digalakkan untuk bangun malam bagi mengerjakan ibadat solat taubat, solat hajat dan solat tahajud di tengah-tengah kesunyian malam dan ketika orang ramai sedang nyenyak tidur diulit mimpi. Kita terasa berat dan rugi untuk mengorbankan sedikit masa tidur kita untuk mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta. Kita lebih rela bangun di tengah malam dan menghabiskan masa yang panjang di hadapan kaca televisyen bagi melihat siaran langsung kegemaran kita sehingga tertinggal solat subuh daripada mengambil masa yang singkat bagi menunaikan solat sunat dua rakaat bagi menunjukkan kesyukuran kita di atas nikmatNya.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Salehuddin AlAyubi berjalan pada waktu tengah malam bagi mencari dan mengenalpasti tentera-tentera Muslim yang bangun malam bagi mengabdikan dan mendekatkan diri dengan Allah ketika mereka berada di khemah-khemah tentera untuk diletakkan di barisan hadapan dalam Peperangan Salib dan meninggalkan tentera-tentera yang asyik tidur sepanjang malam dalam peperangan tersebut. Akhirnya tentera Muslim telah berjaya memenangi peperangan tersebut. Lihatlah betapa besarnya anugerah yang Allah beri kepada mereka yang sentiasa ingat dan mendekatiNya. Kadang-kadang kita sendiri lupa atau jahil bahawa terdapat banyak rahsia dan kelebihan bagi mereka yang mengorbankan seketika malam mereka untuk beribadat kepada Maha Pencipta. Kita akan menjadi semakin kuat dan berjaya sekiranya kita sentiasa mendekati Allah (s.w.t) melalui ibadat ini dan bukannya semakin lemah dan tidak produktif.

Allah (s.w.t) telah berfirman dalam Surah AsSajadah; “Mereka merenggangkan diri mereka dari tempat tidur,(sedikit tidur kerana mengerjakan solat tahjud dan lain-lain amalan soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.(16) Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan amal-amal soleh yang telah mereka kerjakan.(17)

Betapa beruntungnya bagi mereka yang mempunyai kekuatan untuk bangun di tengah malam, mengambil wudhu seterusnya menunaikan solat taubat, hajat dan tahajud di tengah-tengah malam. Marilah kita bersama-sama berazam dan membina kekuatan bagi mengimarahkan malam kita dengan ibadat ini walaupun hanya sebulan sekali. Insya Allah.

Friday, January 2, 2009

ISRAEL OH ISRAEL



Israel menganas lagi, Gaza bertukar menjadi medan perang sekali gus padang jarak padang tekukur dalam sekelip mata. Peluru-peluru berpandu menghujani Gaza lebih lebat dari hujan yang jarang-jarang turun di situ. Anak-anak kecil menjadi yatim piatu dan hilang anggota badan hanyalah cerita biasa yang kita dengar di dada-dada akhbar, media elektronik dan kedai-kedai kopi. Umat Islam serata dunia bangun mengecam tindakan Israel yang kejam dan tidak berhati perut bagi menghapuskan Palestin dari muka bumi. Berbagai demonstrasi jalanan telah dianjurkan oleh berbagai pihak di seluruh dunia dan adakalanya telah menyebabkan berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda. Namun Israel dan sekutu-sekutunya terus bangga membedil Gaza bagaikan pertunjukan mercun dan bunga api sempena menyambut tahun baru.

Namun sejauh manakah kita menginsafi keadaan yang dihadapi penduduk Palestin. Adakah peristiwa di sana tidak sedikit pun meninggalkan pengajaran kepada kita semua. Lazimnya majoriti masyarakat dunia akan lupa terhadap apa yang berlaku di sana apabila Israel berhenti rehat seketika membedil bumi Palestin. Umat Islam lebih dikenali dengan umat yang jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan tunggang langgang dari segi politik. Ada yang sanggup bermati-matian sesama sendiri hanya untuk berkuasa dan ada yang sanggup bermuka-muka bagi mencapai apa yang diidami. Tak perlu diperjelaskan lagi bagaimana rendahnya maruah dan harga diri.

Bagaimana kita ingin membantu saudara seagama kita jika kita sendiri gagal membantu diri sendiri. Kita hanya mampu melihat penderitaan mereka tetapi gagal untuk menghulurkan tangan bagi membantu saudara-saudara kita. Orang tua berkata kita sering nampak kuman di seberang tetapi tidak nampak gajah di depan mata. Tidakkah kita malu kepada diri kita sendiri. Umat Islam perlu bersama-sama menilai diri masing-masing. Kita perlu tahu apa yang menjadi matlamat hidup dan apa yang baik untuk ummah seluruhnya. Namun kita perlu ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Ar Rad yang berbunyi, “bagi tiap-tiap seorang ada malaikat yang penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah, sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada suatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada siapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya”(11). Tak terfikirkan kita bahawa apa yang berlaku di Palastin adalah sebahagian amaran Allah (s.w.t) kepada kita semua. Sekiranya kita masih lagi alpa dan tidak menyelesaikan perbezaan antara kita, kita hanya mampu menjadi penonton bagi pertunjukan mercun dan bunga api yang sama di Palestine dan tempat-tempat lain atau tidak mustahil di halaman kita sendiri….