Wednesday, December 3, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 4



Sebaik sahaja cahaya matahari mula menyimbah bumi Muzdhalifah, saya, isteri dan beberapa sahabat mula bergerak menuju ke Mina dengan berjalan kaki. Walaubagaimanapun majoriti jemaah Malaysia masih lagi terkandas di sini tanpa makanan dan minuman. Mungkin hanya sebilangan kecil sahaja yang bersedia dengan bekalan secukupnya kerana apa yang berlaku pada hari ini adalah di luar jangkaan. Sebelumnya, kami hanya diingatkan oleh pengurusan Tabung Haji untuk bersedia dengan kain ihram tambahan bagi menahan cuaca sejuk yang dijangka melanda Muzdhalifah seperti tahun sebelumnya. Masalah pengangkutan tidak sepatutnya menjadi isu kerana Kerajaan Arab Saudi telah menyediakan lorong-lorong bas khas bagi membawa jemaah-jemaah mengikut negara masing-masing. Tapi perancangan Allah mengatasi perancangan manusia kerana Allah bebas menduga umatnya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya.

Ketika meninggalkan bumi Muzdhalifah jalan-jalannya agak lenggang, cuma sekali sekala kami bertembung dengan bas-bas yang membawa jemaah-jemaah haji. Berpandukan kepada petua-petua yang diberi oleh kawan-kawan beserta doa dan tawakal, kami mengatur langkah dengan penuh harapan. Akhirnya selepas lebih kurang satu jam perjalanan kami tiba di bumi Mina. Mina dipenuhi dengan khemah-khemah yang terbentang luas. Kami cuba mendapatkan bantuan dari petugas-petugas keselamatan Arab Saudi tentang arah untuk menuju ke khemah kami yang dikenali sebagai Mina Muassim. Kami dimaklumkan sebelumnya bahawa khemah penginapan kami berada berhampiran dengan terowong Muassim iaitu berhampiran dengan kawasan Jamrah atau tempat melontar. Malangnya kesemua petugas tidak dapat memberikan maklumat yang tepat kepada kami kerana kebanyakan mereka berasal dari luar Mekah dan hanya berkhidmat bagi musim haji sahaja.

Setelah puas mencari tempat penginapan, kami kemudian cuba mendapatkan khidmat van sewa. Malangnya pemandu van juga tidak tahu tempat yang perlu kami tuju. Setelah berjaya menghubungi pihak Tabung Haji, Tabung Haji telah memberikan panduan kepada pemandu van arah ke khemah kami. Keadaan trafik yang semakin sesak telah menyebabkan perjalanan kami terhenti-henti. Akhirnya pada kira-kira jam 1 tengah hari kami telah diturunkan berhampiran tempat kami menaiki van tersebut. Demikianlah dugaan Allah yang kami telah tempuhi. Pemandu teksi seterusnya menurunkan kami di tepi jalan kerana beliau tidak dapat meneruskan perjalanan ke laluan yang seterusnya. Kami terpaksa mengambil van lain untuk meneruskan perjalanan. Dalam keadaan panas terik dan penat ditambah dengan perut yang kosong dari pagi kami terus bergerak mencari van lain yang dapat menghantar kami ke tempat penginapan yang sepatutnya. Kami seterusnya dihantar ke khemah Tabung Haji Travel yang berdekatan dengan Jamrah. Sampai sahaja kami ke khemah tersebut, petugas Tabung Haji di situ dengan rela hati mengiringi kami ke khemah Mina Muaasim. Moga-moga Allah (s.w.t) memberikan kepada beliau ganjaran yang tinggi dan mempermudahkan kerja haji beliau di atas segala pertolongan yang telah diberikan. Perjalanan dari Jamrah ke Mina Muaasim adalah lebih kurang 1.5 kilometer. Sampai sahaja ke Mina Muaasim kami amat bersyukur kerana telah berjaya menjejakkan kaki di sini walaupun berbagai dugaan telah kami tempuhi. Kami juga dimaklumkan oleh kawan-kawan masih ada lagi jemaah yang tersadai di bumi Muzdhalifah menunggu bas untuk ke sini. Wallahuaklam.

