Wednesday, December 3, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 5


Perjalanan meninggalkan bumi Mina ke Kota Mekah bergerak agak lancar walaupun sekali sekala terhenti-henti akibat kesesakan jalan yang dipenuhi bas yang membawa para jemaah dari negara lain. Kami diturunkan berhampiran kawasan Masjid Haram pada waktu Asar kerana jalan menuju ke Maktab kami telah ditutup bagi memudahkan para pejalan kaki pulang dari masjid. Kami bergerak secara berkumpulan dengan menarik beg sandang masing-masing menuju ke Maktab kediaman kami. Keadaan di Maktab agak lenggang kerana majoriti jemaah Malaysia melakukan Nafar Thani dan hanya akan meninggalkan bumi Mina keesokkan harinya. Pihak Tabung Haji juga lebih menggalakkan jemaah Malaysia melakukan Nafar Thani jika dibandingkan dengan Nafar Awal.

Malam itu selepas menunaikan solat maghrib di Masjidil Haram, saya dan isteri ke Baitullah untuk menyempurnakan Tawaf Rukun. Memandangkan masa itu masih dikira kemuncak musim haji dataran di sekitar Baitullah dipenuhi dengan umat Muhammad. Kami bergerak mengikut pergerakan manusia lain, tidak perlu tergesa untuk menyudahkan ibadah mengelilingi Rumah Allah itu. Selesai tujuh pusingan maka sempurnalah segala rukun dan wajib haji serta bebaslah kami dari segala pantang larang ihram. Selesai mengerjakan solat isya kami pun pulang ke Maktab dengan dada yang lapang kerana kami telah berjaya menunaikan Rukun Islam Kelima.

Penghujung hari 13 Zulhijjah semua jemaah sudah kembali ke Kota Mekah. Jemaah-jemaah yang tiba dengan penerbangan awal mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing. Bas-bas yang membawa para jemaah ke Lapangan Terbang Jeddah sarat dengan muatan beg yang pasti bertambah dari hari pertama tiba. Kebiasaannya beg-beg jemaah bertambah dengan cenderahati untuk sanak saudara dan kawan-kawan yang sedang menanti. Di sebalik kegembiraan yang terpancar di wajah mereka kerana bakal bertemu keluarga yang agak lama berjauhan timbul juga kesedihan kerana bakal meninggalkan Baitullah. Di hati tertanya adakan akan dijemput lagi ke Kota Suci ini. Hanya doa, harapan dan kenangan yang mengiringi kepulangan setiap jemaah haji. Kami mengambil peluang jemaah yang semakin surut meninggalkan Kota Mekah untuk melakukan ibadat tawaf sunat dan umrah, Tidak lupa juga berziarah di kawasan-kawasan bersejarah di sekitar Kota Mekah.

Satu kenangan manis ketika di bumi Mekah yang tidak mungkin saya lupa ialah pada tanggal 11 Januari 2007 iaitu hari Jumaat, sehari sebelum kami bertolak ke Madinah. Ketika itu saya terjaga dari tidur kira-kira jam 3 pagi akibat terdengar angin berhembus kuat di luar Maktab. Saya terus menghubungi isteri supaya beliau dapat bersiap secepat mungkin untuk ke masjid kerana saya khuatir hujan akan turun. Kira-kira jam 3.30 pagi ketika kami turun ke lobi Maktab, hujan telah turun dengan lebat dan air telah memenuhi jalan-jalan sehingga ke paras betis. Kebetulan kedudukan Maktab kami terletak di kawasan yang rendah dan apabila hujan lebat air-air deras mengalir melalui jalan di hadapan Maktab kami. Kami kemudiannya kembali ke bilik masing-masing menantikan hujan berhenti. Hanya kira-kira jam 5 pagi iaitu 15 minit sebelum masuk waktu solat subuh hujan akhirnya reda. Di sebabkan hujan masih renyai-renyai dan jalan masih basah kami terus menaiki kereta sewa yang sedang menunggu di hadapan Maktab bagi membawa jemaah haji ke Masjidil Haram.

Suasana di masjid pada pagi itu tidak sesibuk hari-hari biasa, mungkin disebabkan sebahagian besar jemaah sudah pulang ke tanah air masing-masing dan sebahagian lagi telah bertolak ke Madinah. Apabila muazzin beriqamah kami terus bergerak ke kawasan lapang berhampiran dengan Kaabah bagi mendirikan solat subuh berjemaah. Terdapat banyak ruang-ruang kosong berhampiran dengan Kaabah walaupun pada hari biasa ia begitu sesak dipenuhi jemaah. Ramai yang teragak-agak untuk turun ke kawasan ini kerana lantainya masih basah akibat hujan lebat. Kami amat bersyukur kerana telah diberi peluang oleh Allah (s.w.t) untuk bersolat berhampiran dengan rumahNya pada pagi jumaat yang penuh keberkatan. Selesai bersolat kami terus melakukan tawaf sunat sebelum jemaah-jemaah lain memenuhi kawasan berhampiran dengan Kaabah. Kami mengambil masa kira-kira 25 minit untuk menghabiskan tawaf berkenaan sebelum kami mendirikan solat sunat tawaf. Rasullullah (s.a.w) menggalakkan umatnya mendirikan solat sunat tawaf setiap kali mereka menyempurnakan tawaf bagi menunjukkan bahawa umat Islam tidak menyembah Kaabah ketika melakukan tawaf tetapi mereka hanya menyembah Allah berbeza dengan kaum jahiliyah yang menyembah berhala di sekeliling Kaabah.

Pada sebelah petangnya saya, isteri dan kawan-kawan sibuk mengemaskan barang-barang ke dalam beg masing-masing untuk berangkat ke Madinah selepas berada kira-kira 30 hari di Mekah. Kami seterusnya telah diarahkan oleh pihak Tabung Haji untuk mengerjakan tawaf wada’ ataupun tawaf selamat tinggal pada pagi sabtu kira-kira jam 3.30 pagi. Hukum mengerjakan tawaf wada’ adalah wajib bagi tiap-tiap orang yang hendak meninggalkan Kota Mekah lebih daripada 2 marhalah ataupun 3 hari. Barang siapa yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran maka dia wajib membayar dam. Saya teringat kisah jemaah-jemaah ketika saya di Mekah. Ada di antara mereka yang mengikuti program ziarah ke Jeddah yang dianjurkan oleh pihak Muasasah dan tidak melakukan tawaf wada’. Mereka kemudiannya telah dinasihatkan oleh pihak Tabung Haji supaya membayar dam di atas kesalahan tersebut.

Keesokannya lebih kurang jam 3 pagi kami semua bergerak secara berkumpulan bagi menatap Baitullah AlHaram buat kali terakhir dalam perjalanan haji ini dan melakukan tawaf wada. Suasana sedih, sayu dan sebak memenuhi diri. Terasa berat untuk berpisah dengan Rumah Allah yang mempunyai segala kebesaran dan keberkatan. “Ya Allah terimalah ibadatku, taubatku amalanku dan doaku, peliharalah diriku, ibubapaku, isteriku, anak-anakku, kaum keluargaku, sahabat-sahabatku, muslimin dan muslimat, ya Allah janganlah Engkau jadikan pertemuan ini sebagai pertemuan terakhir hambaMu denganMu, jemputlah aku ke negeriMu berkali-kali kerana Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” begitulah lebih kurang doa saya selepas mengerjakan Tawaf Wada’. Tanpa saya sedari air mata terus berlinang membasahi pipi. “Ya Allah betapa beratnya kaki hambaMu ini untuk meninggalkan negeriMu,” bisik hati kecil saya.

No comments: