Friday, May 15, 2009

BUBAR… BUBAR…



Satu petang sedang saya menonton gelagat mantan Menteri Besar Perak YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Ahli Dewan Negeri Pasir Panjang melalui media elektronik, yang merampas mikrofon dari Tuan Yang DiPertua Dewan Negeri Perak selepas Tuan Yang DiPertua Dewan mengumumkan Dewan telah ditangguhkan dan beliau melaungkan perkataan “bubar… bubar…”. YB Dato’ Seri Mohammad Nizar juga setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan keputusan Semakan Kehakiman bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah kerana tiada undi hilang kepercayaan dibuat terhadap beliau di dalam Dewan Negeri Perak telah memohon untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi mendapatkan perkenan kebawah Duli Tuanku untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN).

Saya terusik dengan kematangan pemimpin-pemimpin kita apabila menghadapi sesuatu krisis kepimpinan samaada dalam suatu organisasi pertubuhan maupun politik. Mereka lebih cenderung mempertahankan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat seluruhnya. Mereka lebih gemar menggunakan rakyat sebagai alasan bagi menghalalkan cita-cita mereka. Kita lihat bagaimana UMNO telah diharamkah apabila pihak yang tewas telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah terhadapnya. Kita juga lihat berbagai bagai sandiwara dan tindakan yang dibuat oleh mereka yang tersisih dari barisan kepimpinan seolah-olah mereka telah hilang segalanya, umpama kata peribahasa “marahkan nyamuk kelambu dibakar”.

Saya cenderung melihat krisis kepimpinan di Perak secara menyeluruh dan bukannya di “cut and paste” mengikut selera sesuatu golongan sahaja. Fakta yang jelas ialah pada 8 Mac 2009, Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi DUN, Democratic Action Party (DAP) 18, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 7 dan Parti Islam Semalaysia (PAS) 6, satu permohonan kemudiannya telah dibuat oleh BN bagi menubuhkan kerajaan minoriti di Negeri Perak tetapi telah ditolak oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi memberi laluan kepada DAP, PKR dan PAS untuk menubuhkan kerajaan campuran. BN sebagai satu parti yang memenangi majoriti kerusi DUN Perak sekali lagi memohon perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak agar baginda membubarkan DUN Perak tetapi telah ditolak dengan penuh kebijaksanaan baginda. Sekali lagi DYMM Paduka Seri Sultan Perak dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan telah melantik YB Dato’ Seri Mohammad Nizar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dari parti PAS walaupun parti yang beliau wakili hanya memenangi 6 kerusi dalam DUN Perak, sebagai Menteri Besar Perak yang Kesepuluh selepas beliau mendapatkan pengesahan dan kepercayaan dari ADUN-ADUN DAP, PKR dan PAS. Walaupun terdapat suara-suara sumbang di kalangan penyokong-penyokong BN, DAP maupun PKR tetapi semua harus redha dan menerima prinsip bahawa majoriti ADUN menguasai kerajaan walaupun mereka bertanding dibawah parti dan manifesto yang berbeza.

Kita juga melihat bagaimana sejarah berulang apabila 3 ADUN yang sebelum ini menyokong kepimpinan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan terhadap beliau dan menyatakan sokongan mereka kepada YAB Dato’ Seri Dr Zambry bin Abd Kadir bersama-sama 28 ADUN BN yang lain. DYMM Paduka Seri Sultan Perak sekali lagi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan memeriksa dan mengesahkan kepercayaan kesemua ADUN tersebut terhadap YAB Dato’ Seri Dr Zambry kemudiannya memperkenan perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang Kesebelas. Pada masa yang sama baginda mendapati YB Dato’ Seri Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan majoriti ADUN Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak selanjutnya memerintahkan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar meletak jawatan apabila permohonan beliau bagi membubarkan DUN tidak diperkenankan oleh baginda. Walaubagaimana pun setelah keputusan Mahkamah Tinggi menyebelahi YB Dato’ Seri Mohammad Nizar, beliau sekali lagi memohon menghadap bagi mendapatkan perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak.

Pilihan raya kecil negeri bukanlah satu-satunya jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak. Ia juga bukanlah alat bagi memuaskan nafsu atau cita-cita pemimpin-pemimpin tertentu. Pilihan raya kecil negeri adalah satu jalan akhir bagi mendapatkan mandat rakyat seluruhnya setelah rakyat menilai keseluruhan potensi kepimpinan dan demokrasi tanpa diracuni oleh pelbagai tanggapan negatif, ancaman, tohmahan, ugutan, hasutan dan simpati. Pilihan raya patut dilihat sebagai platform bagi rakyat menyuarakan pendapat mereka berkaitan kepimpinan, dasar, pembangunan dan ketelusan.

Kita perlu bijak dalam mengatur sesuatu keutamaan. Kepentingan rakyat keseluruhan perlu diberi keutamaan dalam mengambil sesuatu keputusan. Ketidakstabilan ekonomi dunia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rakyat Perak secara keseluruhan. Kerajaan perlu bekerja keras bagi menghadapi cabaran ekonomi yang semakin meruncing dan bukannya sibuk dengan politicking yang merugikan rakyat seluruhnya. Kita perlu bersaing dalam menjadikan bumi Perak sebagai satu destinasi pelaburan yang terbaik di Malaysia dan kita juga perlu memastikan rakyat dapat hidup selesa dengan limpahan ekonomi negeri. Bak kata pepatah “yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.”

Rakyat Perak sememangnya sedar sekiranya DUN dibubarkan maka akan wujud berbagai pembaziran dalam perbelanjaan negeri. Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan di tiap-tiap kerusi DUN terdapat puluh-puluh pusat mengundi. Maka berjuta-juta ringgit yang terpaksa dibelanjakan bagi memuaskan permintaan sesuatu golongan. Kita juga sedar beribu-ribu kakitangan awam yang terpaksa dikerahkan bagi membantu perjalanan proses pilihan raya. Maka akan lumpuhlah jentera kerajaan semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya padahal mereka sepatutnya mencurahkan tenaga memberi perhatian dan manfaat kepada rakyat seluruhnya.

Pembubaran DUN dan pilihan raya bukannya penyelesaian kepada masalah yang ada kerana sekiranya keputusan tidak menyebelahi sesuatu pihak maka kemungkinan keadaan akan menjadi bertambah kecoh dan tidak stabil dengan tuduhan-tuduhan seperti berat sebelah, rasuah, pengundi hantu dan lain-lain yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak yang kecewa. Kita juga sedar bahawa masa bergerak semakin hampir dengan pilihan raya umum yang ke 13 yang mungkin diadakan pada masa-masa. Tidak mustahil ianya diadakan dalam tempoh setahun dua ini. Adakah kita sanggup untuk menggadai apa yang kita ada hanya untuk melihat permintaan golongan minoriti dipenuhi atau kita semua terus bergerak kehadapan dan membuat pilihan apabila tiba masanya. Rakyat Perak sememang bijak dalam membuat penilaian dan tidak mempunyai masalah ingatan singkat yang boleh membuatkan mereka lupa apa-apa pencapaian ketika berada di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Mohammad Nizar. Mereka juga akan terus menilai kemampuan YAB Dato’ Seri Dr Zambry dalam memimpin kerajaannya. Jadi janganlah kita takut dengan bayang-bayang sendiri. Biarlah masa yang menentukan segalanya.

Rakyat Perak juga menjunjung kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam membuat keputusan melantik YAB Dato’ Seri Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak. Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini tidak menyebelahi YAB Dato’ Seri Dr Zambry, beliau berhak untuk merayu keputusan ini di Mahkamah Rayuan dan seterusnya pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut berhak untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Pembubaran DUN bukan sahaja menjadikan kes di mahkamah sebagai bahan akedemik malahan ianya menafikan hak YAB Dato’ Seri Dr Zambry sebagai seorang rakyat yang mempunyai kepercayaan majoriti ADUN-ADUN Perak.

Rakyat Perak akur dan menerima apa-apa perintah yang diputuskan oleh mahkamah. Kita perlu “gentlemen” dalam apa-apa jua keadaan walaupun tidak memihak kepada kita. Kita tidak boleh menuduh mahkamah tidak adil apabila tidak menyebelahi kita dan memuji-muji sekiranya keputusan sebaliknya.

Maka sekiranya ditakdirkan mahkamah tertinggi di Malaysia memutuskan dan menafsirkan bahawa usul kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri terhadap Menteri Besar hendaklah dibuat di dalam Dewan Negeri maka YB Dato’ Seri Mohammad Nizar hendaklah menghormati keputusan tersebut dengan memohon perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak supaya baginda memanggil sidang khas Dewan bagi menguji samaada beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri dan selepas itu barulah beliau berhak memohon pembubaran DUN Perak seperti kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang dipohonnya.

2 comments:

Que iEy said...

buat apa nak bazirkan duit k'jaan pusat.. jalankan saja p/raya negeri.. rakyat tahu mana satu yang mereka nak pilih.. tak payah nak beli rakyat dengan bajet negara.

AnakWarisan said...

Daulat tuanku.Salam tuan penulis blog.
saya salah seorang anak jati perak pada mulanya saya setuju dengan tulisan tuan.tapi tentang tuan kata pihak kecewa tu saya bantahlah sikit.kalau pihak bn merentah malaysia ini dengan telus,saya rasa jiwa rakyat tidak memberontak.saya tak nak mengungkit cerita yang sudah-sudah.saya nak ambil contoh yang terbaru selepas mahkamah tinggi telah memutuskan nizar sebagai mb yang sah.keesok harinya zamry membuat rayuan kenapa rayuan zamry di sidang pada hari itu juga?.tetapi kenapa rayuan nizar pada mulanya akan disidang pada 18hb mei kemudian ditangguh lagi.apakah keistimewaan zamry dan apa pula kekurangan nizar sedangkan mereka berdua sama-sama warganegara malaysia?.tuan penulis satu dunia sekarang sedang memerhatikan perak jangan nanti satu dunia ketawakan kita.cuba tuan penulis tanya sendiri pada rakyat perak mana yang lebih baik pada mereka bubarkan dun atau kemelut ini berpanjangan.