Khemah Mina Muassim lebih teratur dari khemah-khemah di Arafah. Khemah-khemah dipasang secara tetap dan diperbuat dari bahan yang kalis kebakaran. Ia juga dilengkapi dengan sistem penghawa dingin berpusat. Walau bagaimanapun kami terpaksa tidur dalam keadaan berhimpit-himpit kerana jumlah jemaah agak ramai ditempatkan dalam satu-satu khemah. Kami juga bersyukur kerana khemah yang kami duduki berhampiran dengan tempat melontar. Kami dimaklumkan ada jemaah haji Malaysia yang ditempatkan di Wadi Muhassar yang jauhnya lebih kurang 7 kilometer dari tempat melontar. Apa-apa pun ia bergantung kepada rezeki masing-masing ketika di Tanah Suci.

Malam itu selepas menunaikan solat maghrib dan isya secara jama taqdim dan tamam kami pun bergerak beramai-ramai menuju ke Jamrah Kubra yang dahulunya dikenali sebagai Jamrah Aqabah bagi melakukan ibadat melontar. Keadaan pada malam itu agak lenggang disebabkan kebanyakan jemaah di seluruh dunia telah melontar pada siangnya. Apabila kami tiba di Jamrah Aqabah, kami pun mulalah melontar dengan lafaz “Bismillahi rajmi syaitan wa hizbihi” yang bermaksud dengan nama Allah aku melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya”. Ibadat melontar merupakan satu simbolik dan ingatan sejarah bagaimana syaitan cuba menghalang Nabi Ibrahim (a.s) dari menunaikan perintah Allah bagi mengorbankan Nabi Ismail (a.s). Ibadat ini juga merupakan simbolik bagi para jemaah melontar segala sifat-sifat mazmumah atau buruk yang telah lama bersarang dalam jasad para jemaah haji.

Selepas sahaja melontar kami pun pulang ke khemah masing-masing bagi melakukan ibadat tahalul awal. Tahalul awal bererti membebaskan diri dari sebahagian pantang larang haji. Selepas bertahalul awal iaitu dengan bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau bercukur kami telah terlepas dari kebanyakan pantang larang ihram dan kami boleh membuka pakaian ihram yang telah dipakai selama lebih kurang sepuluh hari. Sahabat sekhemah juga telah menghulur tangan bagi mencukur kepala kerana ia adalah yang sebaiknya.

Keadaan khemah di Mina yang agak sesak dan ketibaan kami yang agak lewat di sini menyebabkan kami terpaksa berhimpit-himpit bagi mendapatkan ruang untuk tidur. Akibat terlalu penat saya terus lena walaupun terpaksa tidur dalam serba tidak selesa.

Keesokan harinya selepas minum pagi, saya dan isteri bergerak menuju ke Jamrah Sughra, Wusto dan Kubra bagi melontar pada pagi 11 ZulHijjah 1428. Jumlah jemaah-jemaah yang pergi melontar ketika itu tidak terlalu ramai. Khabarnya Kerajaan Arab Saudi bercadang membina komplek jamrah setinggi tiga tingkat bagi memudahkan jemaah haji. Walaubagaimanapun pada tahun tersebut hanya tingkat bawah dan tingkat satu telah siap dibina bagi kemudahan jemaah haji. Kawasan melontar juga telah dilebarkan bagi memenuhi keperluan jemaah haji yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Terasa bangga juga bila dimaklumkan bahawa kerja pembinaan komplek jamrah tersebut dilakukan oleh syarikat dari negara kita.


Melontar di ketiga-tiga jamrah merupakan wajib haji. Ia perlu dilakukan pada hari 11, 12 dan 13 dan barang siapa yang berniat untuk melakukan Nafar Awal beliau hanya perlu melakukan pada hari ke 11 dan 12 sahaja. Barang siapa yang meninggalkan ibadat melontar ini maka wajiblah ia membayar dam. Teringat saya kepada peristiwa yang berlaku ketika Allah mengarahkan Nabinya Ibrahim (a.s) supaya mengorbankan putera tunggalnya Nabi Ismail (a.s). Ketika membawa putera beliau untuk dikorbankan, syaitan telah menyerupai manusia dan cuba memperdayakan Ibrahim (a.s) supaya engkar dengan perintah Allah maka Nabi Ibrahim (a.s) pun mengambil batu-batu dan melontar syaitan. Selepas gagal memperdayakan Ibrahim (a.s) syaitan kemudiannya cuba memperdayakan Siti Hajar (a.s) ibu kepada Ismail (a.s) supaya menahan suaminya Ibrahim (a.s) dari melaksanakan perintah Allah. Walaupun mempunyai sifat keibuan yang tinggi, Siti Hajar (a.s) tetap akur dengan perintah Allah dan melontar kearah syaitan maka gagallah syaitan untuk memperdayakan Siti Hajar (a.s). Setelah gagal pada kedua-dua percubaan syaitan laknatullah akhir sekali cuba memperdayakan Nabi Ismail (a.s) sendiri untuk menentang ayahnya bagi melaksanakan perintah Allah. Iman Nabi Ismail (a.s) yang kental telah mengatasi segala-galanya dan beliau pun melontar ke arah syaitan maka gagallah syaitan dalam percubaan-percubaan menghasut Nabi Ibrahim (a.s), Siti Hajar (a.s) dan Nabi Ismail (a.s) dalam mengingkari perintah Allah.

Di atas kejayaan Nabi Ibrahim (a.s.) dan keluarganya menghadapi ujian tersebut, Allah (s.w.t) seterusnya berfirman dalam Surah AlShafaat ayat 105-108 yang bermaksud “Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang membuat baik (105) Sesungguhnya itu benar-benar satu ujian yang nyata (106) Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (107) Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) dikalangan orang-orang yang datang kemudian (108). Maka sembelihan tersebut telah ditukarkan dengan sembelihan seekor kibas dan upacara korban tersebut dijalankan di Mina sehinggakan ia telah dijadikan sebahagian manasik haji hingga ke hari ini.

Saya kadang kala terfikir mampukah saya mencontohi Nabi Ibrahim yang berjaya menanam dan membina asas iman yang kuat bagi dirinya dan keluarganya. Walaupun sebelumnya telah diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anak yang tercinta di kawasan kering kontang bagi menyeru umatnya supaya kembali ke jalan Allah baginda pasrah dengan perintah Allah (s.w.t), begitu juga Siti Hajar (a.s) ketika dimaklumkan oleh Ibrahim (a.s) bahawa baginda diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan Siti Hajar (a.s) dan anakandanya Ismail (a.s) di kawasan yang kering kontang dan tiada penghuni supaya kembali ke Baitul Muqaddis untuk memimpin umatnya, beliau telah redha dengan perintahNya dan bertawakal kepada Allah (s.w.t). Akhirnya muncullah perigi zam-zam yang menjadi tempat orang ramai menghilangkan dahaga dari seluruh dunia sehingga kini dan kawasan yang dahulunya kering kontang dan tiada penghuni telah menjadi tarikan umat Islam seluruh dunia bagi mengerjakan ibadat haji dan umrah di Kota Suci Mekah sehingga akhir zaman.

Begitulah besarnya kisah-kisah pengorbanan yang berlaku dalam sejarah awal ibadat haji. Kisah pengorbanan hamba kepada Penciptanya. Kisah pengorbanan seorang suami, isteri dan puteranya. Kisah-kisah inilah yang perlu kita semua hayati dan ambil ikhtibar walau di mana kita berada terutama ketika menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Saya dan isteri juga amat bersyukur ke hadrat Allah kerana diberikan rezeki dan peluang untuk melakukan ibadat korban ketika berada di Tanah Suci. Ia bukanlah sesuatu amalan yang wajib dilakukan oleh jemaah haji tetapi ia merupakan sesuatu yang disunatkan kerana Rasullulah (s.a.w) sendiri melakukan ibadat tersebut setelah baginda mengerjakan ibadat haji.

Malaikat Jibrail kemudiannya telah mengajarkan Nabi Ibrahim (a.s) berkenaan perbuatan-perbuatan dan amalan-amalan ketika menunaikan haji. Ibadat yang penuh dengan pengorbanan, keinsafan dan kesyukuran kehadrat Ilahi.

Pada keesokkan harinya saya, isteri dan rakan-rakan telah mengambil keputusan untuk membuat nafar awal setelah mengambil kira faktor kesihatan dan faktor lain yang tidak dapat dielakkan. Selepas melakukan ibadat melontar di ketiga-tiga jamrah pada 12 ZulHijjah, kami akhirnya meninggalkan bumi Mina ke Maktab penginapan kami di Mekah untuk melakukan ibadat tawaf di Baitullah AlHaram.

No comments: