Saturday, January 3, 2009

KALA MALAM BULAN MENGAMBANG


Satu hari saya bertanya kepada puteri sulung saya Nurul Syifa’ apa yang terlintas di hatinya berkaitan waktu malam. Seperti yang diduga jawapannya ringkas sahaja. “Hantu”, katanya. Begitulah persepsi kanak-kanak bila disebut sahaja apa yang berkaitan dengan waktu tersebut malahan golongan dewasa juga turut terikut-ikut dengan pandangan kanak-kanak hasil daripada cerita-cerita seram yang telah disemai oleh media-media elektronik ketika ini. Tidak ramai di antara kita yang terfikir untuk bangun malam bagi mendirikan solat atau qiammullail apabila teringat sesuatu yang berkait rapat dengan malam. Malahan ramai umat Islam sudah lama mengabaikan dan melupakan aktiviti-aktiviti sebegini.

Sebenarnya begitulah nilai yang semakin menebal di kalangan masyarakat Islam ketika ini. Kita lebih dekat dengan perkara-perkara karut dan kurafat daripada mengenali dan mendekati Allah. Kita lupa bahawa malam telah dikurniakan oleh Allah (s.w.t) untuk kita berehat dan mendekatiNya tetapi berapa ramai dari kita yang telah memanfaatkan sepenuhnya anugerah nikmat malam ini. Ada yang masih sibuk bekerja dan ada yang sibuk berhibur sampai ke pagi sehingga lupa kepada anak dan isteri serta berbagai-bagai aktiviti lain yang tidak menguntungkan diri.

Para Ilmuan Islam suatu ketika dahulu telah membahagikan malam kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk merehatkan diri, sepertiga lagi untuk menambah ilmu di dada manakala sepertiga yang akhir untuk beribadat sehingga ke pagi. Umat Islam digalakkan untuk bangun malam bagi mengerjakan ibadat solat taubat, solat hajat dan solat tahajud di tengah-tengah kesunyian malam dan ketika orang ramai sedang nyenyak tidur diulit mimpi. Kita terasa berat dan rugi untuk mengorbankan sedikit masa tidur kita untuk mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta. Kita lebih rela bangun di tengah malam dan menghabiskan masa yang panjang di hadapan kaca televisyen bagi melihat siaran langsung kegemaran kita sehingga tertinggal solat subuh daripada mengambil masa yang singkat bagi menunaikan solat sunat dua rakaat bagi menunjukkan kesyukuran kita di atas nikmatNya.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Salehuddin AlAyubi berjalan pada waktu tengah malam bagi mencari dan mengenalpasti tentera-tentera Muslim yang bangun malam bagi mengabdikan dan mendekatkan diri dengan Allah ketika mereka berada di khemah-khemah tentera untuk diletakkan di barisan hadapan dalam Peperangan Salib dan meninggalkan tentera-tentera yang asyik tidur sepanjang malam dalam peperangan tersebut. Akhirnya tentera Muslim telah berjaya memenangi peperangan tersebut. Lihatlah betapa besarnya anugerah yang Allah beri kepada mereka yang sentiasa ingat dan mendekatiNya. Kadang-kadang kita sendiri lupa atau jahil bahawa terdapat banyak rahsia dan kelebihan bagi mereka yang mengorbankan seketika malam mereka untuk beribadat kepada Maha Pencipta. Kita akan menjadi semakin kuat dan berjaya sekiranya kita sentiasa mendekati Allah (s.w.t) melalui ibadat ini dan bukannya semakin lemah dan tidak produktif.

Allah (s.w.t) telah berfirman dalam Surah AsSajadah; “Mereka merenggangkan diri mereka dari tempat tidur,(sedikit tidur kerana mengerjakan solat tahjud dan lain-lain amalan soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.(16) Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan amal-amal soleh yang telah mereka kerjakan.(17)

Betapa beruntungnya bagi mereka yang mempunyai kekuatan untuk bangun di tengah malam, mengambil wudhu seterusnya menunaikan solat taubat, hajat dan tahajud di tengah-tengah malam. Marilah kita bersama-sama berazam dan membina kekuatan bagi mengimarahkan malam kita dengan ibadat ini walaupun hanya sebulan sekali. Insya Allah.

No comments: