Thursday, December 4, 2008

HAJI MENUJU ALLAH 6



Bas-bas bergerak secara berkumpulan membawa rombongan haji kami meninggalkan bumi Mekah AlMukaramah menuju ke Kota Madinah AlMunawarah. Pergerakan kami ke Madinah agak terlewat di atas sebab-sebab teknikal di pihak Muasasah Haji Asia Tenggara. Madinah adalah kota suci Islam kedua selepas Mekah. Di sinilah tertegaknya Negara Islam pertama selepas Rasullullah (s.a.w) telah diperintahkan Allah (s.w.t) berhijrah ke sana apabila penduduk Mekah semakin berani menentang dan mendera Rasullulah (s.a.w) dan umat Islam di Mekah. Rasullulah sendiri pada ketika itu berada di dalam keadaan sedih kerana kematian isteri yang tercinta, Ummul Mukminin Saydatina Khatijah binti Khuwailid (r.a) dan bapa saudaranya Abu Talib bin Abdul Mutalib.

Bas kami kemudiannya melalui jalan berhampiran Masjidil Haram sebelum meninggalkan Kota Mekah. Pandangan kami tidak jemu-jemu memerhati ke arah Masjidil Haram seolah-olah terasa sedih dan berat untuk meninggalkan bumi Anbia ini. Terlintas di hati saya bagaimana perasaan berat dan pilunya Rasullulah (s.a.w) untuk meninggalkan tanah kelahiran baginda yang tersimpan berbagai kenangan dan berpisah sementara dengan Rumah Allah bagi menuju ke Madinah untuk mengembangkan ajaran Islam di sana.

Jarak dari Mekah ke Madinah adalah lebih kurang 338 km. Perjalanan kami ketika itu amat lancar dan cuaca tidak terlalu panas kerana Tanah Arab sedang mengalami musim sejuk. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk kami tiba di sana. Saya mengambil peluang dalam perjalanan ini untuk merehat badan sambil menikmati permandangan di sepanjang perjalanan. Kawasan di kiri kanan lebuh raya ini di penuhi dengan padang-padang pasir yang terbentuk dari batu-batu kelikir dan kawasan-kawasan yang berbukit bukau. Terbayang saya perjalanan Rasullulah (s.a.w) ketika bergerak menuju ke Madinah yang bukan sahaja sukar dan mencabar akibat keadaan geografi di sana malahan amat bahaya akibat dikejar oleh pemuda-pemuda kafir musyrik yang ingin membunuh baginda dan Saidina Abu Bakar (r.a) bagi memastikan Islam terkubur di muka bumi.

Ketika itu saya terkenang satu kisah Rasullulah (s.a.w) dan Saidina Abu Bakar (r.a) semasa berhijrah ke Madinah. Selepas berjaya melepasi halangan pertama mereka iaitu melarikan diri dari rumah baginda Rasullulah (s.a.w), baginda dan Abu Bakar (r.a) telah menyorokkan diri dalam Gua Tsur dari pemuda-pemuda kafir musyrik yang mengejar mereka. Gua Tsur terletak di puncak Bukit Tsur iaitu 4km di selatan Masjidil Haram dan tingginya adalah lebih kurang 458m.

Rasullulah (s.a.w) dan Abu Bakar (r.a) telah bersembunyi selama 3 hari di gua tersebut sehingga pemuda-pemuda kafir musyrik telah berputus asa mencari dan menjejaki mereka. Allah (s.w.t) telah memerintahkan labah-labah dan burung-burung merpati membuat sarang di pintu gua tersebut sebaik saja Rasullulah (s.a.w) dan Abu Bakar (r.a) memasukinya Pada mulanya pemuda-pemuda kafir musyrik berhasrat untuk memasuki dan memeriksa gua tersebut. Apabila mendapati pintu gua tersebut dipenuhi dengan sarang labah-labah dan burung merpati pemuda-pemuda tersebut kemudiannya telah membatalkan niat untuk masuk dan memeriksa gua tersebut. Diriwayatkan dari Anas (r.a) bahawa Abu Bakar (r.a) telah menceritakan: Aku bersama Rasullulah (s.a.w) di dalam gua dan aku dapat melihat kaki pihak Musyrikin. Aku berkata, “Wahai Rasullulah (s.a.w), jika salah seorang daripada mereka mengangkat kakinya nescaya mereka akan dapat melihat kita”. Baginda bersabda, “Wahai Abu Bakar, apakah yang kamu fikirkan tentang dua orang apabila Allah (s.w.t) merupakan pihak yang ketiga bersama mereka”. Allah Taala telah berfirman dalam Surah AlTaubah ayat ke 40 yang bermaksud “……. sedangkan dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua.”

Saya seterusnya terkenang satu lagi kisah yang diceritakan oleh mutawif kami ketika membuat lawatan di Gua Tsur. Ketika Rasullulah (s.a.w) ingin berbaring untuk merehatkan diri, Abu Bakar (r.a) telah menawarkan kepada baginda untuk tidur di atas pehanya. Bagi memastikan keselamatan Rasullulah daripada binatang-binatang berbisa, Abu Bakar (r.a) telah mengambil kain-kain yang ada bagi menutup lubang-lubang yang terdapat dalam gua tersebut. Oleh kerana kain tidak mencukupi Abu Bakar telah menutup salah satu lubang dengan pehanya. Ketika Rasullulah (s.a.w) sedang nyenyak tidur, seekor kala jengking telah keluar dari lubang tersebut dan menggigit peha Abu Bakar (r.a). Disebabkan rasa kasih dan sayangnya Abu Bakar (r.a) terhadap baginda, Abu Bakar (r.a) hanya mendiamkan diri dan menahan kesakitannya. Rasullulah (s.a.w) hanya menyedari keadaan tersebut apabila air mata kesakitan Abu Bakar jatuh ke pipi Rasullulah (s.a.w). Apabila menyedari keadaan tersebut Rasullulah (s.a.w) telah berdoa kepada Allah (s.w.t) dan meludah di tempat gigitan tersebut seterusnya kesakitan dipeha Abu Bakar pun sembuh. Ada juga diceritakan bahawa Rasullulah (s.a.w) seterusnya bertanya kala jengking tersebut sebab ia menggigit Abu Bakar (r.a) dan kala jengking menyatakan bahawa ia ingin menatap wajah Rasullulah (s.a.w) tetapi dihalang oleh peha Abu Bakar (r.a). Subhanallah, betapa tingginya mukjizat yang Allah kurniakan kepada Rasul pilihanNya.



Kami seterusnya berhenti di kawasan rehat di pertengahan jalan. Cuaca sejuk sudah mula terasa di kawasan perhentian tersebut. Para jemaah mengambil peluang ini melapik perut masing-masing sebelum bergerak menuju ke Kota Madinah. Dalam kesejukan tersebut saya teringat sabda Rasullulah (s.a.w) bermaksud sekiranya cuaca panas Madinah akan lebih panas dari Mekah dan sekiranya cuaca sejuk Madinah akan lebih sejuk dari Mekah bagi menguji kesabaran penduduk Madinah.

Sebelum memasuki kota Madinah, kami sekali lagi berhenti di satu perhentian bagi membolehkan pihak berkuasa Madinah mengesahkan paspot-paspot kami sebelum dibenarkan menjejaki kaki ke Kota Suci ini. Terasa rindu tidak tertahan di hati kami semua untuk menziarahi makam Rasullulah (s.a.w) yang terletak di Masjidil Nabawi. Betapa besarnya jasa baginda kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa sehinggakan seorang penulis barat, Michael H. Hart telah menobatkan baginda sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia dalam bukunya yang berjudul “The 100 A Ranking Of The Most Influential Persons In History”.

No comments: